Cara kenal pasti jika ruam gatal adalah psoriasis dan bukannya ekzema. Apakah rawatannya?
Apakah perbezaan antara psoriasis dan ekzema? Jika ubat biologik dapat memberi kawalan yang lebih tepat terhadap psoriasis, mengapa para doktor tidak mengesyorkannya kepada setiap pesakit?

SINGAPURA: Sebut sahaja "psoriasis" dan orang ramai mungkin tidak tahu atau, paling tidak, menganggapnya sebagai ekzema. Kita mungkin mudah tersilap mengenainya kerana ruam kering yang terjadi pada kedua-dua penyakit kulit ini mungkin kelihatan serupa.
Namun jika diperhatikan dengan lebih dekat, kita akan dapati bahagian yang terjejas oleh psoriasis kelihatan seolah-olah seperti badan kita menghasilkan terlalu banyak lapisan kulit, dalam masa yang singkat. Sel kulit biasa mengambil masa antara 20 hingga 30 hari untuk matang dan muncul ke permukaan kulit sebelum ia mengelupas, demikian menurut Persatuan Psoriasis Singapura (PAS).
Tetapi sel kulit psoriatik mengambil masa hanya tiga hingga lapan hari untuk timbul ke permukaan. Campuran sel-sel kulit hidup dan mati di permukaan kulit inilah yang menghasilkan keadaan kulit seperti kertas, sisik memutih atau plak kulit - ciri-ciri khas penyakit psoriasis.
Setelah melepasi lapisan kulit, satu lagi perbezaan akan muncul iaitu ekzema yang mungkin disebabkan oleh kerosakan kepada penghalang kulit akibat mutasi gen. Psoriasis, sebaliknya, telah diakui oleh sesetengah pakar sebagai penyakit kulit autoimun kronik, di mana sistem imun tersilap menyerang sel-sel normal kulit dan kadang-kadang, sendi juga.

Penyakit kulit ini menjejaskan kira-kira 1 peratus (satu dalam 100) penduduk. Di Singapura, dianggarkan sekurang-kurangnya 40,000 orang menghidap psoriasis, menurut PAS.
Apa yang perlu ditegaskan, psoriasis bukanlah disebabkan oleh kurangnya kebersihan diri - dan yang pasti, ia tidak boleh merebak atau berjangkit.
BAGAIMANA PSORIASIS BERMULA
Psoriasis boleh bermula seperti kelemumur atau serpihan kulit pada kulit kepala kita. "Kadang-kadang, ia boleh kelihatan samalah seperti ruam kulit radang biasa, termasuk dermatitis seboroik, ekzema atau jangkitan kulit berkulat," kata Dr Jamie Wee, seorang penasihat kanan dan ketua Bahagian Dermatologi, Jabatan Perubatan di Hospital Besar Ng Teng Fong.
Faktor-faktor yang boleh memburukkan lagi psoriasis termasuk alkohol, merokok, tekanan, ubat-ubatan tertentu, jangkitan seperti jangkitan tekak bakteria, HIV serta cuaca kering dan sejuk, kata Dr Wee.
7 JENIS PSORIASIS YANG BERBEZA
1. Psoriasis plak
Ini adalah jenis psoriasis yang paling umum. Ia menjadikan kulit kering, gatal, bertompok atau plak dilapisi dengan sisik. Gejala ini biasanya muncul pada siku, lutut, bahagian bawah belakang badan dan kulit kepala.
2. Artritis psoriatik
Psoriasis jenis ini menyerang kedua-dua kulit dan sendi. Terdapat lima jenis artritis psoriatik dan ada kemungkinan anda menghidap lebih daripada satu jenis: Artritis psoriatik asimetris (yang hanya menyerang sendi pada satu sisi badan), artritis psoriatik simetri (menyerang pasangan sendi yang sejajar), artritis psoriatik distal (menjejaskan hujung jari dan jari kaki), spondylitis (menjejaskan belakang badan) dan artritis mutilans (jenis yang paling jarang dan paling teruk yang menyebabkan penipisan tulang).
3. Psoriasis kuku
Ia menjejaskan kedua-dua kuku jari dan kaki. Kuku akan berlubang dan menghasilkan pertumbuhan yang tidak normal serta berubah warna. Bahkan kuku boleh menjadi longgar dan terpisah dari dasar kuku. Bagi kes yang serius, kuku boleh pecah.
4. Psoriasis gutate
Jenis psoriasis ini biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti radang tekak. Ia dicirikan oleh bintik-bintik bersisik kecil pada bahagian tengah tubuh, lengan atau kaki.
5. Psoriasis songsang
Ia biasanya menjejaskan lipatan kulit pada pangkal paha, punggung dan payudara. Daripada menghasilkan tompok-tompok yang tebal dan membesar, ia sebaliknya menyebabkan kulit yang licin dan meradang menjadi lebih teruk akibat geseran dan peluh. Jangkitan kulat boleh mencetuskan psoriasis jenis ini.
6. Psoriasis pustular umum
Ini adalah jenis psoriasis yang jarang berlaku yang menghasilkan lepuh yang penuh dengan nanah. Ia boleh timbul sebagai tompok-tompok yang meluas atau di kawasan kecil tapak tangan atau tapak kaki.
7. Psoriasis eritrodermik
Ini adalah jenis yang paling jarang terjadi. Ia boleh menutupi seluruh badan dengan ruam yang mengelupas yang boleh menjadi gatal atau rasa terbakar yang amat. Ia juga boleh menjadi parah atau kronik.
Kecenderungan genetik adalah satu lagi penyumbang utama, kata Dr Liau Meiqi May, seorang penasihat di Bahagian Dermatologi, Jabatan Perubatan di Hospital Alexandra dan Hospital Universiti Nasional. Beliau berkata sehingga 30 peratus individu yang menghidap psoriasis mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit itu.
"Beberapa gen telah dikenal pasti yang menjadikan seseorang lebih mudah terdedah kepada psoriasis, di mana kebanyakannya terlibat dalam pengawalan sistem imun," kata Dr Liau. Sebagai contoh, kemungkinan anda dijangkiti psoriasis adalah kira-kira 15 peratus jika salah seorang daripada ibu bapa anda mempunyai penyakit tersebut. Risiko itu meningkat kepada kira-kira 50 peratus jika kedua-dua ibu bapa anda menghidapnya, kata Dr Liau.
Tambahan pula, psoriasis boleh bermula pada sebarang usia, namun ia jarang menyerang kanak-kanak berbanding orang dewasa. Terdapat dua julat umur di mana penyakit kulit radang kronik ini boleh memuncak: Usia antara 30 hingga 39 tahun, dan antara 50 hingga 69 tahun, kata Dr Liau. Walau bagaimanapun, "tiada penjelasan mengapa keadaan ini lebih umum dalam kedua-dua kumpulan umur ini".
PIL DAN SUNTIKAN DAPAT MENGAWAL PSORIASIS
Kebanyakan kes ringan hingga sederhana boleh dirawat dengan fototerapi atau ubat topikal. Walau bagaimanapun, bagi pesakit dengan psoriasis sederhana hingga serius, pakar dermatologi boleh menetapkan ubat sistemik yang merawat seluruh badan, termasuk sistem imun. Rawatan ini biasanya diberikan melalui pil atau suntikan.

