Lebih ramai pesakit di Singapura terima rawatan seperti hospital di rumah sendiri
Program Jagaan Pesakit Mudah Gerak di Rumah (MIC@Home) diperluaskan kepada empat lagi hospital dengan meliputi lebih banyak keadaan pesakit, kata Pejabat Kementerian Kesihatan Transformasi Jagaan Kesihatan (MOHT).

SINGAPURA: Lebih ramai pesakit akan dapat menerima rawatan seperti hospital di rumah-rumah sendiri, ekoran diperluasnya program perintis wad "maya" kepada lebih banyak institusi jagaan kesihatan awam Kementerian Kesihatan (MOH).
Demikian menurut Pejabat MOH untuk Transformasi Jagaan Kesihatan (MOHT) dalam satu pengumumannya pada Isnin (7 Ogos).
Program perintis Jagaan Pesakit Mudah Gerak di Rumah (MIC@Home), yang pertama kalinya dilancarkan pada April 2022, menawarkan pesakit pilihan untuk dijaga di rumah mereka sendiri dan bukannya di wad hospital.
Pesakit-pesakit terpilih dengan keadaan yang diklasifikasikan di bawah perubatan am, seperti jangkitan kulit, boleh dimasukkan ke wad "maya", di mana mereka boleh mendapat rawatan sepanjang masa oleh sepasukan profesional jagaan kesihatan.
Rawatan itu disediakan menerusi konsultasi secara online dan juga menerusi lawatan ke rumah, sehinggalah mereka dianggap sesuai untuk ‘dibenarkan keluar wad’.
Berikutan pelaksanaannya di hospital di bawah Sistem Kesihatan Universiti Nasional, Hospital Besar Singapura dan Hospital Khoo Teck Puat, MIC@Home telah diperluaskan kepada empat lagi hospital: Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Wanita dan Kanak-kanak (KKH), Hospital Besar Sengkang (SKH) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
"Program perintis itu akan memperkukuh perancangan hospital masa depan dan menambah keupayaan kapasiti katil untuk sistem jagaan kesihatan," kata MOHT. Ia menambah bahawa MIC@Home berfungsi untuk menyediakan jagaan yang sesuai untuk pesakit dalam sekitaran yang lebih selesa tanpa mengorbankan hasil jagaan yang disediakan.
"Jagaan yang mereka terima, serta hasil rawatannya tidak dijangka (terjejas) atau menjadi lebih rendah daripada di hospital."
Sehingga Jun 2023, kira-kira 1,000 pesakit telah mendapat manfaat daripada program ini, menghasilkan penjimatan sehingga 7,000 hari (penggunaan) katil hospital.
Pesakit ditawarkan pilihan untuk pulih daripada penyakit dalam keselesaan rumah mereka, dan pada masa yang sama tetap menerima rawatan peringkat hospital. Program itu adalah sesuai untuk mereka yang menjalani pemulihan daripada penyakit-penyakit seperti demam denggi, jangkitan kulit dan radang paru-paru. Hasilnya, program itu berpotensi ‘mengosongkan’ hampir 200 katil hospital.
MELIPUTI LEBIH BANYAK KEADAAN KESIHATAN
"Selain perubatan am, pesakit-pesakit yang memerlukan kepakaran tertentu, termasuk perubatan pediatrik, obstetrik dan ginekologi, perubatan pemulihan, dan pembedahan elektif kini juga boleh disertakan di bawah MIC@Home," kata MOHT.
Sebagai sebahagian daripada perluasan program itu, kanak-kanak dan wanita juga boleh didaftarkan di bawah program spesialis KKH@Home.
Kanak-kanak yang menghidap penyakit biasa, termasuk demam denggi, jangkitan kulit, ekzema dan jangkitan saluran kencing, serta wanita dengan penyakit ginekologi, dan jangkitan kulit dan luka, boleh dijaga di rumah dan tidak perlu dimasukkan ke hospital.
Ketua klinik untuk KKH@Home yang jugaKetua dan Perunding Kanan Jabatan Dermatologi KKH, Profesor Madya Mark Koh, berkata program itu lebih-lebih lagi memanfaatkan untuk kanak-kanak, yang mungkin berasa cemas dalam persekitaran hospital.
Beliau menarik perhatian penjimatan kos dan masa, serta kurangnya gangguan masa kepada orang dewasa yang bekerja. Pada masa yang sama para "doktor dan jururawat juga masih dapat mengenal pasti dan bertindak tepat pada masanya terhadap sebarang perubahan keadaan seseorang pesakit.”
MIC@Home juga telah diperluaskan untuk menyertakan kes-kes pemulihan daripada TTSH, seperti pesakit yang menjalani sesi terapi intensif dengan ahli fisioterapi dan ahli terapi pekerjaan.
SKH@Home juga memulakan operasi baru-baru ini dengan tumpuan awal untuk mengambil pesakit yang sesuai dari Jabatan Kecemasan (ED) bagi mengurangkan masa menunggu untuk katil.
MENYESUAIKAN TEKNOLOGI, JAGAAN BERKESAN
Perluasan program perintis itu membuka jalan kepada penerapan huraian teknologi yang menjanjikan ke arah jagaan yang lebih lancar, kata MOHT.
Keupayaan baharu seperti pemantauan jarak jauh untuk kes pediatrik termasuk penggunaan peranti boleh pakai untuk kanak-kanak seawal usia enam tahun sedang diterokai. Ia membolehkan pasukan jagaan memantau keadaan pesakit dengan teliti dan bekerja bersama keluarga mereka untuk mengesan keperluan mereka.
Kajian model jagaan sedemikian di luar negara telah menunjukkan bahawa MIC@Home boleh membantu mengurangkan kos kemasukan ke hospital dan meningkatkan mutu pemulihan pesakit.
Dengan tiga tapak perintis pertama telah menunjukkan hasil kejayaan bukti konsep, MOHT menyatakan terdapat potensi bagi model itu menjadi "alternatif yang mampan kepada jagaan biasa di hospital.”
Ia menambah bahawa model itu direka bentuk untuk meringankan beban hospital dan kemudahan jagaan kesihatan dalam jangka panjang, terutamanya dari segi sumber fizikal seperti kapasiti katil dan untuk menguruskan beban pesakit dengan lebih berkesan.
Penolong Pengarah dan Ketua Projek di MOHT Encik Lai Yi Feng berkata: “Kami percaya bahawa MIC@Home, sebagai model penyampaian jagaan, boleh membantu menangani keperluan jagaan kesihatan yang berkembang pesat di Singapura.
"Berdasarkan hasil dapatan program perintis yang diperoleh setakat ini, kami juga optimis bahawa kosnya mungkin lebih rendah berbanding jagaan berasaskan hospital sedia ada."
Menurut Encik Lai, program itu juga berharap dapat diperluas pada masa hadapan untuk menyertakan pesakit-pesakit dengan tahap keterukan klinikal yang lebih tinggi, yang memerlukan jagaan lebih rapi lagi.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sejauh manakah gejala cuaca ekstrem sudah menjadi suatu 'normal baharu' ?
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.