Suhu melonjak tinggi, banjir besar membawa maut: Apakah cuaca ekstrem suatu 'normal baharu'?
"Seluruh sistem iklim kini lebih sensitif daripada apa yang disangka berakibat daripada tekanan dan gangguan oleh aktiviti manusia yang memacu pemanasan global," kata seorang pakar.

SINGAPURA: Dunia boleh melepasi ambang pemanasan global yang kritikal lebih awal daripada yang dipercayai sebelum ini, selepas pelbagai kejadian cuaca luar biasa seperti gelombang panas dan hujan lebat yang diperhatikan di seluruh dunia bulan lalu, demikian pemerhatian pakar-pakar perubahan iklim.
Walaupun para saintis telah lama meramalkan akan berlakunya cuaca tinggi yang keterlaluan, mereka tidak menjangka ia berlaku dengan begitu cepat dan meluas.
"Apa yang saya fikir telah mengejutkan orang ramai ialah betapa cepatnya semua ini menimpa kita," kata Profesor Jim Skea, yang mengetuai kumpulan pakar iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Memang kami benar-benar menjangkakan seperti ini, sama ada banjir, hujan lebat atau panas melampau, tetapi ia berlaku lebih cepat."
‘ERA BUMI MENDIDIH’
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata bahawa era pemanasan global telah berakhir dan "era pendidihan global telah bermula".
Pakar-pakar menyifatkan Julai 2023 sebagai bulan paling panas dalam sejarah. Daripada 30 hari terpanas pernah dicatatkan, 21 berlaku pada bulan lepas.
Purata suhu global adalah sekurang-kurangnya 0.2 darjah Celsius lebih panas daripada Julai 2019, bulan terpanas sebelumnya mengikut rekod.
Prof Skea, pengerusi Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan profesor daya tenaga mampan di Imperial College London, berkata ini "mungkin sejenis normal baharu".
"Iklim berbeza dari satu tahun ke satu tahun, dan ia berbeza sepanjang kitaran El Nino dan La Nina yang diperhatikan dalam iklim kita,” katanya kepada CNA pada hari Rabu (2 Ogos).
"Jadi kita mungkin berada pada paras di atas purata jangka panjang, tetapi purata jangka panjang pasti meningkat dan akan terus meningkat, kecuali jika adanya pengurangan yang sangat ketara dalam pelepasan gas rumah hijau."

Purata suhu global berkemungkinan melepasi ambang 1.5 darjah Celsius menjelang awal 2030-an.
"Dan ia akan terus meningkat melebihi paras itu, mungkin kepada dua, malah tiga darjah lebih panas daripada (era sebelum zaman perindustrian), melainkan kita dapat mengawal (dengan berkesannya) pelepasan gas tersebut," kata Prof Skea, yang tumpuan penyelidikannya adalah dalam soal tenaga, perubahan iklim dan inovasi teknologi.
Rantau Asia, misalnya, semakin panas daripada purata global dan telah menyaksikan cuaca terik dengan kejadian banjir yang membawa maut pada bulan lalu.
Menurut Profesor Janette Lindesay, pakar kajian iklim di Sekolah Alam Sekitar dan Masyarakat Fenner Universiti Nasional Australia, pakar-pakar menjangkakan corak cuaca ekstrem seperti itu hanya akan menjadi lebih kerap beberapa dekad dari sekarang.

"Namun, kita sudah pun melihatnya berlaku hari ini," katanya kepada CNA pada hari Selasa (1 Ogos).
"Keseluruhan sistem iklim kini lebih sensitif daripada yang kita fikirkan akibat tekanan, gangguan yang dikenakan oleh aktiviti manusia yang memacu pemanasan global."
ASIA PALING TERUK DILANDA BENCANA
Pertubuhan Meteorologi Sedunia telah melabelkan rantau Asia sebagai rantau yang paling terdedah kepada bencana di dunia.
Banyak negara Asia telah dilanda gelombang panas yang kuat melanda hemisfera utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Amaran strok haba berlaku sepenuhnya di Jepun dan China, di mana paras suhu melonjak melepasi 50 darjah Celsius.
Kejadian hujan monsun yang melebihi paras rekod juga mengakibatkan lebih banyak kawasan di Asia dilanda banjir, akibat kerpasan yang lebih tinggi didorong oleh panas keterlaluan yang berpanjangan.
Di India, misalnya, hujan lebat telah membunuh puluhan orang serta menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat.
Sementara itu, Taufan Doksuri yang kuat juga telah melanda negara-negara seperti China dan Filipina, meninggalkan kesan-kesan kemusnahan yang meluas.
Di bahagian lain dunia pula, kira-kira 180 juta rakyat Amerika – iaitu separuh daripada penduduk negara itu - diletakkan di bawah pengawasan haba dan amaran panas terik.
Lebih jauh ke utara, sebahagian wilayah Kanada teruk terjejas dengan kebakaran hutan. Para anggota bomba bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran di lebih 1,000 kawasan, sekitar 600 daripadanya dianggap "tidak terkawal".
Kebakaran hutan yang ganas juga melanda selatan Eropah dan utara Afrika.

"Apa yang benar-benar memeranjatkan saya ialah betapa berleluasanya kejadian di luar kebiasaan ini pada bulan Jun dan Julai," kata Prof Lindesay.
"Kejadian suhu yang sangat tinggi ini yang memecahkan rekod di mana-mana kawasan di hemisfera utara, di setiap benua, adalah sangat luar biasa. Sebelum ini saya tidak pernah melihat perkara begini berlaku pada tahap yang dahsyat.”
BELUM TERLAMBAT UNTUK CEGAH KRISIS IKLIM
Para saintis dengan tegas menjelaskan bahawa semua keadaan tersebut berpunca daripada perubahan iklim yang bersebab daripada manusia.
"Semua peristiwa ekstrem itu memang kita jangkakan daripada keadaan bumi yang semakin memanas, yang sekian lama berlaku tanpa usaha mengekangnya sejak beberapa dekad lalu,” kata Prof Lindesay. Beliau menambah pakar-pakar kaji iklim telah lama memberi amaran keadaan yang diluar daripada biasa itu akan berlaku.
“Kita telah bertahun-tahun menyuarakan amaran tersebut, tetapi mendapati langkah-langkah yang diambil pihak penggubal dasar tidak mencukupi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau – punca utama di sebalik semua pemanasan ini dan kejadian cuaca ekstrem yang berlaku lebih cepat daripada yang dijangkakan.”
Bagaimanapun, sesetengah pakar percaya ia mungkin tidak terlambat untuk mengelakkan krisis iklim atau mengehadkan beberapa kesan terburuknya.
“Janganlah kita menipu diri sendiri. Ini benar-benar serius, tetapi manusia mempunyai kuasa untuk mengubah hala tuju ini dengan mengambil langkah yang lebih tegas untuk mengurangkan pelepasan (gas)," kata Prof Skea, sambil menambah bahawa semua pemerintah bukanlah tiada maklumat mengenai tindakan bagaimana yang harus diambil.
“Sememangnya, banyak pemerintah di seluruh dunia telah menerima sasaran sifar bersih pelepasan gas untuk satu ketika pada separuh kedua abad ke-21. Apa yang tidak mencukupi sekarang adalah sasaran tersebut tidak disandarkan pada dasar yang lebih aktif dan spesifik yang boleh menurunkan kadar pelepasan tersebut.”

Melangkah ke hadapan, perlu ada proses dan perbahasan tentang bagaimana sebenarnya pengurangan pelepasan gas ini boleh berlaku, kata pakar-pakar, sambil mencadangkan supaya diubah sedikit amalan kerja kita dan cara bandar-bandar direka bentuk.
"Apa yang jelas adalah kini tidak lagi mudah untuk kita berada di luar sedang adanya masalah haba dan kelembapan,” kata Prof Skea.
“Oleh itu selain mengurangkan pelepasan gas, kita perlukan satu agenda besar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim… di mana kita perlu membiasakan diri dengan suhu yang lebih tinggi, dengan dunia yang lebih panas. Pada masa yang sama banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk mencegah dunia daripada terus menjadi panas.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pendedahan selebriti Cef Wan bahawa beliau kini menghidap barah limfoma.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.