Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Selebriti Malaysia Cef Wan dedah hidap barah, terima ujian 'dengan hati terbuka’

Cef terkenal itu mendedahkan dia didiagnosis penyakit barah menerusi catatan di Instagram pada 3 Ogos lalu. 

KUALA LUMPUR: Cef selebriti Malaysia Redzuawan Ismail, atau lebih popular dengan nama Cef Wan mendedahkan pada Khamis lalu (3 Ogos) bahawa dia telah didiagnosis dengan penyakit limfoma - sejenis barah yang bermula dalam sel-sel melawan jangkitan sistem imun.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas cef berusia 65 tahun itu berkongsi di Instagram bahawa dia telah  mendapatkan pemeriksaan di hospital, di mana doktor mendapati nodus limfanya membengkak. 

Menerusi catatannya pada Khamis, Cef Wan berkata doktor telah menjalankan biopsi terhadapnya " (sebanyak) dua kali untuk mengesahkan keputusan yang mereka perolehi (sebelum ini)". Dia juga dijadualkan menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk menentukan sama ada barah itu telah merebak ke lain-lain anggota badannya.  

Walaupun menerima berita duka itu, Cef Wan dilihat masih positif apabila sempat bergurau dalam catatan itu dengan berkata dia "sudah boleh mula membayangkan (dirinya memakai) rambut palsu yang berbeza" selepas menjalani kemoterapi.

"Saya akan mengalami (simptom) muntah-muntah seperti dalam adegan terkenal lakonan Linda Blair dari filem Exorcist dan juga cirit-birit yang tidak berkesudahan."

Dalam pada itu, Cef Wan turut berkongsi bahawa anak perempuan dan menantunya sedih dengan berita itu tetapi tegasnya, dia akan "okay".

"Pada saat ini, saya menerima semua cabaran saya dengan hati yang terbuka dan keberanian yang besar. Inilah kehidupan. Anda hanya boleh mengambil langkah demi langkah untuk satu-satu masa dan dengan cara yang positif. Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang."

Dia mengakhiri catatannya di Instagram dengan berkata: "Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain juga pada masa hadapan."

Catatan Cef Wan sejak itu menerima ucapan selamat dari kalangan warganet, dengan beberapa orang berkongsi pengalaman peribadi mereka dalam berjuang melawan penyakit barah.

Seorang peminat menulis: "Ya, itulah semangatnya. Anda akan baik-baik saja, insya-Allah. Saya juga disahkan menghidap barah tahun lepas. Selesai kemoterapi dan radioterapi awal tahun ini. Kekal positif. Ia banyak membantu. Semoga Allah permudahkan segalanya untuk anda dan keluarga. Anda boleh laluinya."

Cef Wan mula menempa nama dalam bidang masakan sekitar tahun 90-an ketika rancangan televisyen masakannya menjadi popular kerana personalitinya yang menarik dan jenaka yang sering menambat hati penonton. 

Di Singapura, dia membuat beberapa penampilan sebagai tetamu dalam pelbagai rancangan tempatan dan juga membuka dua restoran, Chef Wan's Kitchen dan 1 Market - kedua-duanya telah berhenti beroperasi. Ibunya meninggal dunia awal tahun ini selepas berjuang melawan pelbagai penyakit termasuk barah, Alzheimer dan demensia.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana para karyawan manfaatkan ChatGPT untuk kerja harian.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement