Jangan putus asa: Para pakar pemuliharaan ini menunjukkan cara kita melindungi bumi
Dr Jessica Lee, Dr Charlene Yeong dan Sue Ye adalah pendukung yang gigih dan bersemangat dalam penjagaan burung, hidupan liar asli dan biodiversiti marin dalam bidang masing-masing. Mereka memberitahu CNA tentang kerja pemuliharaan mereka, bagaimana mereka melindungi alam sekitar dan bagaimana tabiat pemuliharaan boleh diakses oleh semua orang.

SINGAPURA: Ketiga-tiga pakar pemuliharaan wanita ini bekerja di bidang yang berbeza tetapi berkongsi satu persamaan – cinta mereka terhadap alam sekitar dan minat yang mendalam untuk memuliharanya.
Dr Jessica Lee meneliti cara-cara untuk menyelamatkan burung yang terancam, doktor haiwan Dr Charlene Yeong merawat hidupan liar asli di Singapura dan kawasan sekitarnya, dan minat Sue Ye terletak pada perlindungan hidupan laut.

BURUNG SEBAGAI PEMANDANGAN INDAH: DR JESSICA LEE
Semasa kecil, Dr Lee memang tertarik pada haiwan. Sejak berusia sembilan tahun, datuknya memelihara burung-burung nyanyian dan memberikannya burung kakak tua untuk dijaga. Dikelilingi oleh burung-burung yang "cantik dan menarik", dia telah jatuh cinta dengan burung.
Untuk memuaskan minatnya, dia "menonton semua jenis dokumentari yang berkaitan dengan burung" dari karya klasik oleh penyampai TV British dan ahli biologi Sir David Attenborough dan apa sahaja program di National Geographic.
Akhirnya, seperti dikatakannya sendiri, Dr Lee
menjadi "wanita burung" – satu gelaran yang disandangnya dengan bangga sehingga hari ini.
“Saya suka burung. Ia sangat pintar dan cantik, dan berada di mana-mana sahaja di Singapura, jadi ia sentiasa memberi satu pemandangan yang indah,” kata wanita berusia 38 tahun itu.

Memandangkan cintanya pada burung, Dr Lee memiliki satu kerjaya yang sangat baik. Beliau adalah ketua program dan kerjasama spesies burung di Mandai Nature, unit pemuliharaan Kumpulan Hidupan Liar Mandai (MWG). Di sana, beliau bekerjasama dengan kumpulan tempatan dan serantau dalam melindungi spesies burung yang terancam.
Dr Lee juga merupakan penyelaras kumpulan kerja pakar untuk burung penyanyi Asia dan burung enggang berketopong di bawah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi Suruhanjaya Penyelamatan Spesies, sebuah badan global yang menetapkan amalan terbaik bagi kerja pemuliharaan.

Dalam hal pemuliharaan, satu tanggapan salah yang besar adalah bahawa kerja ini terhad kepada aktiviti makmal dan kemudahan penyelidikan," katanya, tetapi "memelihara alam memerlukan pendekatan yang berbilang aspek.""Saya suka bekerja dengan burung, tetapi saya juga suka bekerja dengan manusia, jadi saya menggabungkan kedua-duanya dan memfokuskan kerja pemuliharaan saya dengan menyatukan manusia dan burung,” katanya.
Ketika menyelesaikan masalah, saya cuba elakkan menuding jari. Saya akan berusaha untuk mengenali komuniti dan memahami keperluan mereka sebelum pasukan saya memikirkan penyelesaian."
Minat khusus beliau terletak dalam pemeliharaan spesies burung yang terancam seperti bulbul berkepala jerami, sejenis burung nyanyian, dan burung enggang berketopong, kedua-duanya berasal dari Semenanjung Tanah Melayu, yang secara geografi terdiri daripada Singapura, Malaysia Barat, Thailand Barat Daya dan Myanmar Tenggara.
Perdagangan burung di rantau ini, di mana kedua-dua spesies itu diburu untuk dijual sebagai haiwan peliharaan, telah menyebabkan haiwan-haiwan itu terancam. Ia juga mungkin sekali tidak dijaga dengan baik, bahkan boleh dibunuh agar paruh dan bulunya digunakan sebagai hiasan atau barang kemas, kata Dr Lee.

“Kerja saya melibatkan perbincangan dengan komuniti di rantau ini yang biasanya terlibat dalam amalan perdagangan burung,” jelasnya.
“Ketika menyelesaikan masalah, saya cuba tidak menyalahkan sesiapa. Saya berusaha untuk mengenali komuniti dan memahami keperluan mereka sebelum pasukan saya dan saya memikirkan penyelesaian yang membolehkan masyarakat mencari nafkah tanpa menjejaskan keselamatan burung-burung.”
Dr Lee juga bekerja dengan industri yang biasanya tiada kaitan dengan pemuliharaan, seperti pembinaan.
“Pembangunan bandar dan pemuliharaan harus selaras,” katanya. “Antara kerja yang kami lakukan termasuk menggalakkan lebih banyak infrastruktur yang mesra burung seperti menggunakan tingkap bukan reflektif di bangunan tinggi."
Tingkap sedemikian membantu burung mengemudi dengan selamat dengan menghalangnya daripada tersalah anggap bahawa bayangan kaca sebagai persekitarannya, lantas sengaja terbang ke dalamnya, yang boleh mengakibatkan kecederaan, kata Dr Lee.

PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR SEBAGAI ‘NILAI TERAS’: DR CHARLENE YEONG
“Saya sentiasa terpesona dengan reptilia,” kata Dr Yeong kepada CNA Women. "Haiwan ini memberi sumbangan yang amat besar kepada rantaian makanan dan biodiversiti secara keseluruhan, namun ia juga sangat di salah fahami.
Bagi beliau, pemuliharaan adalah "nilai teras utama".
“Sukar bagi saya untuk membayangkan diri saya tidak dapat menjaga haiwan haiwan di sekeliling kita – ia memberikan sumbangan besar kepada alam sekitar dan habitat hidup kita,” katanya. “Hanya apabila saya berhubung dengan alam semula jadi barulah saya berasa lebih lengkap. Jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk melindungi hidupan liar – sekurang-kurangnya itulah yang boleh saya lakukan."
Wanita berusia 42 tahun itu memperolehi ijazah dalam bidang zoologi di Universiti Otago di New Zealand pada tahun 2003, yang telah membuka matanya kepada pemuliharaan hidupan liar.
Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai pegawai pengurusan haiwan di Zoo Singapura selama setahun sebelum menyertai jabatan pemuliharaan dan penyelidikan dengan bekas Hidupan Liar Simpanan Singapura (kini Kumpulan Hidupan Liar Mandai). Di sana, dia bertemu dengan doktor-doktor haiwan yang memberi inspirasi kepadanya untuk turut menjadi seorang doktor haiwan..

Kini, Dr Yeong adalah doktor haiwan di MWG dan menguruskan kesihatan dan pemulihan hidupan liar di Mandai Nature.
Tugasnya melibatkan penjagaan haiwan liar yang cedera seperti colugos kegemarannya (sejenis haiwan bersaiz kucing mirip kelawar, yang aktif pada waktu malam, bermata besar dan berasal dari Asia Tenggara), serta juga ular sawa dan musang.
Orang ramai yang menjumpai haiwan liar yang cedera boleh menghubungi Pusat Gerak Balas Haiwan 24 jam yang dikendalikan oleh Lembaga Taman Negara (NParks). Haiwan-haiwan tersebut akan diambil dan dipindahkan ke Pusat Penjagaan Kesihatan dan Penyelidikan Haiwan Liar MWG, di mana terletaknya sebuah hospital haiwan.
Pada waktu lapangnya, Dr Yeong mengetuai kumpulan sukarelawan yang mengkaji tentang pemuliharaan, keselamatan, dan perlindungan bagi tenggiling, hidupan liar bandar, memerang, dan reptilia di Singapura.

Dr Yeong juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang melancarkan kempen Our Wild Neighbours pada 2022, yang mengkaji bagaimana penduduk bandar boleh hidup selaras dengan hidupan liar asli seperti ular, babi hutan, tenggiling dan kera.
"Salah satu cara untuk hidup harmoni dengan haiwan liar di sekeliling kita adalah dengan mengetahui dan memahami tingkah laku asasnya, yang selalunya tidak membahayakan manusia," kata Dr Yeong.
"Ular dan babi hutan mungkin kelihatan mengancam, dan sememang begitu, tetapi ia tidak berbahaya dan mungkin tidak akan berbuat apa-apa kecuali diganggu," katanya. "Jadi perkara terbaik yang harus dilakukan adalah biarkannya sahaja, dan kita teruskan apa yang kita lakukukan."
Laman web Our Wild Neighbours juga mempunyai beberapa petua mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan pelbagai haiwan liar, dari kera hinggalah kepada biawak.
"Apabila lebih banyak haiwan dapat tinggal di dalam atau dekat dengan bandar kita dengan selamat, ia adalah cara yang sihat dan secara tidak langsung menyumbang kepada perlindungan alam sekitar."

'PENGHARGAAN MENDALAM' KEPADA LAUTAN: SUE YE
Ye mengelar dirinya sebagai "orang ikan" kerana cintanya terhadap ikan dan laut.
"Ayah saya seorang yang gemar memancing sepanjang hidupnya," kata wanita berusia 37 tahun itu. "Ketika saya masih muda, dia sering membawa saya keluar memancing, dan ini membolehkan saya berada dekat dengan laut sambil mengelilingi pantai-pantai dan pulau-pulau berbeza di Singapura."
Ini telah mengembangkan penghargaannya secara mendalam terhadap alam semula jadi dan lautan. "Semasa kecil, saya banyak pergi berjalan kaki di pantai dan tempat alam semula jadi," katanya. "Dan saya telah melihat bagaimana kawasan-kawasan pantai berkembang dan merosot, dari segi kebersihan dan rupa beberapa spesies marin."
Apa yang saya lakukan dengan baik adalah menarik orang ramai kepada satu matlamat yang sama, iaitu untuk melindungi dan mengekalkan kehidupan laut kita."
Walaupun dia memulakan kerjayanya dalam bidang perbankan, Ye meninggalkan industri itu ketika berusia 30 tahun untuk lebih mendekati dirinya dengan kehidupan marin. Pada tahun 2016, dia memulakan perniagaan penyewaan bot, yang kemudiannya berkembang menjadi penyewaan kapal layar.
Dua tahun setelah memulakan perniagaan itu, dia mula mendengar dari para pemancing rekreasi dan profesional, serta pelanggan bahawa jumlah ikan yang mereka tangkap di pulau-pulau sekitar telah menurun dengan ketara.
Ia bukan kejadian yang berlaku sekali sahaja, namun Ye terus mendengar bagaimana stok ikan di kawasan tertentu di sekitar Singapura telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dia mula bimbang tentang kehidupan marin Singapura dan pada tahun 2019, dia memulakan Marine Stewards.
Ia adalah usaha dari bawah yang menjalankan pelbagai inisiatif, termasuk pameran bergerak untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan marin, aktiviti berjalan kaki di pantai di mana sukarelawan dapat melihat hidupan marin ketika air surut dan belajar tentang amalan terbaik dalam pengendalian pantai, serta ekspedisi menyelam untuk mempelajari terumbu karang di sekitar Singapura.

Ye memanggil dirinya sebagai "pemboleh", kerana Marine Stewards membolehkan "pelbagai jenis orang berkumpul dan memulihara apa yang mereka suka tentang laut".
"Saya tidak mempunyai latar belakang dalam biologi marin atau sains alam sekitar, saya tidak perlu itu," katanya. "Saya serahkan semua kepakaran itu kepada pakar-pakar yang bekerjasama dengan saya. Apa yang saya lakukan dengan baik adalah menarik orang ramai kepada satu matlamat yang sama, iaitu melindungi dan mengekalkan kehidupan di laut kita."

Salah satu inisiatif adalah ReefX, satu ekspedisi bulanan di mana para penyelam skuba rekreasi membantu dalam kerja pemuliharaan terumbu karang tempatan. Mereka menyelam di sekitar Pulau Semakau, Pulau Hantu dan Pulau St John, di mana mereka mengukur dan merekodkan hidupan laut seperti ikan dan batu karang.
Semua data diberikan kepada NParks, yang kemudiannya bekerjasama dengan Marine Stewards dan rakan kongsi mereka seperti pakar-pakar marin sukarelawan, untuk memikirkan cara bagaimana membantu pelbagai spesies berkembang. Ini termasuk membuat dasar-dasar yang mampan dan saksama mengenai amalan terbaik untuk kegiatan memancing atau penyelaman rekreasi.

KEYAKINAN PADA 'LANGKAH KECIL' UNTUK MELINDUNGI ALAM SEKITAR
Apabila bercakap tentang alam sekitar, adalah sukar untuk tidak mengambil kira kebimbangan dan rasa putus asa yang berligar dalam usaha-usaha ini.
Namun, walaupun wanita-wanita ini mengakui yang dunia mungkin berada dalam bahaya kritikal, mereka juga mengongsi rasa optimisme.
"Orang ramai cenderung dalam melihat pada aspek kelemahan apabila bercakap mengenai alam sekitar, dan ia memang begitu," kata Dr Lee. "Tetapi bukan semuanya adalah 'malapetaka dan kesuraman’, masih terdapat harapan, dan ramai orang sedang melakukan apa yang mereka boleh untuk memulihara bumi."
"Sesetengah orang mungkin berfikir yang mereka hanya seorang individu di tengah berbilion-bilion manusia, jadi apa yang mereka lakukan tidak akan bererti," tambahnya. "Tetapi saya tidak bersetuju, kerana tindakan setiap individu akan bertambah angkanya, dan walaupun anda hanya dapat menyelamatkan seekor haiwan, bukankah itu sudah cukup berharga?"
Walaupun tindakan manusia sememangnya telah menyumbang kepada kehilangan habitat dan kemudaratan terhadap alam semula jadi, tetapi tindakan manusia juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya."
Ketiga-tiga wanita ini bersetuju bahawa pemuliharaan juga boleh disertakan dalam kehidupan seharian.
"Hanya dengan tidak mengganggu haiwan kerana kita menghormati mereka sebagai sebahagian daripada tempat tinggal kita, itu sudah boleh dianggap sebagai tindakan pemuliharaan," kata Dr Yeong, sambil terkenang yang dia pernah merawat seekor ular sawa yang cedera setelah dicekik dan diikat pada tiang lampu, suatu perbuatan yang disifatkannya sebagai "terlampau keji".
Ye berkata bahawa pemuliharaan juga berkait rapat dengan penggunaan. "Apabila kita lebih peka dengan apa yang kita makan, sama ada pada makanan atau bahan lain, kita boleh secara langsung atau tidak langsung mencegah sisa daripada masuk ke lautan, sekali gus melindungi hidupan liar kita dengan lebih baik."
"Setiap langkah itu penting. Semua tindakan yang baik untuk memulihara laut kita tidak harus ditolak atau dianggap sebagai tidak terlalu penting," tambah Ye. "Dan walaupun tindakan manusia sememangnya telah menyumbang kepada kehilangan habitat dan kemudaratan terhadap alam semula jadi, tetapi tindakan manusia juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.