Terlalu memilih makanan ‘sihat’ sahaja: Apakah ini sejenis gangguan pemakanan orthorexia nervosa?
Apakah anda orang yang tidak mahu makan kecuali makanan itu jenis organik, bebas GMO dan tidak mempunyai karbohidrat, bahan tambahan, pengawet, gula tiruan atau natrium - walaupun tabiat ini menjejas hubungan dan kehidupan sosial anda?

Bayangkan seseorang yang tidak makan apa-apa selain tairu atau yogurt beku untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam setiap hari. Motivasi untuk berpegang pada makanan yang dianggap "sihat" dan "lengkap" ini sangat kuat sehinggakan destinasi bercuti pun akan bergantung kepada sama ada tempat itu menyediakan yogurt beku.
Atau juga seorang rakan bersenam anda yang terlalu cerewet tentang kandungan lemak, natrium dan gula dalam makanannya sehingga dia tidak akan menyentuh makanan segera atau teh buih - malah akan cepat menghukum sesiapa yang memilih pemakanan sedemikian. Apabila membuat tempahan dalam talian pula senarai permintaannya agak panjang - (seperti "sos tepi, kurang garam dan gula, tiada bawang goreng, kopi tanpa susu pekat") – sehingga tidak muat ruang karakternya.
Memang kita boleh menjangkakan mereka yang amat pentingkan kesihatan atau golongan fitspo begitu berhati-hati tentang diet mereka (ini kerana mereka tidak rela terlupusnya semua faedah kesihatan yang dikerjakan sejauh ini, bukan begitu?). Tetapi lain pula ceritanya jika mereka menjadi orang yang terlalu menyekat pemakanannya.
Mereka yang terlalu asyik mementingkan pemakanan sihat sahaja ini boleh juga digolongkan sebagai mereka yang menghidap apa yang dipanggil orthorexia nervosa, kata Dr Tay Yi Hang, perunding bersekutu perubatan psikologi di Hospital Khoo Teck Puat.
"Dalam kes-kes yang ringan, individu itu mungkin menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan dan membeli makanan, atau merancang dan menyediakan makanan," kata Dr Tay. "Obsesi keterlaluan sebegini boleh mengganggu dengan ketara prestasi akademik atau pekerjaan mereka, atau juga ia boleh menjejas kehidupan sosial mereka."
Berbeza dengan gangguan pemakanan yang lebih diketahui sebagai anoreksia nervosa dan bulimia, "pada masa ini tiada data yang diterbitkan mengenai kejadian atau kelaziman orthorexia nervosa di Singapura", kata Dr Tay.
Sebabnya adalah "kemungkinan kerana orthorexia nervosa masih belum diklasifikasikan sebagai diagnosis psikiatri rasmi" di peringkat antarabangsa, kata Dr Zheng Zhimin, pakar psikiatri perunding di Pusat Kesejahteraan Psikologi Nobel (Ang Mo Kio), sebuah syarikat di bawah Kumpulan Perubatan Healthway.
Dr Zheng berkata beliau menghadapi satu atau dua kes sedemikian sebulan tetapi corak pemakanan yang ketat selalunya bukan isu utama. "Pesakit biasanya mengalami masalah mood dan/atau kebimbangan dan juga mungkin mempunyai kecenderungan obsesif yang kompulsif."
Pakar diet klinikal dan sukan Jaclyn Reutens dari Aptima Nutrition & Sports Consultants berkata terdapat peningkatan dalam bilangan kes sedemikian dibandingkan sedekad lalu. "Saya pernah melihat segelintir kes dalam tempoh tiga hingga enam bulan tetapi kini sejumlah kes yang sama dalam masa sebulan."

Walaupun peningkatan kes, dia berkata keadaan itu "sukar untuk didiagnosis kerana mereka boleh kelihatan baik secara fizikal dan kebanyakan mereka tidak tahu bahawa mereka menghidapinya". "Ada yang datang berjumpa saya untuk (mendapatkan nasihat bagaimana) mereka boleh makan dengan lebih sihat tetapi tidak menyedari bahawa mereka mungkin telah menetapkan terlalu banyak syarat yang tidak diperlukan dalam soal tersebut.”
ORTHOREXIA NERVOSA MENJEJAS SIAPA?
Apa salahnya kalau mahu makan secara sihat? Bukankah ini yang telah disampaikan kepada kita sepanjang hidup kita? Ia sebenarnya bergantung kepada kepercayaan pemakanan yang bagaimana yang dipegang seseorang pesakit itu, kata Reutens.
"Sebagai contoh, jika orang itu menganggap karbohidrat tidak baik, dia akan menghapuskan (dalam diet mereka) keseluruhan makanan yang tergolong di bawah kategori tersebut, lantaran boleh menyebabkan penurunan berat badan yang drastik, keletihan dan kerengsaan." Kekurangan nutrisi biasa yang berakibat daripadanya, kata Reutens, termasuk zink, zat besi, kalsium dan protein, yang boleh menyebabkan keguguran rambut, lesu, kehilangan jisim otot, kuku rapuh atau lemah, imuniti rendah dan kulit kering.
Kekurangan karbohidrat boleh menyebabkan kekurangan protein kerana protein adalah bahan yang ditumpukan tubuh kita untuk mendapat tenaga apabila adanya kekurangan karbohidrat, lebih-lebih lagi jika kita mengamalkan diet rendah lemak.

Mereka yang bertekad untuk mengenyahkan bahan pengawet dalam pemakanan mereka mungkin tidak menunjukkan perubahan fizikal yang jelas. Ini kerana tiada kumpulan makanan utama yang telah ditinggalkannya, kata Reutens. Tetapi ini akan tetap meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan mentalnya.
"Ia meletihkan mental untuk hidup dengan orthorexia nervosa," katanya. "Seseorang itu akan sentiasa memikirkan apa yang dia akan makan sepanjang hari sebaik sahaja dia bangun. Sepanjang hari itu, dia berfikir tentang cara untuk lebih 'menyempurnakan' pemakanannya mengikut matlamatnya sendiri yang biasanya tidak realistik."
Kemudian akan timbul rasa kekecewaan di mana si pesakit itu tidak dapat mencari sumber makanan "sihat" yang mencukupi, kata Dr Tay. Dan perasaan bahawa mereka telah melanggar "peraturan pemakanan yang dikenakan sendiri” boleh menyebabkan rasa diri mereka tidak bersih, dengan harga diri yang rendah, rasa bersalah serta rasa bimbang atau ketakutan yang berlebihan terhadap penyakit".
Bukan itu sahaja kerosakan yang boleh ditimbulkan oleh masalah gangguan pemakanan. Individu yang menghidap orthorexia nervosa cenderung untuk mengelakkan persekitaran sosial, di mana mereka akan menghadapi kesukaran mengawal pemakanan, kata Dr Zheng. "Ini boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap hubungan sosial kerana makan bersama selalunya merupakan satu cara untuk merapatkan hubungan."
Pesakit "juga boleh mengenakan kawalan pemakanan yang sama ke atas corak pemakanan orang tersayang seperti anak-anak sendiri kerana bimbangkan kesihatan mereka”, katanya.
SIAPA YANG TERDEDAH KEPADA ORTHOREXIA NERVOSA?
Orthorexia nervosa dipercayai berpunca daripada beberapa keadaan seperti "sikap inginkan kesempurnaan yang mendasar, sikap tegar, harga diri yang rendah atau rasa diri yang tidak stabil", kata Dr Tay. "Dalam persekitaran di mana tumpuan berlebihan diberikan pada pemakanan, seperti menjadi seorang atlet atau dalam bidang berkaitan kesihatan, juga ditunjukkan sebagai salah satu faktor risiko boleh menghidap orthorexia nervosa."
Dr Zheng berkata individu yang mempunyai sejarah obesiti dan imej badan yang buruk juga mungkin mempunyai kecenderungan untuk mengalami gangguan pemakanan ini. Ini kerana mereka mahu “mengawal berat badan mereka dan imej badan yang dianggap 'ideal'".

MENGALAMI ORTHOREXIA NERVOSA ATAU SEKADAR SUKA MEMILIH MAKAN?
Menurut Dr Zheng seseorang yang mengalami orthorexia nervosa akan menjadi cerewet tentang makanan, mengelakkan dari perjumpaan sosial yang menjejaskan perhubungan mereka dengan orang lain. Mereka juga berasa cemas dan berasa serba salah kerana keadaan mereka itu.
“Ia adalah obsesi yang melampau tentang jenis makanan yang ‘selamat’ untuk dimakan dan mengakibatkan corak pemakanan yang sangat ketat. Cakap mudahnya, keadaan mereka itu jauh lebih teruk daripada mereka yang sekadar suka memilih makanan.”
Namun, mereka yang juga suka memilih-milih makanan turut boleh menimbulkan masalah jika sikap itu mula menjejaskan semua aspek kehidupan mereka, kata Dr Tay. Mereka ini berisiko apabila "nilai diri atau identiti diri mereka hampir bergantung sepenuhnya pada pematuhan ketat apa yang mereka sendiri anggap sebagai pemakanan sihat”, atau "apabila mengejar pemakanan yang 'sihat' membawa kepada kekurangan zat makanan atau penurunan berat badan yang teruk".

BANTUAN TERSEDIA
Memandangkan orthorexia nervosa tidak diiktiraf sebagai gangguan mental, tidak banyak bahan penyelidikan tentang rawatannya yang berasaskan bukti, jelas Dr Tay. "Bagaimanapun, seperti gangguan pemakanan yang lain, pendekatan holistik" yang melibatkan pakar psikologi, psikiatri dan pakar diet boleh digunakan untuk memulihkan corak pemakanan normal dan berat badan yang sihat serta juga untuk merawat sebarang keadaan psikiatri.
Kebimbangan dan gangguan mood lain boleh ditangani melalui terapi bercakap dalam mewujudkan corak pemikiran yang lebih sihat berhubung dengan soal nilai diri dan kaitannya dengan pemakanan. Ubat-ubatan seperti antidepresan juga boleh diberikan kepada pesakit untuk corak berfikir yang terlalu obsesif dan cepat bimbang.
Selain daripada perancangan pemakanan, pakar diet boleh membantu merawat dalam mengatasi sindrom penyuapan semula (refeeding syndrome), yang boleh membawa maut apabila seseorang individu menjalani penyuapan semula makanan secara mendadak ekoran tempoh jarang makan yang lama.

MEMBANTU PESAKIT ORTHOREXIA NERVOSA
Individu yang menghidap penyakit ini boleh bimbang tentang soal makan, kata Dr Zheng. Oleh itu adalah penting bagi orang di sekeliling untuk bersikap peka dan mengelakkan diri daripada membuat komen yang boleh menyebabkan si pesakit berasa malu.
Sebagai permulaan, jangan komen tentang pilihan pemakanannya, kata Reutens. Sebaliknya, kongsi hidangan seimbang dengannya yang terdiri daripada makanan daripada semua kumpulan makanan penting, kata Dr Tay.
"Elakkan topik soal diet atau bercakap tentang rasa bersalah atau malu tentang apa yang anda makan," tambah Dr Tay. "Berbual-lah tentang pentingnya kita menjaga diri dan pemakanan baik, dan raikan semua jenis makanan sebagai sumber menyeronokkan dan rezeki, tanpa ambil kira soal asal usul dan kandungan makanan itu.”
Di luar waktu makan, "jangan fokus atau komen pada penampilan diri sepakit,” kata Reutens. "Walaupun satu komen yang biasa seperti 'anda nampak sihat’ mungkin boleh menjadi pencetus masalah bagi mereka yang berhadapan dengan masalah pemakanan.”
Apabila ada peluang untuk berbual-bual tentang soal memilih pemakanan, kita perlu bersikap lemah lembut dengan orang berkenaan. “Kita tidak boleh memaksa seseorang supaya mengubah kepercayaan yang dipegangnya. Jika kita berbuat demikian, ia mungkin mencetuskan tindak balas di mana mereka akan cuba menyakinkan kita bahawa mereka baik sahaja, walaupun hakikatnya tidak begitu, kata Reutens.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini bagaimana menghindari cacing parasit ketika menjamu makanan sashimi.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.