Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Dari robot penghantaran kepada cermin mata bijak: Inovasi membantu rumah jagaan sediakan khidmat lebih baik

Teknologi inovasi menjimatkan masa kakitangan penjaga, dan membolehkan jururawat menyediakan khidmat yang lebih baik kepada warga tua jagaan mereka.

Dari robot penghantaran kepada cermin mata bijak:  Inovasi membantu rumah jagaan sediakan khidmat lebih baik
Seorang jururawat menggunakan cermin mata bijak, yang boleh menangkap dan menghantar apa yang dilihat dalam masa nyata.

SINGAPURA: Daripada robot yang menghantar cadar kepada cermin mata bijak yang membolehkan jururawat menghantar apa yang mereka lihat.

Ini semua dapat dilakukan di rumah-rumah jagaan orang tua Singapura yang telah melabur dalam teknologi baharu sedemikian. 

NTUC Health, misalnya, menggunakan robot atau alat angkut pandu sendiri untuk menghantar keperluan bilik dan makanan ke wad di rumah jagaan kelolaannya.

Di cawangannya di Chai Chee, robot pengangkut itu yang menyerupai troli dan mampu membawa muatan sehingga 180 kg, menjimatkan lebih 4,000 jam waktu kerja pada tahun lepas.

Alat itu boleh bergerak bebas di sekitar rumah jagaan, sama ada mengikut jadualnya yang ditetapkan atau apabila diaktifkan oleh kakitangan untuk membuat  penghantaran.

Sebelum adanya alat tersebut jururawat terpaksa mengangkut lebih 70 beg kain atau linen ke lebih tujuh tingkat wad setiap hari. Tugas itu bukan sahaja memakan masa, malah memerlukan tenaga fizikal.

LEBIH BANYAK MASA UNTUK PESAKIT

Cik Samte Lunching, pembantu jururawat kanan di rumah jagaan Chai Chee berkata, masa yang digunakan untuk mengumpul linen kini boleh digunakan untuk memberi perhatian yang lebih kepada warga emas di bawah jagaannya.

“Dengan sistem ini, kita dapat memberi perhatian tambahan kepada para penghuni kita. Ia sangat mudah dan sangat menjimatkan masa dan tenaga kita. Saya senang kini kami mempunyai lebih banyak masa dan juga tidak seletih dahulu,” katanya.

Encik Sim Tan Rui, pengurus kanan operasi NTUC Health, berkata dalam Singapura menghadapi masalah tenaga kerja, sistem (penggunaan robot) itu membantu dalam melegakan kakitangan daripada beberapa aktiviti berat dan kerja-kerja nilai tambah yang rendah.

Rumah itu bekerjasama dengan Politeknik Temasek pada 2020 untuk membangunkan alat angkut itu supaya tugas-tugas biasa boleh diautomasikan dan membebaskan para pekerja untuk tugas-tugas lain.

NTUC Health merancang untuk melengkapkan semua rumah jagaan kelolaannya dengan peralatan tersebut menjelang tahun depan.

Robot atau alat pengangkut barang pandu sendiri yang boleh membawa muatan sehingga 180 kg, digunakan untuk membawa linen dan barangan lain di rumah jagaan NTUC Health di Chai Chee.

SISTEM PENGESAN PENGHUNI 

Di rumah jagaan Ren Ci di Ang Mo Kio, sistem pengesan penghuni atau geofencing telah disediakan untuk menjejaki warga emas dengan demensia dengan mudah sekiranya mereka tersesat dalam bangunannya setinggi 10 tingkat itu.

Penghuni yang diberikan tag dengan teknologi bijak boleh memicu alat penggera jika mereka merayau melepasi jarak tertentu dalam persekitaran mereka, seperti pintu keluar, lantas memberi amaran kepada pengawal keselamatan.

Sebelum ini, apabila seseorang penghuni didapati hilang, kakitangan perlu mencarinya secara menyeluruh dengan memeriksa setiap tingkat bangunan. 

Dengan sistem itu, kakitangan kini dapat mengesan penduduk dengan lebih pantas menerusi peranti tablet yang menunjukkan lokasi mereka.

“Apabila seorang penghuni dengan tag RFID (pengenalan frekuensi radio) yang dijahit pada kedua-dua lengan baju penghuni melalui alat pembaca RFID, sistem itu akan mencetuskan penggera, yang akan memberitahu kakitangan dan pengawal keselamatan (rumah jagaan),” kata pengurus kanan rumah jagaan itu, Tang Sze Chia.

Penghuni menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah jagaan di Singapura.

CERMIN MATA BIJAK 

Ren Ci juga sedang merintis penggunaan cermin mata bijak untuk jururawat, yang boleh mengambil gambar dan menghantar imej itu dalam masa nyata - pada asasnya ia adalah alat panggilan video bebas tangan.

Apabila jururawat melawat warga emas di rumah, kadangkala mereka terpaksa melakukan khidmat perubatan seperti membersihkan luka.

Ada kalanya, mereka perlu merujuk lebih ramai jururawat kanan untuk mendapatkan bantuan dengan menghantar foto melalui aplikasi pemesejan.

Dengan cermin mata bijak jururawat dengan mudah dan segera boleh menghantar apa yang mereka lihat kepada profesional perubatan yang lebih berpengalaman.

Jururawat kemudian boleh menerima nasihat secara langsung tentang apa yang perlu dilakukan.

PASARAN TEKNOLOGI KESIHATAN

Tiga pemacu utama yang mendorong penggunaan teknologi untuk warga senja, kata Dr James Kah dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ketiga-tiga pemacu itu adalah: penduduk yang semakin tua, peningkatan kuasa kewangan warga senja dan peningkatan pesat teknologi baharu dalam sektor ini.
 
"Kita boleh menjangkakan lebih banyak teknologi baharu muncul dalam bidang pemantauan kesihatan, seperti penggunaan peralatan boleh dipakai (wearables),” katanya. "Selalunya, ini seiring dengan perkhidmatan kesihatan digital seperti aplikasi yang boleh digunakan warga emas untuk melihat status kesihatan mereka atau untuk mendapatkan konsultasi teleperubatan."

Walaupun kebanyakan teknologi untuk warga emas perlu diimport dari luar negara, lantas mungkin mahal, pemerhati industri berkata semua inovasi ini menjimatkan masa penjaga dan membolehkan jururawat menyediakan perkhidmatan perubatan yang lebih baik.

Dr Kah menambah bilangan perniagaan tempatan yang membangunkan teknologi untuk warga tua dijangka berkembang dalam ekonomi perak yang sedang pesat membangun ini.

“Apabila orang ramai dilatih dan menjadi lebih sedar tentang cabaran-cabarannya, dan apabila saiz pasaran berkembang, kita boleh menjangkakan lebih banyak syarikat akan menceburi semua bidang pembangunan teknologi ini dan (akan berusaha) untuk menangani jurang dalam ekonomi perak ini,” katanya.
 
Beliau percaya bahawa jurang itu sudah pun dirapatkan antara warga emas dan teknologi. Pelaksanaan serta penggunaan pula akan menjadi semakin lancar bagi kedua-dua penjaga dan warga tua di bawah jagaan mereka.

“Generasi warga emas akan datang lebih celik huruf dan mempunyai pendedahan yang lebih besar kepada pendigitalan. Jadi, halangan itu semakin berkurangan,” katanya.

“Kedua, apabila kita beralih ke industri 5.0, terdapat juga penekanan yang lebih besar dalam melihat aspek-aspek UI (pengalaman pengguna – user experience)  dan UX (reka bentuk antaramuka pengguna - user interface design) dalam pembangunan digital, yang bertujuan menjadikan pengalaman teknologi yang lebih selesa bagi warga emas.”

Oleh itu beberapa trend baru dalam teknologi jagaan warga emas pada masa hadapan, akan meliputi aplikasi untuk menangani pengasingan sosial dan kemurungan, serta teknologi yang membolehkan senaman, kata Dr Kah.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai gejala remaja yang  ketagihan media sosial.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement