Kemahiran pertuturan anak saya lambat. Adakah saya silap membenarkannya menonton TV?
Danial Shahrin dan isteri sebenarnya tidak ingin memberikan masa skrin kepada anak lelaki mereka, tetapi keadaan memaksa mereka membenarkannya. Dalam tempoh setahun, mereka mendapati pertuturan anak mereka lambat berkembang. Danial menceritakan kepada CNA rasa bersalahnya tentang bagimana ini boleh berlaku.
SINGAPURA: Danial Shahrin dan isterinya sedang melayari Instagram apabila mereka terjumpa beberapa video anak rakan mereka.
Mereka berasa kagum bahawa, pada 18 bulan, anak itu sudah boleh berbual dengan ibunya dan mengenalpasti objek seperti kon lalu lintas. Tetapi ia juga membuatkan mereka sedar bahawa anak mereka sendiri, Adam, yang berusia lebih kurang sama, mungkin mengalami kelewatan dalam perkembangan.
"Saya beritahu isteri saya, mungkin dia memerlukan lebih banyak masa, dan mungkin dia lambat berkembang," kata Danial.
Tetapi semasa pemeriksaan rutin Adam di poliklinik beberapa minggu kemudian, mereka menyedari bahawa kebimbangan mereka itu adalah benar.
Pada usia 18 bulan, Adam sepatutnya sudah boleh bertutur sekurang-kurangnya 50 perkataan, tetapi dia hanya mampu bercakap kira-kira 12 atau 15 perkataan. "Itu adalah amaran yang besar bagi kami," kata Danial, 29.
"Dimanakah silap kami?" tanya Danial dan isteri. Mentelah mereka berdua pengguna kemahiran berkomunikasi dalam kerjaya masing-masing. Danial adalah bekas penyampai radio manakala isterinya, Athifah, adalah seorang guru.
Ia membuatkan mereka tertanya-tanya sama ada ia ada kaitan dengan hakikat mereka membenarkan Adam menonton televisyen sejak dia berusia kira-kira lapan bulan.
Menurut garis panduan oleh Akademi Pediatrik Amerika, kanak-kanak tidak seharusnya diberikan masa skrin, kecuali untuk perbualan video, sehingga mereka berusia 18 hingga 24 bulan. Kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun perlu dihadkan masa menonton selama satu jam atau kurang dalam sehari.
Dalam podcast CNA Insider, Imperfect, Danial menceritakan tentang pengalamannya berhubung soal masa menonton (untuk kanak-kanak kecil), apa yang dipelajari tentang menggunakannya secara bermanfaat dan pengorbanan yang telah dia lakukan.
PILIHAN YANG 'OKEY' ATAU SATU KESILAPAN?
Selepas Adam dilahirkan, kedua-dua suami isteri memutuskan untuk tidak memberinya masa skrin (untuk menonton TV atau mana-mana alat peranti). Dia berharap langnkah itu dapat mengembangkan minat Adam untuk membaca. Justeru, sebelum Adam dilahirkan lagi, mereka sudah menyediakan banyak koleksi buku cerita.
Namun, oleh kerana pasangan suami isteri itu bekerja sepenuh masa, ia menjadi lebih sukar bagi mereka untuk menghiburkan Adam. Ketika itu, Danial bekerja sebagai seorang paramedik dan terpaksa bertugas syif malam pada masa-masa tertentu.
Dia masih ingat ketika dia pulang ke rumah pada satu hari dalam keadaan penat setelah bertugas syif malam selama 13 jam, Adam pada masa itu berusia kira-kira lapan bulan. Isterinya sedang bekerja dan masih ada beberapa jam lagi sebelum ibu mertuanya dapat membantu menjaga Adam.
"(Adam) tidak mahu tidur dan akan menjerit setiap kali saya cuba meletakkannya ke bawah," cerita Danial. "Saya tak dapat tahan lagi kerana pada malam yang sama, saya perlu bekerja syif malam lagi."
Oleh kerana terdesak, dia membuka televisyen dan terjumpa satu program kanak-kanak. Adam berhenti menangis dan berbaring dengan tenang.
“Dia terpesona,” kata Danial.
“Ia seperti satu pilihan yang ‘okey’ ketika itu.“ Tetapi selepas itu ia juga menjadi satu kebiasaan.
Televisyen sudah menjadi pengalih perhatian yang berguna apabila Adam mahukan (kehadiran) ibunya, atau ketika Danial pulang setelah bekerja syif malam. Setiap kali itu, mereka akan menghadkan masa menontonnya kepada setengah jam sahaja. Mereka akan memilih apa yang ditontonnya dan memastikan dia tidak dibiarkan tanpa pengawasan.
Tetapi peraturan itu menjadi lebih sukar untuk dipatuhi dan, ketika dia berusia satu tahun, Adam mula menonton TV setiap hari.
Rasa bersalah terus menyelubungi Danial. "Saya tahu ada ibu dan bapa yang mengadakan aktiviti untuk anak-anak mereka ... dan kadang-kadang ia membuatkan saya merasa seperti kami bukan ibu bapa yang baik untuknya," kata beliau.
"Sepatutnya kami tidak membiarkannya menonton semua benda ini. Kami sepatutnya mengadakan aktiviti-aktiviti yang menggalak pembelajarannya.”
Rasa bersalah itu hanya bertambah apabila mereka menyedari Adam ketinggalan dalam kemahiran bertutur berbanding rakan-rakan sebaya.
“Pada saat itulah kami memutuskan bahawa kami perlu buat sesuatu sebelum terlambat,” kata Danial. Pasangan itu mendapatkan bantuan profesional untuk Adam dan dari situ mereka menyedari bahawa anaknya mengalami sedikit kelewatan bertutur.
Adakah masa skrin benar-benar penyebabnya? Ikuti podcast Imperfect oleh CNA Insider, di mana ahli terapi pertuturan dan bahasa turut berkongsi beberapa amalan terbaik berhubung masalah ini.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kisah seorang bapa yang rasa bersalah tidak dapat menjadi ayah yang baik kerana menjalani hukuman penjara.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.