Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Sangat mengejutkan: Ibu gesa langkah lebih tegas selepas anak menjadi mangsa penderaan seksual 

Kumpulan pembela hak kanak-kanak juga menggesa pihak berkuasa Malaysia supaya mengukuhkan prosedur siasatan, meningkatkan sokongan kepada mangsa dan memastikan pendakwaan tepat pada masanya.

KUALA LUMPUR: Kejadian itu berlaku semasa cuti sekolah Malaysia pada Disember 2019, dan anak-anak Cik Anna* sedang menumpang tidur dengan sepupu mereka di rumah ibu mertua Cik Anna.  

Sebelum suami Cik Anna datang menjemput anak-anak mereka, ibu mertua menyedari bahawa salah seorang anak Cik Anna, Ira*, tiada di ruang tamu bersama sepupunya yang lain. Ira berumur enam tahun ketika itu.

Ibu mertua Cik Anna diberitahu bahawa Ira bersama bapa saudaranya di biliknya di tingkat atas, dan dia melihat pintu ditutup. Lelaki itu dan isterinya, kakak ipar Cik Anna, tinggal bersama ibu mertua.

Apabila Ira akhirnya turun ke tingkat bawah, anak itu perlu diyakinkan beberapa kali supaya menceritakan apa yang berlaku.

"Dia beritahu ibu mertua saya bahawa bapa saudaranya telah memanggilnya untuk bermain apa yang dipanggil 'permainan zip', dan dia telah meminta untuk mengambil gambar Ira, tanpa berseluar dalam," kata Cik Anna, 39, kepada CNA.

Pada malam itu, Ira seterusnya memberitahu bahawa dia dan bapa saudaranya telah mula bermain permainan ini pada awal tahun itu dan mengulanginya beberapa kali, termasuk sekali di rumah Ira sendiri semasa majlis barbeku keluarga.

Ia melibatkan bapa saudara yang meminta Ira melakukan aksi seks ke atasnya, kata Cik Anna, walaupun dia mengesyaki bapa saudara itu telah mula mendandani Ira lama sebelum 2019 dengan melakukan sentuhan fizikal secara berlebihan dengannya.

"Sudah tentu, ia sangat mengejutkan dan menjejas persepsi saya terhadap diri saya sendiri," katanya.

"Saya bertanya kepada diri sendiri bagaimana saya boleh terlepas pandang tanda-tandanya? Mengapa dia tidak berasa selamat untuk memberitahu saya walaupun ada arahan (bapa saudaranya supaya jangan beritahu)? Adakah saya tidak menyediakan ruang selamat untuknya? Adakah dia fikir saya akan menyalahkannya? Adakah kerana gaya saya sebagai seorang ibu?”

CNA melaporkan baru-baru ini bahawa jenayah seks ke atas kanak-kanak dan kes penderaan seksual kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia.

Menurut Polis Diraja Malaysia menyatakan ia menyiasat 1,240 kes di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak - yang meliputi kanak-kanak bawah usia 18 tahun - pada 2022. Ia adalah satu peningkatan  daripada 901 kes pada 2018.

Statistik terkini yang diberikan menunjukkan bahawa 959 kes dibuka dari Januari hingga Ogos 2023, yang menunjukkan kes purata bulanan yang lebih tinggi berbanding 2022.

Dalam kes Cik Anna, dia membuat laporan polis terhadap bapa saudara itu pada 17 Dis 2019. Lelaki itu ditahan dua hari kemudian dan didakwa di mahkamah beberapa hari selepas itu, katanya.

Tidak lama selepas itu Cik Anna mendapati perasaan sedihnya dan rasa salah diri sendiri menjadi lebih buruk lagi akibat apa yang dilihatnya sebagai kelemahan dalam sistem keadilan Malaysia.

Beliau berkata bapa saudara itu akhirnya dibebaskan kerana hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kes prima facie - atau bukti yang mencukupi pada peringkat awal untuk membuktikan kesalahan berlaku.

Cik Anna mempersoalkan sistem undang-undang yang "lambat" dan bagaimana pihak pembelaan dibenarkan menangguhkan perbicaraan mahkamah tanpa "sebab konkrit", sambil menggambarkan bagaimana Ira mengalami trauma melalui semua proses itu.

Seorang pembela hak kanak-kanak memberitahu CNA bahawa kelewatan dalam keadilan boleh menjadi "sangat mengecewakan" dan menambahkan lagi trauma yang dialami mangsa serta keluarga mereka.

Dr Hartini Zainudin berkata beliau telah melihat beberapa kes penderaan seksual kanak-kanak yang  mengambil masa dua tahun untuk memasuki sistem mahkamah sejak kes mula dilaporkan.

Untuk melindungi mangsa dan ahli keluarga mereka dengan lebih baik, beliau mencadangkan pihak berkuasa Malaysia mengukuhkan prosedur siasatan, meningkatkan sokongan untuk mangsa dan memastikan pendakwaan tepat pada masanya.

TAWAR HATI 

Dalam sistem keadilan Malaysia, pihak pendakwaan memulakan dahulu pendakwaan dengan membuktikan bahawa ia mempunyai kes prima facie.

Ia melibatkan pihak pendakwaan mendapatkan saksi-saksinya untuk membuat pendirian dan memberikan keterangan bagi pihak mereka. Pihak pembelaan juga akan meneliti bukti-bukti ini.

Cik Anna berkata Ira perlu memberi keterangan, dan anak perempuannya mengalami masalah kencing malam beberapa kali sedang proses undang-undang yang traumatik berjalan. 

"Saya membawanya berjumpa pakar psikologi kanak-kanak untuk beberapa sesi bagi menguruskan emosi dan jangkaannya menjelang dan semasa proses perbicaraan," katanya.

"Apabila keterangannya selesai, saya memberitahu Ira supaya melupakan semua ini dan dia tidak perlu memikirkan atau bercakap tentangnya lagi, kecuali jika dia sendiri yang mahu."

Cik Anna berkata kes itu menjadi berlarutan akibat  "banyak kelewatan" yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan pihak pembelaan meminta penangguhan perbicaraan.

Pada Julai 2022, bapa saudara itu dibebaskan kerana hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kes prima facie, kata Cik Anna.

Dari sudut undang-undang, ini bermakna hakim telah mempertimbangkan hujah-hujah keterangan pihak pendakwaan yang dikemukakan setakat ini, dan mendapati beliau tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh jika tertuduh memilih untuk berdiam diri.

Pakcik itu tidak perlu membela diri dan dia dibebaskan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan, tetapi sehingga kini, Cik Anna berkata dia belum menerima tarikh perbicaraan kerana sepina belum berjaya disampaikan kepada bapa saudara itu.

Cik Anna mengkritik sistem perundangan Malaysia, dengan berkata dia merasakan ia tidak memberikan pertimbangan atau perlindungan yang mencukupi untuk mangsa.

Berdasarkan pengalamannya melalui sistem sedemikian, Cik Anna membuat kesimpulan bahawa banyak keluarga mungkin memilih untuk tidak melaporkan jenayah seks dalam keluarga sebagai "keadilan yang tidak terjamin", sambil membayangkan bahawa kanak-kanak seusia Ira tidak mempunyai motif untuk berbohong apabila didera secara seksual.

"Ia juga menjadikan saya berasa tawar hati melihat betapa lambatnya proses undang-undang dan bagaimana sistem undang-undang boleh  membenarkan pihak pembelaan menangguhkan tarikh perbicaraan tanpa alasan yang konkrit," katanya.

MELINDUNGI MANGSA PENDERAAN 

Dr Hartini, yang mengasaskan bersama organisasi bukan keuntungan, Yayasan Chow Kit yang menyokong kanak-kanak terdedah di kawasan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, berkata penambahbaikan dalam pengendalian kes-kes penderaan seksual kanak-kanak harus bermula dengan prosedur penyiasatan.

Ini termasuk memberi agensi penguatkuasaan undang-undang latihan khusus untuk mengendalikan kes penderaan seksual kanak-kanak, melalui pengumpulan dan pemeliharaan bukti yang betul, menjalankan siasatan menyeluruh, dan mewujudkan teknik temu bual yang mesra kanak-kanak, katanya.

"Kita nampaknya tidak melaksanakan atau mahu melaksanakan sebarang pendekatan yang sensitif kepada kanak-kanak atau pun pendekatan cekap tangani hal kanak-kanak, dalam soal mengumpul maklumat daripada para mangsa atau memastikan keterangan mereka utuh dan selari dengan maklumat terkumpul," tambahnya.

"Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk mempunyai mangsa kanak-kanak yang disoal oleh tujuh orang dewasa yang berbeza tentang apa yang telah dialaminya."

Negara-negara di rantau ini menggunakan kaedah yang berbeza untuk melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual.
 
Di Singapura, mangsa-mangsa ini melalui satu temu bual untuk mengurangkan keperluan untuk menceritakan pengalaman mereka berulang kali. Ini juga membantu dalam memastikan ketepatan keterangan yang diberi. 

Temu bual ini, yang diketuai oleh Pasukan Polis Singapura, mengumpulkan semua soal-siasat yang  berasingan oleh pihak pihak seperti pegawai perlindungan kanak-kanak atau doktor. Polis juga boleh menjalankan temu bual lanjut dengan mangsa.

Pegawai polis juga dilatih untuk bertindak terhadap insiden jenayah seksual dengan cara yang lebih sensitif kepada mangsa. Kursus latihannya termasuk tayangan video yang diterbitkan bersama kumpulan pembelaan wanita.

Polis Diraja Malaysia memberitahu CNA bahawa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanaknya (D11) menggunakan gabungan pegawai yang mahir untuk menemu bual mangsa jenayah seks serta ahli psikologi yang boleh menyokong mangsa kanak-kanak secara emosi.

“Pakar psikologi ini membantu kami memahami kestabilan emosi mangsa, dan memberitahu mereka apa yang diharapkan (dalam proses siasatan),” kata Penolong Pesuruhjaya Polis Siti Kamsiah Hassan, ketua penolong pengarah D11.

