Dari blog kepada Instagram, dua ibu suri rumah ini giat menjayakan komuniti online
Pada mulanya dua suri rumah, Liang May dan Ameera Binsemait, hanya bertukar maklumat mengenai penjagaan anak-anak. Usaha mereka kemudian berkembang menjadi sebuah komuniti dalam talian di mana para ibu lain boleh berhubung dan belajar dengan satu sama lain.

SINGAPURA: Selepas melahirkan anak perempuannya pada 2019, Ameera Binsemait seperti berasa serba salah. Pada usia 28 tahun ketika itu, dia mempunyai kerjaya yang berjaya sebagai spesialis komunikasi dan pemasaran, satu kejayaan yang telah dibinanya selama tujuh tahun.
Tetapi apa yang paling diingininya adalah menjadi seorang ibu dan suri rumah atau ‘stay-at-home mother’ (SAHM). Beliau hanya mahu menjaga anak perempuannya itu sambil menyaksikan dengan sendiri setiap perkembangan anaknya.
Bagi seorang lagi ibu dan suri rumah, Liang May, keputusannya hendak berhenti kerja datang dengan mudah. Apabila anak lelakinya yang pertama lahir pada tahun 2011, dia tahu dia ingin menumpukan masa dan tenaga untuk membesarkannya.
Setelah bertahun-tahun bekerja dalam industri perhotelan, Liang berhenti kerja sebagai penolong pengarah jualan untuk menjadi seorang ibu dan suri rumah.
Kita tidak semestinya perlu menyumbang dari segi ekonomi, terdapat juga banyak nilai dalam menumpukan perhatian kita kepada usaha membesarkan anak-anak yang baik."
"Keputusan untuk meninggalkan kerjaya supaya mereka dapat memberi tumpuan yang lebih untuk membesarkan anak-anak, mungkin mengejutkan ramai orang."
Ameera berkata rakan-rakan sebayanya yang beranggapan bahawa tujuannya untuk berhenti kerja adalah untuk berehat di rumah. Mereka menganggap bahawa beliau telah membazirkan ijazahnya kerana tidak bekerja, tambah ibu anak itu, seorang anak perempuan empat tahun, dan seorang lagi anak perempuan, 1 tahun.
"Ada juga orang yang sering menganggap bahawa mempunyai pekerjaan adalah satu-satunya cara untuk menyumbang kepada masyarakat," kata Liang, 41 tahun. "Tetapi kita tidak semestinya perlu menyumbang dari segi ekonomi sahaja. Terdapat juga banyak nilai dalam memberi tumpuan untuk membesarkan anak-anak yang baik."
MENJELASKAN PERANAN SEORANG IBU, SURI RUMAH
"Selepas saya berhenti kerja dan memulakan hidup baru sebagai ibu dan suri rumah, saya berasa kesepian dan seolah-olah tidak lagi dipandang orang," kata Ameera.
“Sebilangan besar rakan saya, sama ada bukan seorang ibu, atau ibu yang bekerja. Sebagai seorang ibu yang baru, saya berasa begitu sibuk dengan bayi saya, jadi saya tidak banyak mennghabiskan masa di luar rumah.”
Namun, persepsi orang ramai terhadap ibu-ibu suri rumah seperti beliau menjejas Ameera. Ini kerana tidak ramai yang memahami apa yang sedang dilalui oleh ibu-ibu sedemikian.
"Walaupun berada di rumah sepanjang masa, saya sibuk membersihkan rumah, menukar lampin, belajar memasak dan kemudian memasak untuk bayi dan keluarga. Saya juga merancang dan menjadualkan masa bermain untuk anak perempuan saya. Memang banyak benda perlu dilakukan. Saya hampir tidak mempunyai masa langsung untuk diri saya sendiri," kata Ameera.
Lantaran itu, beliau cuba mencari mana-mana kumpulan online untuk para suri rumah atau ibu sepenuh masa seperti dirinya di Singapura. Namun, beliau tidak menjumpai satu kumpulan pun. "Dunia Internet pun tidak mempunyai tempat yang boleh saya pergi (untuk berkongsi maklumat)," katanya.
Jika blog saya dapat membuat orang lain ketawa atau bantu meluaskan minda orang lain, walau sedikit sekali pun, maka itu dah bagus untuk saya."
Memikirkan bahawa beliau perlukan saluran untuk meluahkan pemikiran dan rasa kecewanya, Ameera memutuskan pada tahun 2019 untuk mula menulis blog di WordPress, dengan jodol blognya 4-thirty (iaitu waktu kelahiran anak perempuannya).
Dalam blog itu, dia menggunakan catatan teks, grafik, meme lucu, dan petikan untuk menggambarkan kehidupan hariannya. Dia juga berkongsi petikan daripada blog tersebut di Instagram peribadinya.
"Saya menulis tentang pemerhatian saya sebagai suri rumah dan kehidupan seharian saya dengan anak perempuan saya," kata Ameera. "Akhirnya, orang mula membaca dan membalas apa yang saya kongsi di Instagram dan blog saya ... mereka sebenarnya berminat dengan apa yang saya lakukan sebagai seorang SAHM."
Catatan blognya merangkumi pelbagai perkara seperti apa yang dilakukannya jika dia kehabisan idea untuk aktiviti dan snek, hingga cara menangani kekecohan anak perempuannya yang masih kecil.
"Jika blog saya dapat membuat orang lain ketawa atau membantu meluaskan minda mereka, walaupun hanya sedikit, itu sudah cukup bagus untuk saya," kata Ameera. Pada tahun 2021, dia menghentikan penggunaan nama 4-thirty dan menamakan semula blognya sebagai Everyday Mama. Hari ini, blog itu telah berkembang menjadi laman web dengan akaun Instagramnya sendiri.
Liang juga, ketika dia mula menggunakan media sosial pada tahun 2013, hanya mahu "mencatat perkembangan anak-anaknya".
Dia mempunyai akaun Instagram (@mmlittlee) di mana dia berkongsi pengalaman sebagai seorang SAHM yang baru - dengan menyaksikan pencapaian anaknya, seperti apabila dia mula makan makanan pepejal atau mengucap perkataan pertamanya.
"Saya suka bercerita, jadi saya menceritakan tentang pengalaman keibubapaan saya sebagai SAHM, yang kadang-kadang membuat orang keliru dengan menganggap saya sebagai 'tai tai'," kata Liang, merujuk kepada istilah Cina bagi wanita yang berkahwin dengan orang kaya untuk menjalani kehidupan santai.
Saya sentiasa sedar bahawa setiap ibu mempunyai kesulitan dan cabarannya sendiri."
Walaupun Liang suka berkongsi kegembiraannya, dia juga mencurahkan perjuangannya - seperti tidak mempunyai masa untuk bersosial dengan rakan atau bekas rakan sekerja, mengalami masalah penyusuan susu ibu, mengalami kemurungan selepas bersalin, bergelut dengan perasaan rasa syukur dan rasa bersalah sebagai ibu, dan dalam menangani keperluan-keperluan menjaga rumah tangga.
Apa yang lebih penting bagi Liang adalah untuk tidak menimbulkan rasa bersaing antara para ibu dari berbagai jenis.
"Misalnya, saya tidak akan mengatakan bahawa adalah lebih mudah untuk menjadi ibu yang bekerja sepenuh masa, atau sebaliknya," kata Liang. "Apabila saya berkongsi pendapat dan perjalanan saya, saya sentiasa sedar bahawa setiap ibu mempunyai kesulitan dan cabarannya tersendiri."
MENCARI KEPUASAN DI LUAR KEIBUAN
"Suatu hari nanti, anak-anak saya akan membesar," kata Liang, yang mempunyai anak lelakinya berusia 11 tahun dan anak perempuan sembilan tahun. "Apabila saya menghasilkan dan berkongsi kandungan, ia mengisi masa saya dengan cara yang tidak langsung melibatkan tugas sebagai seorang ibu dan itu sudah menggembirakan saya. Saya dapat menjadi penulis, seorang penguji rasa dan pengembara - ia sangat menyeronokkan jadi saya pastikan yang saya menikmatinya.
Bagi Ameera, aspek kreatifnya dipuaskan apabila dia merancang idea dan mencipta grafik untuk catatannya.
"Inilah yang membuatkan saya teruja dan ia merupakan aktiviti yang menyegarkan daripada apa yang saya lakukan sebagai seorang ibu," katanya. "Saya juga boleh jemu dengan kerja-kerja membersih, memasak, dan melakukan apa sahaja untuk anak-anak dan suami saya. Jadi dapat melakukan sesuatu untuk diri saya sendiri adalah perkara yang sangat bermakna."
ISU-ISU BERKAITAN "SHARENTING"
Seperti kebanyakan ibu yang menghasilkan kandungan tentang perjalanan keibubapaan mereka, isu berkenaan "sharenting", di mana ibu bapa berkongsi maklumat sensitif tentang anak-anak mereka dalam talian, merupakan satu kebimbangan biasa.
Isu ini diatasi oleh Liang dengan meneliti semula perkara asas yang dilakukannya. Beliau juga memastikan anak-anak juga jelas mengapa mereka terlibat sama dalam semua kiriman sosial media ibu mereka.
"Saya pastikan mereka faham bahawa apa dilakukan kami adalah untuk menunjukkan contoh atau kajian kes yang boleh dipelajari keluarga lain,” kata Liang. Dia juga berhati-hati untuk tidak mendedahkan maklumat-maklumat peribadi seperti sekolah anak-anaknya, gambar ahli keluarga atau rakan-rakan mereka yang mungkin tidak selesa mendapat tumpuan ramai.
Bagi Ameera beliau lebih suka memberikan tumpuannya kepada membuat pemerhatiannya sebagai seorang ibu. "Saya mahu orang berhubung dengan saya, mengenali saya dan mempercayai saya," katanya, sambil menambah bahawa kandungannya lebih kepada pemahaman, kesilapan dan pengajaran yang dipelajari, dan bukan tentang apa yang dilakukan oleh anak-anaknya.
Liang menambah bahawa apabila anak-anaknya tidak lagi berasa selesa muncul dalam catatan media sosial ibu mereka, beliau bersedia untuk menghentikan aktiviti tersebut.
“Saya sanggup menutup akaun saya semata-mata untuk menghormati anak-anak saya, kerana mereka adalah satu-satunya keutamaan saya,” katanya. "Apa yang penting bukan keluarga digital yang telah kami cipta tetapi keluarga sebenar yang kami ada."
MEMUPUK KOMUNITI IBU DAN KELUARGA
Mewujudkan komuniti dalam talian merupakan salah satu kejutan paling menggembirakan bagi Ameera, selepas beliau berkongsi kandungan sebagai ibu dan suri rumah.
Hari ini Everyday Mama telah menganjurkan pertemuan seperti perjumpaan untuk bermain bersama SAHM dan anak-anak mereka. Ameera juga terlibat dalam aktiviti dan panel yang dianjurkan oleh pertubuhan yang dipimpin oleh wanita seperti Crazycat dan Little Blossom.
Ia sungguh menceriakan apabila saya tahu bahawa menerusi Everyday Mama ramai ibu lain menyedari bahawa mereka tidaklah bersendirian."
Ameera sangat gembira melihat para SAHM dapat meluangkan masa untuk berhubung dan berkongsi cerita serta perjuangan mereka sendiri. "Ia sungguh menggembirakan apabila saya ketahui bahawa menerusi Everyday Mama ramai ibu lain menyedari bahawa mereka tidaklah bersendirian."
Dalam pengalamannya terlibat dalam media sosialnya sejak sedekad lalu, Liang juga telah menerima ribuan komen. Ia datang bukan sahaja dari SAHM lain tetapi juga daripada ibu-ibu bekerja, mereka yang bujang, pasangan berpacaran dan juga remaja yang berfikiran sealiran dengan apa yang ditulisnya.
Bahagian komen media sosial Liang kini menjadi platform bagi warga net yang mengikuti beliau untuk berkongsi pengalaman mereka sendiri.
"Saya gembira dan bersyukur kerana suara saya sebagai SAHM dapat mewakili sesuatu bagi mereka yang membacanya, walaupun mereka bukan ibu suri rumah seperti saya,” kata Liang.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.