Ubat sistemik memberi kesan kepada sistem imun dalam beberapa cara. Ia boleh menahan sistem imun seperti yang dilakukan oleh methotrexate dan cyclosporine untuk menyekat keradangan. Ataupun, ia boleh menormalkan kadar penggantian sel kulit sepertimana acitretin berfungsi. Ketiga-tiga ubat oral ini biasanya diberikan di Singapura, menurut Dr Colin Theng, presiden PAS dan pakar dermatologi The Skin Specialists & Laser Clinic.
Pada Disember lalu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah meluluskan satu lagi ubat oral, apremilast, untuk digunakan di Singapura, kata Dr Theng. Ia berfungsi mengurangkan satu enzim (fosfodiesterase 4 atau PDE4) dalam sistem imun dan sel kulit yang merangsang pertumbuhan plak kulit.
Walaupun ia berkesan, ubat sistemik mempunyai kelemahannya. Oleh kerana ia memberi kesan kepada seluruh badan, risiko menghidap kesan sampingan yang serius adalah lebih tinggi. Justeru, ujian makmal dan pemantauan darah diperlukan semasa menjalani rawatan dengan ubat-ubatan ini, kata Dr Hazel Oon, ketua Unit Psoriasis dan pegawai penasihat di Klinik Jerawat, Pusat Kulit Negara.
Metotreksat, contohnya, melegakan psoriasis pada kulit serta menghalang keradangan sendi yang menyebabkan kerosakan sendi artritis. Ia seperti dua manfaat dalam satu keadaan untuk mereka yang menghidap artritis psoriatik.
Bagaimanapun, metotreksat juga boleh "menjejaskan fungsi hati dan meningkatkan kemungkinan penyakit hati yang serius", serta menyebabkan keguguran dan kecacatan kelahiran yang serius semasa mengandung, kata Dr Eileen Tan, pakar dermatologi di Klinik Kulit Eileen Tan & Rakan-rakan di Hospital Mount Elizabeth Novena.
Kesan sampingannya begitu berpanjangan sehingga wanita yang telah mengambil metotreksat dinasihatkan agar tidak mengandung enam bulan selepas menghentikannya, kata Dr Tan.

Biologik adalah satu lagi kelas ubat yang digunakan untuk psoriasis yang berasal daripada organisma biologi seperti manusia, haiwan atau mikroorganisma. “Tidak seperti kebanyakan ubat sistemik, biologik bersifat lebih khusus dan ia hanya menyasarkan bahagian tertentu sistem imun,” kata Dr Tan.
Beliau berkata ia berfungsi dengan merendahkan sejenis sel imun yang dikenali sebagai sel T, di mana sel itu mejadi terlalu aktif pada mereka yang menghidap psoriasis. Ubat biologik lain pula menyekat protein yang dikenali sebagai sitokinin yang menghantar isyarat keradangan dalam sistem imun.
Tiga jenis sitokinin - interleukin atau IL 17, IL 12 dan IL 23 - biasanya menjadi sasaran sebagai penyebab psoriasis. Bergantung pada sitokin apa yang mereka kesan, kata Dr Tan, biologik dibahagikan kepada empat kategori yang besar: Perencat faktor nekrosis tumor (TNF); Perencat IL; Perencat sel B; dan Perencat sel T.
MENGAPA PESAKIT TIDAK DIBERIKAN BIOLOGIK?
Preskripsi untuk biologik bergantung kepada keparahan psoriasis, usia pesakit serta keberkesanan ubat, tindak balas yang berterusan, mudah guna dan kemampuan untuk merawat bahagian yang sukar dirawat seperti kulit kepala, kuku, tapak tangan dan tapak kaki, kata Dr Oon.
"Sesetengah ubat juga menyasarkan artritis psoriatik, dapat memulihkan kulit yang lebih berkesan dan lebih cepat, dan memberi kesudahan yang lebih baik pada varian-varian psoriasis yang lebih sukar dikawal seperti psoriasis pustular umum," katanya. "Kos juga merupakan faktor penentu yang sangat penting kerana psoriasis adalah penyakit kronik dan rawatan berterusan diperlukan untuk mengawal penyakit."

Sememangnya, kos adalah pertimbangan yang besar dalam penggunaan biologik, walaupun dengan keberkesanannya dalam menyasarkan bahagian-bahagian tertentu sistem imun. “Rawatan ubat biologik boleh bermula dari ratusan hinggalah melebihi seribu dolar sebulan,” kata Dr Theng. "Secara perbandingan, ubat oral biasa boleh berharga kurang daripada seratus hinggalah kepada beberapa ratusan dolar."
Tambahan pula, ubat biologik tidak terdapat dalam bentuk pil. Ia biasanya dalam bentuk botol kecil yang telah diisi dan pesakit akan menyuntik sendiri dengan menggunakan alat suntikan automatik. “Kekerapan suntikan bergantung pada jenis biologik yang digunakan,” kata Dr Theng. “Ia boleh terdiri daripada dua suntikan setiap minggu hingga 12 suntikan setiap minggu.
"Atas sebab-sebab itu, Dr Theng menganggarkan bahawa kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit dengan psoriasis sederhana hingga tahap serius menggunakan ubatan biologik.
UBAT BAHARU DALAM PEMBUATAN?
Apabila keputusan mengenai percubaan ubat oral baru diumumkan di Kongres Dermatologi Dunia (WCD) di Singapura baru-baru ini, ia menawarkan satu alternatif yang berpotensi. Ubat terbaharu oleh Janssen, anak syarikat farmaseutikal Johnson & Johnson, menggunakan kelas ubat baharu yang dikenali sebagai peptida antagonis.
"Ia bukan biologik, bermaksud ia tidak berasal dari manusia, haiwan atau mikro-organisma," kata Profesor Llyod Miller, naib presiden imunologi dermatologi dan penyakit Janssen.
Rawatan baru ini "belum dibandingkan dengan rawatan suntikan sekarang" tetapi ia berfungsi dengan cara yang sama seperti biologik yang menyasarkan IL-23, katanya - dan ia dalam bentuk pil yang lebih mudah digunakan.
Bilakah pesakit boleh mendapatkan ubat baru itu masih belum dipastikan. "Ia perlu diluluskan oleh pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan seperti Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat dan Agensi Ubatan Eropah. Ia kemudian memerlukan satu hingga dua tahun lagi sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa Singapura," kata Dr Theng. "Tetapi ini hanya anggaran kasar kerana sesetengah ubat mungkin mendapat kelulusan dengan cepat."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai anak keturunan penduduk Pulau Ubin yang mahu melestarikan warisan dan budaya masyarakatnya.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.