Derita sakit kulit tiada penawar tak halang wanita ini raih ijazah sarjana, besarkan empat anak
Tidak lama selepas perkahwinannya dan kelahiran pertamanya, kulit Yuzlina Yaacob menunjukkan simptom melepuh dan benjolan kecil yang mempunyai nanah di seluruh badannya. Dia berkongsi dengan CNA tentang perjuangannya hidup dengan psoriasis pustular umum (GPP), penyakit autoimun sepanjang hayat yang menjejaskan kulit.

KUALA LUMPUR: Yuzlina Yaacob sentiasa mengimpikan sebuah keluarga yang besar. Dia mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun. Sebulan kemudian, dia disahkan hamil.
Dua bulan selepas kehamilannya pada Oktober 2005, Cik Yuzlina mendapati dia menghidap psoriasis pustular umum (GPP). Ia adalah sejenis penyakit kulit yang jarang berlaku dan tidak boleh diubati yang juga disebut sebagai gangguan autoimun.
Gejala psoriasis pustular umum itu pada mulanya muncul sebagai lepuh berisi nanah yang menyakitkan pada paha kanan Cik Yuzlina, meliputi kulitnya berdiameter 4cm. Kemudian, tompok lain muncul di tangan kanannya.
“Ia adalah tahun pertama perkahwinan saya, jadi saya berasa terlalu segan dan malu untuk memberitahu suami. Saya kunci pintu bilik saya dan cuba merawatnya sendiri,” kata wanita warganegara Malaysia yang kini menetap di Kelantan.
Benjolan itu kelihatan seperti jerawat, lantas dia mencucuknya dengan jarum bagi mengeluarkan nanah yang berbau busuk. Dia kemudian menyapu minyak tradisional Melayu di bahagian benjolan itu.
Namun, benjolan itu timbul semula beberapa hari kemudian, dan malah semakin besar dan lagi menyakitkan.
Cik Yuzlina memutuskan untuk memberitahu suaminya dan kemudian mendapatkan rawatan di hospital di Johor Bahru, tempat dimana dia pernah tinggal ketika itu.
Dia didiagnosis dengan psoriasis pustular umum (GPP), sejenis penyakit kulit yang teruk tetapi tidak berjangkit. Penghidapnya mengalami keradangan tidak normal dengan benjolan dan mempunyai nanah. Ia malah, mungkin bertambah teruk disebabkan kehamilan, bagi sesetengah kes.
Bimbang ubat makan akan menjejaskan bayi dalam kandungan, doktor Cik Yuzlina hanya memberi ubat sapu seperti syampu dan krim.
Keadaan Cik Yuzlina semakin merosot sedang kandungannya mula membesar. Tidak lama kemudian, benjolan merebak ke seluruh badannya, termasuk muka, kulit kepala, telinga dan juga bahagian dalam hidungnya.

“Seluruh badan saya seperti tongkol jagung yang dipenuhi dengan biji, dan penuh dengan nanah. Saya terpaksa mengalas katil saya dengan selimut besar pada waktu malam supaya nanah tidak mengotorkan cadar. Ia sangat gatal dan menyakitkan sehingga saya menangis sepanjang masa,” katanya.
MEMAHAMI PSORIASIS PUSTULAR UMUM
APA ITU PSORIASIS PUSTULAR UMUM (GPP)
Ia adalah bentuk psoriasis yang paling jarang berlaku yang juga merupakan gangguan autoimun. Pesakit GPP akan menunjukkan simptom seperti kulit menjadi merah dan timbul lepuh yang gatal dan menyakitkan. Ia juga dikenali sebagai benjolan bernanah dan tidak berjangkit.
SIMPTOM
Benjolan-benjolan boleh meletus secara tiba-tiba, bertahan selama beberapa minggu dan kemudian hilang sebahagian atau sepenuhnya dengan sendirinya. Pesakit kadangkala juga mengalami demam, menggigil, sakit kepala, denyutan nadi laju, lemah otot, loya, keletihan dan sakit sendi.
APAKAH PUNCANYA
Ia telah dikaitkan dengan mutasi genetik, dan boleh dicetuskan oleh pengeluaran steroid, jangkitan, tekanan atau kehamilan. Ia biasanya melibatkan orang dewasa, walaupun kanak-kanak juga boleh mendapatkannya.
RAWATAN
Ini adalah keadaan yang tidak boleh diubati. Namun, doktor mungkin memberi ubat sapu, ubat makan dan fototerapi untuk mengawal gejala-gejala dialami pesakit. Wanita hamil juga akan dipantau dengan lebih rapi bagi menjamin keselamatan ibu dan kandungan.
Maklumat ini dipetik daripada Yayasan Psoriasis Kebangsaan di Amerika Syarikat dan DermNet, sumber dermatologi di New Zealand.
UJIAN UNTUK PASANGAN MUDA
Selepas didiagnosis penyakit itu, Cik Yuzlina merasakan dia tidak dapat meneruskan pekerjaan dan meletakkan jawatan sebagai eksekutif pemasaran. Keadaan bertambah buruk ketika kandungannya berusia tiga bulan apabila dia hanya mampu terbaring di katil.
Suaminya yang menjadi penyara tunggal keluarga akan menghidangkan makanan kepadanya selain mengambil alih kerja-kerja rumah.
“Saya suruh dia basuh baju saya berasingan dengan baju dia. Tetapi katanya, tidak perlu, kerana (GPP) tidak berjangkit. Dia membasuh semua pakaian kami bersama-sama,” katanya.
Suami Cik Yuzlina juga memandikannya. “Dia membawa satu baldi berisi air dan membantu saya mencuci rambut semasa saya berbaring di atas katil. Dia tidak berasa takut dengan saya atau kekok ketika membuatnya,” katanya.
PERJUANGAN KETIKA HAMIL DAN MENJADI IBU
Kehamilan menjadi lebih mencabar dengan penyakit GPP ini.
Cik Yuzlina terlepas banyak pemeriksaan antenatal (sebelum bersalin). Setiap kali hadir ke janji temu bersama doktor, dia perlu berkerusi roda “Saya tidak boleh berjalan kerana ada benjolan di tapak kaki saya. Saya juga tidak boleh memakai kasut dan hanya memakai selipar.
"(Keadaan kulit saya) sangat teruk sehingga saya fikir saya akan mati," luahnya.

“Apabila saya tiba untuk janji temu, jururawat atau doktor akan terkejut dan takut apabila melihat keadaan saya. Mereka akan bertanya apa yang berlaku. Jadi saya terpaksa memberitahu mereka cerita yang sama berulang kali,” katanya.
Menurut Cik Yuzlina, dia melahirkan pada usia kandungan tujuh bulan yang mungkin disebabkan rasa tertekan. Bayi itu hanya seberat 2 kilogram.
Penyakit itu terus memberi kesan emosi Cik Yuzlina sedang dalam tempoh membesarkan bayinya yang baru lahir itu.
“Selepas bersalin, saya tidak dapat menggendong bayi saya kerana benjolan-benjolan yang menutupi lengan saya. Saya menyusukannya dengan meletakkannya di atas katil dan mendekatkan badan saya ke arahnya,” katanya.
TANGANI RASA SAKIT KULIT
Sebaik sahaja melahirkan, Cik Yuzlina mula mengambil ubat secara oral dan keadaannya bertambah baik dalam dua bulan. Benjolannya semakin mengecil kecil dan hanya berlaku di beberapa bahagian tertentu.
Dia belajar untuk hidup dengan penyakit kulit itu dan pada 2007 dia mendaftar dalam ijazah sarjana sepenuh masa dalam bidang sumber manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru. Sejurus menyertai sekolah tersebut, dia mendapati dirinya hamil lagi.
“Saya terkejut dan bimbang ‘gelombang besar’ psoriasis akan datang lagi. Saya tertanya-tanya bagaimana saya mahu fokus dalam pelajaran dalam masa sama hamil, membesarkan bayi dan psoriasis," katanya.

Sudah tentu, kehamilannya memburukkan lagi penyakitnya. Dia berhenti makan ubat oral dan benjolan timbul pada seluruh badannya, walaupun kali ini, ia tidak muncul pada wajahnya.
“Ia gila. Di sebalik pakaian saya, saya mempunyai banyak benjolan yang gatal dan menyakitkan yang tiada siapa tahu. Saya berjalan seperti seekor penguin kerana terdapat pada tapak kaki. Apabila saya duduk, benjolan itu kadang-kadang pecah dan mengotorkan pakaian saya,” ceritanya sambil menambah dia akan memakai pakaian berwarna gelap ke kelas.
Sungguhpun demikian, Cik Yuzlina meneruskan kehamilannya hingga cukup bulan dan melahirkan bayi lelaki yang sihat pada Februari 2008. Dua minggu kemudian, dia kembali fokus pada pengajian ijazah sarjananya.
MEMBINA KELUARGA BESAR
Cik Yuzlina kini sedar bahawa kehamilan adalah faktor besar yang mencetuskan sakit kulit itu. Namun, ia tidak sekalipun menghalang hasratnya untuk mempunyai lebih ramai cahaya mata.
“Saya sentiasa mahu ada keluarga yang besar. Jadi saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya akan mengatasi cabaran ini dan menjadi lebih kuat,” ujarnya.
Pada 2010, dia melahirkan seorang lagi anak perempuan dan juga kembali bekerja dengan mengajar di UTM.
Namun, dugaan besar menimpa keluarganya apabila anak perempuan itu jatuh dari ketinggian 10 anak tangga dan meninggal dunia.
Kesedihan yang tidak dapat dibayangkan itu menyebabkan psoriasis kembali menyerang Cik Yuzlina. “Seluruh badan saya dipenuhi benjolan dan saya tidak boleh berjalan. Saya mahu pergi ke kubur untuk melihatnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan, tetapi saya tidak dapat pergi," katanya dalam nada sebak.
Cik Yuzlina mengambil masa yang lama untuk menerima kehilangan anaknya itu. Tetapi pada 2015, dia dikurniakan sepasang gadis kembar.

Pada Februari 2019, ketika usianya mencecah 40 tahun, dia hamil anak kembar semula, tetapi mengalami keguguran dalam tempoh empat hingga lima bulan.
Apabila dia hamil semula pada September tahun itu, doktornya menasihati agar dia menamatkan kehamilan.
Menurut doktor, disebabkan penyakit kulit dialami Cik Yuzlina yang memerlukannya mengambil ubat-ubatan selain kes keguguran sebelum ini mungkin menjejaskan perkembangan bayi serta kesihatannya.
Selepas berbincang dengan keluarga, Cik Yuzlina menuruti nasihat doktor. Dia juga menjalani prosedur pengikatan (litigasi) tiub peranakan dan mencegah kehamilan untuk masa hadapan.
KELUARGA ADALAH SEGALANYA
Cik Yuzlina, kini 44, bekerja sambilan sebagai ejen hartanah. Empat anaknya kini berusia 17, 15, dan lapan. Walaupun dia telah belajar untuk hidup dengan penyakit itu, dia menyifatkan dugaan itu sebagai sebuah perjalanan yang sunyi.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila dia marah, kecewa atau tertekan, atau ketika cuaca panas. Dia juga sering tidak dapat menyertai aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan.
"Walaupun saya selalunya kuat dan positif, ada kalanya saya rasa sedih dan hanya mahu mengasingkan diri," tambahnya.
"Kadang-kadang … anak-anak kecil mahu memeluk saya, duduk dekat dengan saya, atau sentuh lengan atau belakang saya, saya akan memberitahu mereka untuk tidak mendekati saya. Saya takut benjolan saya akan pecah,” katanya.
Kasih sayang, penerimaan dan persefahaman keluarganya sangat penting dalam mengharungi masa sukar itu, katanya.
"Saya ajak anak-anak saya berkumpul dan meminta mereka bantu sapu krim pada kulit saya. Mereka semua mahu membantu dan tidak berasa jijik atau jengkel. Walaupun saya sakit, saya gembira kerana mereka kisah akan saya,” katanya.
"Penyakit ini tidak boleh diramalkan - ia boleh menjadi lebih baik atau lebih teruk. Saya reda. Apa yang paling penting adalah sokongan keluarga,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kisah pelari terpantas Asia Shanti Pereira.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.