Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

'Saya berasa sangat letih': Bas ulang-alik memudahkan jururawat Malaysia yang bekerja di Singapura

Ada yang pernah menyewa di Singapura tetapi kadar sewanya terus meningkat tinggi. Mereka mungkin berhenti sahaja bekerja jika tidak kerana adanya perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan hospital.

'Saya berasa sangat letih':  Bas ulang-alik memudahkan jururawat Malaysia yang bekerja di Singapura
Jururawat kakitangan Hospital Parkway East, Prasana Devi Mathavan, menaiki bas yang membawanya pulang ke Johor Bahru dari Singapura. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

SINGAPURA: Kakitangan jururawat Prasana Devi Mathavan pernah menyewa di Singapura tetapi selepas sewanya naik 50 peratus selepas pandemik COVID-19, dia tidak mampu lagi tinggal di sini.

Warganegara Malaysia itu berpindah ke Johor Bahru dan mengembara setiap hari merentasi Tambak untuk bekerja sebagai jururawat di Hospital Parkway East. Tetapi Cik Prasana berasa terkesan dengan perjalanan jauh sehingga mengambil keputusan untuk berhenti pada Februari. 

Dua bulan kemudian, wanita berusia 33 tahun itu kembali berkhidmat apabila mendengar hospital itu mula menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik untuk mengambil jururawat yang tinggal di Johor Bahru pergi dan balik dari tempat kerja.

"Saya dapati ada keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan dengan adanya perkhidmatan bas ulang-alik ini ... sebelum ini, masa saya di rumah sangat terhad," katanya.

Ini adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak hospital di Singapura untuk mengekalkan pekerjaan para jururawat, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja dalam industri penjagaan kesihatan di sini.

Kadar pengurangan jururawat di Singapura, dan terutamanya jururawat asing, meningkat pada 2021, menurut angka yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dalam jawapan parlimen Ogos lalu.

Dalam kalangan penduduk tempatan, kadar pengurangan pada tahun itu ialah 7.4 peratus. Bagi jururawat asing, ia malah lebih tinggi pada kadar 14.8 peratus. Waktu bekerja yang panjang, kerja syif dan peluang pekerjaan yang lebih baik adalah beberapa faktor yang mendorong mereka untuk berhenti.

Seperti Cik Prasana, jururawat kakitangan kanan Lingeaswary Chendra Mohhan pernah mengalami perjalanan yang lebih lama dari rumahnya di Johor Bahru ke tempat dia berkhidmat di Hospital Gleneagles di Singapura. 

Wanita berusia 34 tahun itu pernah bangun seawal pukul 3 pagi untuk syif 7 pagi, dan perjalanannya melibatkan empat buah bas awam.

Dengan perkhidmatan bas ulang-alik itu, dia kini perlu bangun pada pukul 3.45 pagi dan sampai ke hospital pada pukul 6 pagi. Dia mengambil masa tambahan itu untuk berehat dan bersarapan sebelum memulakan kerja.

Cik Mohhan, yang sedang melanjutkan ijazah sarjana dalam bidang kesihatan awam, juga pulang sejam lebih awal daripada sebelumnya, memberikannya lebih banyak masa untuk belajar.

Jururawat lain memberitahu CNA bahawa mereka kini mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga mereka. Cik Nishanti Vikaraman, 35, ibu kepada tiga orang anak itu, pernah berfikir untuk berhenti kerja selepas melahirkan anak ketiganya. Waktu perjalanan yang panjang juga memakan tenaga dan masanya untuk diluangkan bersama anak-anaknya.

Ada kalanya dia pulang ke rumah pada tengah malam walaupun telah menamatkan syifnya pada sebelah petang. Kemudian dia terpaksa bangun pada pukul 3 pagi untuk syif pagi keesokan harinya, katanya.

"Kadang-kadang saya langsung tiada rehat. Saya baring tetapi tidak betul-betul tidur... sebab kami fikir kami perlu bersedia untuk bekerja (keesokannya)," katanya.

"Saya berasa sangat letih ... (dan saya tidak ada) pilihan, terpaksa berhenti kerja. Tetapi sejak mengambil perkhidmatan ulang-alik ini, saya boleh sampai ke rumah lebih awal."

Prasana Devi Mathavan berkata perkhidmatan ulang-alik mengambil masa hanya satu jam untuk ke tempat kerja, berbanding dua setengah jam ketika dia menaiki bas awam. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

TINGKAT KONDISI KERJA JURURAWAT

IHH Healthcare Singapore berkata lebih 300 pekerja di empat hospitalnya menggunakan perkhidmatan ulang-alik itu. Permintaan melebihi kapasiti semasa, jadi ia merancang untuk menambah lebih banyak bas.

Syarikat itu adalah pengendali hospital swasta terbesar di Singapura dan mengendalikan kedua-dua hospital Gleneagles dan Parkway East.

Pandemik COVID-19 telah mewujudkan permintaan yang sekian lama diinginkan para jururawat yang mahu berhijrah tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana sekatan perjalanan, kata IHH.

Kadar pengurangan (tenaga kerja) dalam semua pengendali penjagaan kesihatan meningkat pada 2022 apabila sempadan dibuka semula, tambahnya, walaupun keadaan bertambah baik pada separuh pertama tahun ini.

IHH dan institusi penjagaan kesihatan lain yang bercakap dengan CNA berkata mereka telah melaksanakan beberapa langkah untuk memperbaiki kondisi kerja jururawat.

Sebagai contoh, jururawat IHH kini mempunyai lima hari seminggu bekerja, sedangkan sebelum ini mereka mempunyai tiga hari cuti setiap dua minggu. Jururawat juga berkata mereka mendapat lebih banyak bantuan dalam kerja rutin mereka - pembantu penjagaan kesihatan membantu dengan kerja-kerja seperti memandikan pesakit dan menjawab loceng panggilan - supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada tugas yang lebih kompleks.

Hospital awam juga berkata mereka telah melaksanakan jadual kerja yang lebih fleksibel dan inovasi lain untuk membantu para jururawat menyesuaikan diri dengan tugasan dengan lebih baik. 

Cik Sui Huangbo, penolong pengarah kejururawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), berkata hospital itu sedang mengadakan sesi libat urus bersama jururawat. 

Ia bagi mengetahui sama ada beban kerja dan skop kerja mereka boleh diselaraskan agar keperluan mereka dapat dipenuhi dengan lebih baik. Hospital itu juga sedang berusaha ke arah memberi jururawat lebih autonomi ke atas syif mereka.

"Kami juga telah menambah baik corak syif kerja jururawat untuk menambah tempoh rehat antara syif terbabit," kata Cik Sui.

Hospital itu juga telah melancarkan ujian menggunakan pendigitalan, robotik dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyelaras kerja-kerja jururawat supaya mereka tidak dibebani dengan tugas berulang dan intensif buruh, katanya. Empat belas inisiatif yang telah diuji di kemudahan SMART TTSH sudah pun diperkenalkan.

Contohnya, ia termasuk pemutar katil automatik untuk membantu memusingkan pesakit dalam keadaan tidur, peranti pancuran mandian berbantu, robot penghantaran makanan dan katil pintar yang menghalang daripada jatuh. 

Yishun Health juga bergantung pada robot untuk menjalankan tugas rutin tersebut. Ketua jururawat Shirley Heng berkata sejak November tahun lalu, robot di wad Hospital Komuniti Yishun telah menghantar barangan kecil kepada pesakit dan membuat pengumuman.

"Ia telah mengurangkan kerja hafalan, membolehkan jururawat kami mendedikasikan masa mereka untuk membuat penjagaan klinikal dan mempunyai penglibatan yang lebih langsung dan bermakna dengan pesakit," kata Cik Heng.

Maklum balasnya adalah positif, jadi terdapat rancangan untuk meneroka penggunaan robot autonomi di Hospital Khoo Teck Puat.

Cik Heng berkata pembantu penjagaan kesihatan juga sedang dilatih dan mengambil peranan sokongan penjagaan peringkat lebih tinggi. Ini telah membebaskan masa bagi jururawat untuk menumpukan perhatian kepada penjagaan kejururawatan klinikal, tambahnya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penduduk kondo Country Garden Johor yang bimbang projek belum siap sedang pemaju China berdepan krisis hutang. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement