Dengan AI semakin meluas, bagaimana karyawan manfaatkan ChatGPT untuk kerja harian
Penggunaan meluas wadah chatbot kecerdasan buatan (AI) yang popular seperti ChatGPT memasuki era baru dengan semakin ramai golongan karyawan memanfaatkannya. Kita tinjau sejauh mana ia memberi kesan kepada dunia pekerjaan hari ini.

SINGAPURA: Landskap dalam dunia pekerjaan semakin berubah dengan cepat. Anda tidak perlu menjadi seorang CEO atau bekerja dalam dunia korporat untuk memiliki seorang pembantu peribadi.
Anda juga boleh menjadi juruteknik muda, mengendalikan dengan purata lapan hingga 15 tugas yang berbeza setiap hari dengan pasukan anda. Ini termasuk pembaikan elektrik, pendawaian semula, pemasangan dan penggantian lampu, suis dan soket untuk pelanggan.
Sebelum ini, ketika anda berulang-alik antara tugas, anda perlu menjawab pertanyaan pelanggan yang tidak pernah terhenti melalui WhatsApp atau panggilan telefon. Kadang-kadang, ia mengambil sepanjang hari untuk berkomunikasi dengan bakal pelanggan semata-mata untuk mendapatkan kerja itu.
Tetapi semua itu telah berubah. Pembantu peribadi baru ini menjawab pertanyaan awal pelanggan serta tugas-tugas lain, sekaligus membolehkan anda memberi tumpuan kepada kerja utama perniagaan anda, suatu yang anda memang hargai.
Namun, terdapat satu perbezaan.
Pembantu peribadi ini tidak diambil bekerja setelah mengiklankan kekosongan jawatan. Ia adalah ChatGPT - dan bagi Zames Chew, tukang baiki berusia 24 tahun yang menerajui Repairs.sg, adalah seorang daripada 100 juta pengguna aktif chatbot kecerdasan buatan (AI) yang popular itu.
Sejak syarikatnya menggunakan ChatGPT, kerja telah menjadi lebih produktif - dan lebih menyeronokkan.

BEKERJA LEBIH BIJAK DENGAN CHATGPT
Malah sebelum Encik Chew menggabungkan ChatGPT ke dalam bidang kerjanya – bidang yang memang tidak dengan AI, syarikat perkhidmatan elektriknya sudah pun menonjolkan suatu kelainan dalam industri "tradisional" ini. Lebih separuh daripada tenaga kerja pasukan kecilnya berusia dalam lingkungan 20-an, manakala selebihnya berusia 30-an.
Kemudian pada bulan Mac, syarikat itu melancarkan Repairs AI – sebuah chatbot yang dicipta oleh pasukannya untuk membantu pelanggan menerusi wadah webnya yang dipacu oleh ChatGPT.
Encik Chew dan pasukannya mendapati ramai pelanggan menanya soalan yang sama – contohnya, "Soket saya dah lebur. Apa yang harus saya lakukan?”.
Ini mendorong syarikatnya mencari cara yang lebih baik untuk membantu para pelangga tanpa perlu menjawab setiap pertanyaan secara individu.
Oleh itu, Repairs AI dicipta untuk memberi pelanggan penyelesaian yang mudah dan ringkas, termasuk sebut harga kos sekiranya mereka memilih untuk mengupah pasukan Repairs.sg. Dalam beberapa hari sahaja, ia menjawab lebih daripada 500 soalan daripada pelanggan.
Pelanggan dapat "berulang-alik" bertanya tentang masalah mereka melalui perbualan dengan chatbot, seperti memikirkan apa yang perlu dibuat jika ada gangguan elektrik di rumah, sehingga mereka menemui jalan penyelesaian. Dalam kes ini, mereka akan dinasihatkan untuk menetapkan semula elektrik di rumah, kata Encik Chew.
Sebaik sahaja pelanggan menghubungi pasukannya melalui WhatsApp, kebanyakan memang sudah tahu apa yang mereka cari.
Oleh kerana Repairs AI dilatih menggunakan dokumen dan manual yang sama seperti yang mereka gunakan untuk melatih ahli pasukan mereka sendiri, "semua perkara yang (dicadangkan) Repairs AI adalah perkara yang kami akan lakukan untuk pelanggan kami," tambah Encik Chew.
“Kami menganggap ini sebagai satu lanjutan (diri kami sendiri) seolah-olah kami hadir di hadapan mata pelanggan, walaupun bukan secara fizikal. Kami fikir ia akan menambah nilai kepada pelanggan kami dan semoga ini memudahkan mereka mengurus kediaman masing-masing. Ia sangat memberdayakan.”

Selain melayani pelanggan, Encik Chew juga mengalihkan tugas-tugas lain kepada ChatGPT: Misalnya, menulis kertas cadangan kepada pelanggan dengan menggunakannya sebagai "input kreatif" yang bertindak sebagai titik permulaan, serta menguruskan dokumen panjang dengan memecahkannya kepada invois, laporan perkhidmatan, sebutan harga dan banyak lagi.
"Semua tugas ini adalah perkara yang boleh kita katakan rutin dan berulang. Tetapi, apabila kita perlu menyediakan kertas cadangan dan mengurai maklumat, seperti dokumen panjang, untuk dijadikan ringkasan, ia bukan kekuatan kami dan akan memakan banyak masa," jelasnya.
"Kami mendapati selepas beberapa bulan membuat ujian, ChatGPT dapat melakukan tugas-tugas tersebut pada tahap ketepatan yang sangat tinggi, jadi kami memutuskan mengapa tidak menggunakannya sahaja.”
Ini sebaliknya telah membantu ahli pasukan membalas pertanyaan – dan mendapatkan – pelanggan baru dengan lebih cepat.
“Ia bukan sahaja tidak menggantikan mana-mana perkara yang kita lakukan, ia menjadikan semua benda lebih mudah bagi kita supaya kita boleh meluangkan lebih sedikit masa membuat perkara yang kita tidak mahu lakukan dan menghabiskan lebih banyak masa membuat benda-benda yang dalam kepakaran kita,” tambah Encik Chew.

"TAHAP AUTOMASI" YANG MELAPANGKAN MASA
Penyanyi-penulis lagu tempatan Inch Chua juga mencari kebebasan sedemikian melalui penggunaan ChatGPT, dimana beliau sudah menjadi "penyokong kuat AI" sejak tahun 2017. Dia juga melanggan ChatGPT+, versi canggih yang berharga AS$20 (RM91) sebulan.
Wanita berusia 34 tahun itu menganggap ChatGPT sebagai "pembantu yang hebat" untuk pelbagai tugas yang berkaitan dengan bahasa, seperti "menghasilkan rangka kandungan, pembacaan semula dan memberikan penjelasan".
Lebih khusus lagi, ChatGPT membantunya menulis e-mel, menghasilkan arahan penulisan kreatif untuk penulisan lagu dan penulisan skrip, dan membaca semula struktur tatabahasa dan ayatnya.
“Ia merupakan satu saluran pengetahuan domain hebat yang tidak dapat saya miliki dan membuka satu tahap automasi yang dapat melapangkan masa saya, ” katanya.
ChatGPT telah menjadikan proses penyelidikan lebih menyeronokkan bagi Cik Chua dengan sistem itu mengambil peranan sebagai pembantu penyelidik, berbanding dengan masa dia menggunakan Google, yang hanya menyediakan pautan.
"Bagi ChatGPT, ia menyusun penyelidikan untuk anda. Anda bercakap dengannya secara berkomunikasi. Ini kurang membosankan berbanding dengan hanya mencari pautan. Jika ia telah membaca sebuah buku, anda boleh mengadakan perbincangan sastera yang mendalam dengannya,” katanya.
"Misalnya, kadang-kadang saya malas untuk membaca buku, jadi saya minta ChatGPT membaca untuk saya. Sekiranya saya teringat membaca sesuatu, saya akan memintanya untuk 'menyusun setiap bab yang merujuk kepada ini'. Ia jauh lebih baik daripada Google dalam aspek itu; ia sangat berstruktur dalam caranya memahami keperluan anda."
Selain AI, keperluan untuk sentiasa menyusuri teknologi terkini dalam industri muzik adalah sesuatu yang "cukup penting" bagi Cik Chua, yang ingin tahu bagaimana muzik digubah dan dihasilkan.
“Teknologi selalu memainkan peranan besar dalam membentuk industri ini. ... Perkembangan peralatan rakaman jenis analog ke digital telah mengubah cara kita mencipta musik secara drastik. Penemuan teknologi auto-tune juga telah mengubah dunia muzik. Saya melihat inovasi sebagai sesuatu yang biasa dan tidak dapat dielakkan," katanya.
"Terpulang kepada individu untuk mengkajinya, memanfaatkannya, ataupun menolaknya jika ia bukan sesuatu yang sesuai untuk anda."
MENGATASI KERAGUAN DAN KETAKUTAN
Walaupun (atau mungkin disebabkan oleh) penggunaan ChatGPT secara besar-besaran dalam kalangan profesional, penolakan terhadap AI juga berlaku dengan sama pantas. Ada yang menyebut AI sebagai petanda masa depan distopia, sementara yang lain mempunyai ketakutan yang lebih praktikal, seperti bertanya-tanya apakah AI akan menggantikan pekerjaan tertentu.
Ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui ini, Cik Chua percaya, adalah normal dan boleh difahami, tetapi juga "sangat tidak seimbang dengan keadaan teknologi semasa".
“Harapan saya adalah untuk menyokong AI dalam erti kata bahawa, betul, ia tak akan hilang. Anda tidak perlu menjadi seniman AI, tetapi anda tidak perlu takut dengannya. Bermainlah dengan AI. Kemudian anda akan memahami batasannya dan juga kekuatan anda. Ia bertujuan menghilangkan rasa takut mendalam berkaitan dengan AI," katanya.
Begitu juga, Dr Mikhail Filippov dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menunjukkan bahawa keraguan ini berpunca daripada "hakikat bahawa kita melihat sesuatu yang akan mengubah dunia, tetapi kita tidak cukup tahu mengenainya, jadi reaksi pertama kita adalah menentangnya".
“Sebab itu saya rasa perkara terbaik yang boleh kita lakukan, sebagai masyarakat, adalah dengan menggunakan ChatGPT. Jadi ia tidak lagi menjadi sesuatu yang tidak diketahui," kata profesor yang mengajar dalam bidang sains dan teknologi di bawah Program Sarjana Universiti.
Dr Filippov percaya kebanyakan kebimbangan mengenai AI dan ChatGPT adalah "bukan berkaitan teknologi, tetapi berkaitan dengan manusia". Sebagai contoh, kecenderungan (biases) yang dimasukkan dan disebarkan ke dalam model-model AI berdasarkan data daripada manusia.
Tetapi " kecenderungan itu juga sedang mengalami perubahan", tambahnya. Dengan kata lain, apabila piawaian moral dan etika berkembang, data yang dikumpul mencerminkan keragaman yang wujud dalam masyarakat itu sendiri.
Terdapat juga ketakutan mendalam terhadap kewujudan dan identiti kita sebagai pekerja kerana adanya alat seperti AI, katanya.
“Kita sudah kian lama mengaitkan pekerjaan kita dengan jati diri kita masing-masing. Kita mendefinisikan diri kita melalui jenis kerja yang kita lakukan. Dan pekerjaan kita, sejujurnya, sangat bersifat fungsional, beranalitik dan rasional. Dan sebahagian besar tugas sedemikian yang berasaskan algoritma, analisis, rasional ini boleh digantikan,” katanya.
“Ramai di antara kita tidak menyukai tugas-tugas ini, tetapi sama ada kita menyukainya atau tidak, ia adalah sebahagian daripada identiti diri kita. Jadi sekarang, jika semua tugas saya boleh dilakukan oleh mesin, apa lagi yang boleh saya lakukan? Bagaimana saya hendak mendefinisikan diri saya? Ini adalah cabaran mental, cabaran falsafah. Apakah itu peranan kerja?"
AI DALAM ARUS UTAMA
Walaupun ChatGPT nampaknya telah mempercepat penggunaan AI, kebanyakan kerangka matematik yang digunakan dalam membina AI "bukan sesuatu yang baru", kata Dr Filippov, yang juga seorang ahli fizik matematik.
Beliau merujuk kepada sebuah syarikat baru yang diasaskan bersama pada 2018 yang dipanggil Quod AI, yang menterjemahkan kod sumber kepada bahasa Inggeris yang mudah difahami.
"Walaupun amat mengagumkan bagaimana model yang berbeza dapat membuat pelancaran yang besar kepada masyarakat dalam banyak cara, secara matematik mereka telah bersama kita sejak sekian lama. Ia adalah gabungan daripada banyak faktor yang menarik begitu banyak perhatian dan memberi kesan sedemikian," katanya.
"Saya masih ingat ketika AI sangat terbatas dalam aplikasinya, dan saya juga ingat ahli-ahli akademik ketika itu sangat skeptis. Mereka selalu berfikir bahawa ia akan memakan waktu 50 tahun, 30 tahun, 20 tahun. Tiada siapa yang dapat meramal yang lonjakan itu akan berlaku begitu cepat."
Dr Filippov bercakap berdasarkan pengalaman peribadinya sebagai salah satu penguji ChatGPT tahun lalu. Menyaksikan penggunaannya yang meluas adalah sesuatu yang "menakjubkan", kerana "tiada siapa yang dapat meramalkan bahawa ia akan digunakan dalam pelbagai cara", katanya.
Sebagai seorang profesor, beliau adalah "penyokong besar" dalam memberikan ChatGPT kepada setiap pelajar, sama seperti kalkulator. Guru juga perlu beralih daripada "mengajar" kepada "mengelola" maklumat untuk pelajar, walaupun peralihan ini sudah bermula dengan kemunculan internet dan kemudian media sosial, katanya.
Kementerian Pendidikan Singapura juga sependapat mengenai penggunaan ChatGPT dan alat AI generatif yang serupa. Pada bulan Februari, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata di Parlimen bahawa para pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi diberikan bimbingan dan sumber untuk "memanfaatkan teknologi ini dengan berkesan" bagi meningkatkan pembelajaran.
Para pelajar juga akan diajar untuk memahami "konsep asas". Mereka perlu pandai menilai secara kritikal pencapaian ChatGPT dari segi ketepatan dan objektiviti, serta dibimbing untuk tidak terlalu bergantung kepada peralatan berteknologi, kata menteri Chan.
Cara ini akan memberikan kemahiran penting kepada pelajar sekolah apabila mereka memasuki dunia kerjaya nanti. Ini kerana ramai pencari kerja dan perekrut telah mula menggunakan AI.
Cik Chua Pei Ying, ketua ahli ekonomi rantau Asia Pasifik di LinkedIn, berkata salah satu ciri baru dalam LinkedIn menggunakan sebuah model GPT canggih daripada OpenAI untuk membantu para profesional menonjolkan kemahiran dan pengalaman mereka “yang paling penting", dengan membolehkan mereka menonjolkannya sebagai "suara yang unik dan perjalanan profesional” yang lebih berkesan".
Bagi karyawan perekrut, mereka boleh menggunakan "deskripsi pekerjaan berkuasa AI" untuk "memudahkan proses merangka jawatan kosong", kata Cik Chua. Mereka hanya perlu menyediakan "maklumat asas" bagi alat AI menghasilkan deskripsi kerja yang boleh disemak semula.
Kedua-dua ciri baru itu, baik untuk para profesional dan perekrut, belum lagi terdapat di Singapura.
Namun, menurut Cik Chua, ketulenan (maklumat) tetap menjadi sesuatu yang "tidak ternilai" kepada kedua-dua perekrut dan pencari kerja, terutamanya apabila model OpenAI menjadi semakin umum.
"Seperti teknologi lain, alat AI tidak boleh menggantikan sentuhan manusia dalam proses pengambilan dan pencarian kerja. "Perekrut masih perlu membina hubungan dengan calon dan mencari bakat terbaik untuk jawatan itu, manakala pencari kerja masih perlu mengembangkan dan menonjolkan kemahiran yang relevan, serta memperibadikan resume mereka agar selari dengan watak dan pengalaman mereka," katanya.
PERUBAHAN “DALAM CARA YANG BAIK”
Oleh itu, walaupun masih ada kegunaan bagi kurikulum vitae (CV) dan surat pengiring (cover letter), penggunaan ChatGPT secara meluas oleh pencari kerja mungkin boleh menyaksikan berakhirnya proses pengambilan pekerja yang mengutamakan kedua-dua dokumen itu.
Dan ini adalah perkara yang baik, kata pengarah urusan syarikat pendidikan dan bimbingan kerjaya EduCareerSG.
Menurut Encik Michael Teo, ChatGPT akan menjadikan pasaran kerja lebih kompetitif. Dengan bertambahnya resume dengan "kesamaan menyeluruh” hasil penggunaan ChatGPT, pihak pengurus pengambilan pekerja akan "terpaksa mencari alternatif lain untuk membezakan pemohon".
Sedang para calon mencari kaedah berbeza untuk bantu dalam penonjolan diri, pihak pengambilan pekerja pula perlu memberi lebih banyak penekanan kepada soal metrik seperti kos pengambilan calon, tempoh perkhidmatan mereka dengan syarikat terdahulu dan juga rujukan yang boleh dipercayai, tambahnya.
Encik Teo, yang syarikatnya telah membantu kira-kira 800 individu sejak beliau mengasaskannya pada tahun 2018, mengakui bahawa ChatGPT berpotensi meningkatkan peluang calon untuk mendapatkan temu duga melalui bantuan seperti menulis surat pengiring yang lebih menarik dan dengan mengenal pasti kekata kunci yang menarik perhatian pihak pengurus pengambilan pekerja.
Namun, pada masa yang sama ia adalah juga umpama "pedang bermata dua". Seseorang itu hanya akan mendapat manfaat "jika individu tersebut dapat menyelitkan penambahbaikan itu ke dalam CV mereka dan dapat belajar daripada proses itu", jelasnya.
Dalam erti kata lain, ChatGPT harus digunakan untuk tujuan "penambahbaikan" resume, bukan untuk mencipta sesuatu yang memangnya tidak wujud.
Kemampuan ChatGPT mengubah norma-norma juga menjadikan Cik Chua teruja apabila memikirkan masa depan industri muzik. Dia menggemari teknologi ini kerana ia "mendesak" ramai daripada kita, termasuk dirinya sendiri, serta industri muzik untuk terus maju, seolah-olah proses “pemilihan alam bagi dunia kreatif bakal berlaku".
“Apa yang saya suka tentang teknologi adalah ia secara sistematik meleburkan atau mempercepatkan sistem yang sudah gagal. Bagi saya, industri kreatif sentiasa mempunyai masalah ... (di mana) individu dibayar berlebihan untuk melakukan kerja biasa yang dapat ditiru oleh AI," katanya.
"Teknologi adalah pengimbang. Ia meningkatkan satu tahap kesedaran bagi orang ramai. Ia menggangu dengan cara yang baik, dengan memecahkan kitaran."
Cik Chua menambah, sebenarnya, kemampuan seseorang untuk mencipta arahan yang berkesan pada ChatGPT “memerlukan gabungan pengetahuan domain dan kemampuan untuk memahami konteks dalam menyelesaikan masalah ”.
"Dalam banyak cara, AI akan menyaring tindak balas yang biasa, yang dapat ditiru, dan yang berformula. Oleh itu, daya kreatif sejati akan memanfaatkan kemampuannya."

EMPATI, KEPAKARAN TIDAK DAPAT DIGANTIKAN
Penggunaan ChatGPT dan teknologi AI oleh karyawan seperti Cik Chua mungkin menjadikannya sebagai individu yang berbeza dari kalangan rakan-rakan kreatifnya. Ini lebih-lebih lagi kerana artis yang menggunakan AI untuk menghasilkan karya seni dikecam oleh mereka yang berpendapat bahawa AI bercanggah dengan ketulenan yang seharusnya wujud dalam gaya kreatif seseorang artis.
Bagi Cik Chua, beliau mengerti kenapa adanya tentangan terhadap AI sambil menegaskan bahawa AI tidak boleh menggantikan "pengalaman manusia" walaupun keupayaannya akan terus berkembang. Chua juga menganggap bahawa dirinya bukan orang yang bergantung kepada teknologi semata-mata.
Dari segi penulisan lagu, ChatGPT tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan sesuatu yang "lebih abstrak", seperti apabila anda mentafsirkan tekstur sebagai bunyi dengan menggambarkan perasaan yang ditimbulkannya, jelas Cik Chua.
"Proses membuat benda masuk akal adalah tingkah laku yang agak unik bagi pengalaman manusia. Ia sangat berbeza daripada apabila mesin membuat benda masuk akal, kerana ia menggunakan perkara-perkara yang sudah masuk akal bagi manusia,” katanya. Beliau menambah bahawa sebarang gagasan yang "tersalah tafsir” juga boleh mengakibatkan "kehilangan kreativiti".
"Secara umum, AI telah menjadi pembantu yang hebat dalam penggubahan musik dan pencetusan idea. Namun, walaupun ia dapat meniru dengan sempurna, ia tetap tidak mempunyai unsur manusia, seperti emosi dan pengalaman peribadi. Kreativiti boleh dihasilkan, tetapi bukan pembentukan idea.
Begitu juga, bagi Dr Filippov dari NUS, walaupun dia seorang penyokong AI, dia berasa "sangat yakin" bahawa kerjaya yang membolehkan individu "berhubung dengan manusia lain" tidak akan luput.
Di EduCareerSG, yang berurusan dengan para profesional dari industri perhotelan dan gaya hidup, Encik Teo melatih individu-individu ini dalam "kecerdasan emosi" untuk membantu mereka supaya terus menonjol di pasaran kerja hari ini.
Ia merangkumi “kemampuan untuk mengurus dan memahami emosi pihak yang bertentangan supaya mereka boleh bertindak balas dengan lebih baik”, dan kemahiran manusia seperti itu tidak dapat dilakukan oleh ChatGPT, menurutnya.

Menyetujui kelemahan sesetengah orang yang menganggap bahawa ChatGPT itu adalah segala-galanya, Encik Chew, seorang juruteknik yang bertemu dengan para pelanggannya setiap hari, menegaskan kalau tidak kerana kepakarannya, beliau tidak akan menyedari sebarang kesilapan yang mungkin diberikan oleh ChatGPT dalam web syarikatnya.
“Ia mungkin mengenai panduan bagaimana pelanggan boleh membaiki lampu di rumah dengan senang, dan ChatGPT boleh memberi nasihat bahawa tugas itu adalah berbahaya atau mungkin menyebabkan kecederaan (walaupun) jika mereka cuba mengikuti arahan tersebut dengan tepat,” kata Encik Chew.
"Kami tahu bagaimana hendak melakukan kerja tersebut dan kami tahu langkah berjaga-jaga yang perlu diambil. Tetapi jika kita hanya mengambil jawapan dari ChatGPT dan memberikannya kepada pengguna, ia mungkin berbahaya dari semasa ke semasa."
Oleh itu, versi model ChatGPT yang "diubah suai" yang digunakan oleh pasukan Encik Chew untuk membina chatbot Repairs AI adalah versi yang boleh digunakan oleh pelanggan.
Hasil awal yang dijana oleh ChatGPT "asal", seperti melakarkan kertas cadangan atau draf e-mel, adalah hanya untuk kegunaan mereka sendiri. Pihak kakitangan syarikat juga akan memastikan bahawa sebarang maklumat yang dihasilkan "pembantu peribadi" (ChatGPT) mereka, memenuhi tahap profesional sebelum ia diberikan kepada pelanggan.
Dengan landskap dunia pekerjaan terus berubah dengan pesat, bukan sahaja kita semua bakal mempunyai “pembantu peribadi” sendiri, malah juga “agensi peribadi” masing-masing.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sejauh mana anda perlu mempunyai alat penapis udara di rumah ketika berlakunya jerebu.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.