"Melalui pendekatan psikologi ini, kami boleh memudahkan mangsa untuk bekerjasama dengan kami dan menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku."

PENDAKWAAN TEPAT MASANYA

Selain menjalankanpenyiasatan, Dr Hartini mencadangkan supaya disediakan khidmat sokongan yang komprehensif untuk mangsa, seperti kaunseling, terapi dan akses ke tempat perlindungan yang selamat.

"Memastikan perkhidmatan ini tersedia dan dibiayai dengan secukupnya akan membantu mangsa melalui proses penyembuhan dan membantu mereka sepanjang proses undang-undang. Malah juga  selepas jagaan sokongan," katanya.

Beliau juga menggesa polis, pendakwa raya dan mahkamah untuk meningkatkan penyelarasan mereka dan mempercepatkan prosiding undang-undang. Mahkamah khas atau hakim yang berdedikasi dengan kepakaran dalam kes penderaan seksual kanak-kanak boleh membawa kepada perbicaraan dan hukuman yang lebih pantas, katanya.

Gambar fail kanak-kanak dalam kesusahan. (Foto: iStock)

Di Singapura, mangsa jenayah seks yang membuat laporan di pusat polis kejiranan boleh mendapatkan siasatan lebih cepat dengan memilih butang "laporan jenayah seksual" ketika di kios beratur. 

Sistem itu kemudian akan segera memaklumkan para pegawai, yang akan memberi keutamaan dan privasi kepada mangsa.

Pada 2017 kerajaan Malaysia telah menubuhkan Mahkamah Jenayah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya untuk mengendalikan kes sedemikian dengan lebih baik.

Mahkamah ini diketuai oleh hakim kanan yang berpengalaman selama 25 tahun, dan memastikan tiada kelengahan atau penangguhan dalam mendengar kes-kes.

Matlamatnya adalah untuk memperluaskan mahkamah khas ini ke seluruh 13 negeri di Malaysia menjelang akhir 2018.

Walaupun mahkamah khas kedua ditubuhkan di Kuching, Sarawak, pada April 2018, tiada penambahan mahkamah seterusnya. Ini mencetuskan persoalan daripada ahli politik dan pembela hak kanak-kanak yang mengatakan kes jenayah seks kanak-kanak masih mengambil masa terlalu lama untuk diuruskan. 

Walaupun Dr Hartini mengakui bahawa kemajuan telah dicapai, beliau berkata sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan.

“Ia memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak berkepentingan untuk terus menangani cabaran dan mengukuhkan perlindungan mangsa dan ahli keluarga mereka dalam sistem perundangan dan keadilan di Malaysia,” tambahnya.

DENGARKAN ANAK-ANAK ANDA

Berikutan kejadian penderaan anak perempuannya, Cik Anna berkata dia tidak secara khusus mendapatkan bantuan kesihatan mental untuk dirinya sendiri. Tetapi beliau bercakap "dengan bebas dan terbuka" dengan ibu bapanya yang membantu menghiburkannya dan membina semula keyakinannya.

"Satu perkara yang saya terus fokuskan ialah bersyukur perkara ini terbongkar pada peringkat ini, sebelum ia berlanjutan dengan dia (pemangsa) berani melakukan sesuatu terhadap anaknya yang berpotensi menjadi lebih teruk," katanya.

Cik Anna berkata anak perempuannya tidak menyatakan lebih awal kejadian penderaannya kerana bapa saudara itu telah mengarahkannya supaya “merahsiakan” permainan mereka.

"Selepas berbual-bual, anak perempuan saya akhirnya beritahu saya dia berfikir bahawa oleh kerana dia (pakciknya) seorang dewasa dan juga bapa saudaranya, adalah tidak salah bermain permainan ini, walaupun anaknya kini berasa sedih mengenainya,” kata Cik Anna.   

"Dia berasa seperti dia melakukan sesuatu yang salah setiap kali."

Cik Anna berkata dia telah memberitahu Ira bahawa dia tidak perlu lagi berjumpa atau berada di mana-mana berhampiran bapa saudara itu lagi, dan dia bukan lagi sebahagian daripada keluarga.

Beliau bimbang bahawa Ira akan membesar dan memahami bagaimana sebenarnya dia didera, walaupun buat masa ini dia masih menganggap itu adalah "permainan". Cik Anna mempunyai empat orang anak berumur enam hingga 12 tahun. Ira kini berusia 10 tahun.

Dia menggalakkan ibu bapa kanak-kanak yang didera secara seksual untuk mendengar apa yang dikatakan oleh anak-anak mereka. Dan mengambil tindakan yang betul, dan berpegang teguh dengannya "sehinggalah ke penghujungnya".

"Ini kerana walaupun anda tidak mendapat keadilan yang anda atau anak-anak anda layak menerimanya, dengan tindakan anda sahaja sudah memberikan jaminan kepada anak-anak anda bahawa anda mempercayai mereka. Mereka terus disayangi dan dijaga sepenuhnya setiap masa," tambah beliau. 

*Nama-nama telah ditukar untuk melindungi identiti mereka.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement