'Tidak berpatah balik': Beliau pernah ternak lembu, belajar bahasa Jepun demi menjadi pemain bola sepak profesional
Adakah pemain wanita akan ditawarkan kontrak profesional di Singapura? Ketika Piala Dunia Wanita FIFA terus menarik penonton di seluruh dunia, kapten skuad Lionesses Rosnani Azman memberitahu CNA "mudah-mudahan tidak lama lagi".

SINGAPURA: Tujuh bulan sejak kembali ke tanah air selepas tiga tahun di luar negara, pemain bola sepak kebangsaan Siti Rosnani Azman masih cuba menyesuaikan diri.Â
Pada Mac 2020, selepas Singapura memasuki tempoh pemutus litar (circuit-breaker) untuk mengekang penularan COVID-19, ramai orang - termasuk pemain bola sepak - mendapati diri mereka tiba-tiba tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila latihan dimulakan semula pada tahun itu, jangkitan dan penangguhan yang diikuti kemudian telah menyebabkan kadar perkembangan yang jauh lebih perlahan.
Sementara itu, Rosnani - yang ketika itu berusia 24 tahun - berada di Australia sebagai penggembala lembu; yang bermaksud di Australia sebagai orang yang melakukan kerja-kerja menjaga ternakan, dengan si petani sering menggunakan motosikal bahkan helikopter untuk melakukannya.
Dia telah terbang ke Australia tidak lama sebelum pandemik yang menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa, selepas berjaya menandatangani kontrak dengan kelab separa profesional South West Queensland Thunder FC.
Bagi mengekalkan visa percutian bekerja di Australia, dia bukan sahaja menjalani latihan, malah turut bekerja di ladang-ladang di utara Australia.
"Saya banyak bergerak - saya jarang berada dalam rumah," kata Rosnani kepada CNA Women. "Kalau tidak menggembela lembu, yang boleh mengambil masa hampir sehari dan memerlukan kami berkhemah di seberang stesen (lembu), saya akan membuat (kelas) tuisyen dengan kanak-kanak.Â
"Saya jenis yang suka berada di luar. Saya suka pemandangan - ia menggembirakan saya. Apabila saya berada di luar, saya betul-betul terlupa pasal pandemik itu." Rosnani berkata dia pernah mempertimbangkan untuk pulang sebelum sempadan ditutup kerana dia tidak pernah berada di luar negara selama lebih dua minggu pada satu-satu masa. Dia juga sangat merindui keluarga di Singapura.Â
"Tetapi saya memutuskan untuk terus tinggal (di Australia) dan lihat apa yang akan terjadi selepas ini," katanya.
Apa yang berlaku selepas itu akhirnya menjadi versi Rosnani yang diimpikannya selama ini - impian untuk menjadi pemain bola sepak secara profesional.
Pada 2021, Rosnani menandatangani kontrak profesional dengan Kelab Olahraga Antarabangsa Jepun (INAC) Kobe Leonessa, sekali gus menjadi rakyat Singapura pertama yang bermain dalam liga bola sepak professional wanita di Jepun.Â
Rosnani juga merupakan Lioness kedua yang menandatangani kontrak sebagai pemain profesional yang bermain di merata dunia, selepas Lim Shiya dengan Perth Glory FC dari Australia pada 2008. Â
Bermula dengan mempelajari bahasa Jepun dengan cepat - sebagai pemain tengah, Rosnani mempunyai tugas yang berat untuk selalu mengawal perlawanan sehingga mengalami kecederaan mendadak di musim sejuk. Kejayaan yang diraihnya bukanlah sesuatu yang mudah.
Tetapi pemain Hougang United itu memang menunjukkan kesungguhan dalam prestasinya. Â
"Di Jepun, bola sepak sangat teknikal - kelajuan perlawanannya sangat pantas. Saya suka adrenalina macam ini," katanya.
LAYANAN SAMA RATA SATU "PERASAAN YANG BAIK"
Dia bermohon untuk dipindahkan sebagai pemain pinjaman pada 2021. Dia bermain dengan pasukan bahagian kedua Kibi International sehingga pertengahan 2022, apabila kontraknya dengan INAC Kobe tamat.
Hanya selepas menamatkan kontrak tambahan enam bulan bersama Kibi, Rosnani kembali ke Singapura, di mana dia mengekalkan posisinya sebagai kapten dalam pasukan kebangsaan ketika pasukan itu mengambil bahagian dalam kelayakan Kejohanan Bola Sepak Olimpik Wanita dan kemudian, Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata dia menghargai peluang untuk bermain bersama "wajah-wajah yang dikenali" tetapi pada masa yang 'merindui' segala tekanan bermain secara profesional di luar negara.
Ia adalah pengalaman yang dicari-cari sepanjang hidupnya.
Semasa membesar di Woodlands, Rosnani dan empat beradiknya menghabiskan banyak masa bermain di ruang luar flat.
“Kadang-kadang budak lelaki di kawasan kejiranan akan datang dan bermain dengan kami. Saya berambut pendek dan mereka semua menyangka saya seorang budak lelaki, jadi apabila saya bermain dengan mereka, mereka akan main habis-habisan.
“Saya suka (apabila) mereka tidak bersikap mudah terhadap saya hanya kerana saya seorang gadis. Ia satu perasaan yang baik apabila orang melayan anda sama rata,” katanya.
“Saya tidak pandai sangat tentang cara bermain ketika itu jadi saya sering menendang tanah dan jari kaki saya akan berdarah. Tapi saya berasa seronok (bermain),” tambahnya.Â
Dari situlah cintanya terhadap bola sepak berputik dan impiannya mula terbina.Â
Pada usia tujuh tahun lagi, Rosnani sudah bermain secara kompetitif, bermula dengan pasukan bola sepak wanita sekolah rendahnya, dan kemudian di Sekolah Menengah Woodlands.Â
Dia dijemput untuk menyertai pasukan kebangsaan muda dan ketika dia berumur 17 tahun, impiannya telah tercapai sepenuhnya.
“TIDAK BERPATAH BALIK”
"Saya mengaku sebagai gadis muda, saya seorang yang sangat lurus," kata Rosnani, sambil menambah bahawa ketika itu dia tidak tahu apa yang diperlukan untuk bermain secara profesional. Dia hanya tahu bahawa dia tidak mahu semua masanya dihabiskan untuk berlatih daripada bergaul dengan rakan-rakannya menjadi sia-sia.
Tetapi walaupun dia sudah meningkat dewasa, impian itu tidak pernah goyah. Demi mengambil langkah yang "realistik," dia meneruskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Politeknik Republik, tetapi memberitahu ibu bapanya dia "ingin mencapai matlamat sepenuhnya" dalam bola sepak.
“Tidak boleh berpatah balik,” katanya, walaupun dia terus bimbang kerana belum ada wanita Singapura yang diberikan kontrak bola sepak profesional ketika itu.
Walaupun dalam keadaan sukar, ibu bapa Rosnani tetap memberinya sokongan, dengan menyimpan sebarang hadiah kewangan yang diterima anaknya itu, termasuk biasiswa Yayasan Olimpik Singapura yang ditubuhkan jutawan dermawan Peter Lim, supaya suatu hari nanti dia boleh ke luar negara bersendirian.
"Ibu bapa saya membantu saya menyimpan sebab saya sudah beritahu yang saya tidak mahu menggunakan wang mereka untuk ke luar negara ... Ini adalah hidup saya," katanya.
"Saya beritahu mereka: Kamu boleh bekerja sepanjang hidup, dari usia 40-an hingga 50-an, tetapi untuk bermain bolasepak secara profesional, kita tidak boleh bermain selamanya."
"Selagi saya masih boleh bermain, mengapa tidak mencubanya? Ia tidak mudah, dari segi kewangan dan kestabilan, tetapi ia adalah pengalaman yang penting,” tambahnya.
Rosnani mengimpikan satu hari di mana dia dan rakan-rakan perempuannya akan ditawarkan kontrak profesional di Singapura.Â
“Malah orang yang saya kenal yang tidak begitu suka bola sepak, menonton juga Piala Dunia Wanita,” katanya. “Jadi saya dapat melihat (para pemain wanita menjadi profesional) boleh berlaku ... Mudah-mudahan tidak lama lagi.”
Sementara itu, pemain bola sepak wanita terus berusaha mengimbangi waktu menjalani latihan dengan pekerjaan lain.
Latihan kebangsaan mengambil masa sekitar enam jam seminggu dan latihan kelab mengambil masa yang hampir sama, termasuk perlawanan hujung minggu.
“Walaupun kami bermain dalam pasukan kebangsaan, kami bukan pemain profesional. Setiap orang mempunyai pekerjaan lain tetapi masih memberi komitmen untuk menghadiri latihan. Ia memang sukar untuk mengimbangi kedua-dua aspek ini," katanya.Â
Tetapi Rosnani tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa dan dia tidak mahukannya. Pandangannya tertumpu pada matlamat utama beliau.Â
“Saya hanya melakukan kerja separuh masa kerana saya mahu bersedia untuk (mengambil ujian) percubaan di luar negara.
"Jepun hanyalah permulaan bagi saya."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.Â
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana pesakit di Singapura terima rawatan seperti hospital di rumah sendiri.Â
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.