Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Tidak pernah abaikan anak-anak: Tapi janjinya dimungkiri selepas si ayah kembali ke penjara

Dia ketepikan kehidupannya yang bermasalah selepas menjadi ayah. Namun, satu setengah dekad kemudian kesilapan lamanya berulang. Dia beritahu CNA di mana silapnya.  

Tidak pernah abaikan anak-anak: Tapi janjinya dimungkiri selepas si ayah kembali ke penjara
Wartawan CNA Lianne Chia dalam wawancara dengan "James" di Penjara Changi semasa rakaman podcast Imperfect oleh CNA Insider. (Foto: Jonathan Yeo/CNA)

*Semua nama telah diubah. 

SINGAPURA: James* masih ingat kali pertama dia mendukung anak sulungnya, yang dilahirkan pada malam Krismas. 

"Perasaan itu adalah sesuatu yang saya tidak dapat ungkapkan," katanya. “Ia seperti satu keajaiban.

"Saya berkata pada diri saya bahawa saya akan melakukan yang terbaik untuknya."

James yang kini berusia 40-an membesar tanpa bapanya bersama beliau. Ibunya pula bekerja sepenuh masa. Semasa remaja, dia terlibat dalam kumpulan samseng dan dipenjarakan dua kali semasa muda - pertama kerana merusuh dan kemudian kerana mengambil dadah.

Tetapi apabila anaknya lahir, dia berikrar untuk berubah menjadi lebih baik. Dia bersumpah akan berbeza daripada ayahnya sendiri. "Anda tidak boleh menjalani gaya hidup yang sama seperti masa lalu, ... masih berpesta dan bergaul dengan rakan-rakan," katanya.

Dua tahun selepas Alpha* dilahirkan, Bravo* pula muncul — kedua-dua nama itu diberikan kepada anak-anaknya sebagai nama gelaran ketika mereka bermain semasa kanak-kanak. Selama satu setengah dekad, dia sememangnya "seorang kepala keluarga", katanya.

Tetapi pada tahun 2020, dia akhirnya dimasukkan ke penjara sekali lagi, dengan hukuman penjara selama kira-kira empat tahun kerana jenayah berkaitan dadah dan sengaja menyebabkan kecederaan yang teruk.

Dia menceritakan kisahnya dari Penjara Changi untuk episod terakhir podcast Imperfect oleh CNA Insider. Siri itu menyelidiki persoalan yang dihadapi ibu bapa, dengan cerita yang menyentuh hati tentang bagaimana mereka mengatasi dilema sebagai ibu bapa.

Dengar: Bagaimanakah saya boleh menjadi ayah yang baik … jika saya dipenjarakan?

‘AYAH AKAN SENTIASA DI SISIMU' 

Selepas anak-anaknya dilahirkan, James meneruskan perniagaan telefon bimbitnya sendiri. Tetapi dia gagal apabila Alpha dan Bravo masing-masing berusia lima dan tiga tahun. Mahligai rumah tangganya pula menjadi goyang, dengan isterinya meninggalkan keluarga menyusuli satu pertelingkahan. 

James terpaksa berdepan untuk menyampaikan berita buruk itu kepada anak-anaknya. "Ayah sayang kamu sebagai bapa, dan ayah juga sayang kamu sebagai ibu," dia masih ingat memberitahu mereka. "Ayah akan sentiasa di sisimu."

Dia kemudian melakukan berbagai pekerjaan, daripada seorang pegawai keselamatan kepada pemandu penghantaran, dan bergantung kepada ibunya untuk membantu menjaga kedua-dua anak lelakinya.

Tetapi dia meluangkan masa untuk bersama mereka setiap kali ada peluang, seperti memberi sorakan kepada mereka semasa hari sukan sekolah dan adakalanya membawa mereka menaiki lori yang dipandunya. Setiap malam, katanya, kedua-dua anak itu memeluknya sebelum tidur.

Selama bertahun-tahun dia menjalin ikatan rapat dengan mereka, dan hubungan tersebut tidak berubah sehinggalah mereka memasuki zaman remaja. 

"Anak-anaknya pernah memberitahunya bahawa 'ayah lain tidak seperti kamu,” ingat James. "Mereka berdua sangat berbangga untuk mengatakan ayah mereka sangat terbuka dengan mereka dan bercakap dengan mereka seperti seorang kawan."

Walaupun dia mendapat seorang teman wanita baru, anak-anaknya turut berasa gembira untuknya. "Kami sudah dewasa," dia masih ingat mereka memberitahunya. "Tidak mengapa jika ayah mempunyai teman wanita – ayah tidak perlu menghabiskan masa dengan kami sahaja."

James kemudian bertunang dengan teman wanitanya itu.  Lepas dia dan tunangnya mengusahakan sebuah restoran dan berpindah untuk hidup bersama. Dia  juga memulakan kerja baharu sebagai pengurus kerja-kerja renovasi. Dia mempunyai jadual yang lebih fleksibel dan lebih banyak masa untuk rakan-rakannya.

Dari situlah semasa bersama-sama rakan-rakannya, salah seorang daripada mereka menawarkan dadah kepada James. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh terpedaya dengan tawaran tersebut. James ditangkap semasa satu pemeriksaan polis di sekatan jalan raya dan dikenakan dakwaan. 

HANCUR HARAPAN  

Walaupun James tahu dia akan masuk penjara, dia tidak memberitahunya kepada anak-anaknya. "Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan," katanya.

Selepas hukumannya diringankan kerana tingkah laku  baik, James berharap dia boleh keluar dalam masa kurang daripada dua tahun, "mungkin hanya setahun" jika dia boleh menyertai program berasaskan komuniti. "Hukuman yang pendek," kata James. 

Malangnya, keadaan menjadi lebih buruk baginya. Semasa diikat jamin, James berada di restoran tunangnya pada suatu petang apabila seorang pelanggan mabuk  menggenggam tunangnya. 

"Saya tidak dapat menerimanya," kata James, lantas dia pun memukul lelaki mabuk itu dengan cawan minuman. 

James terus memukul lelaki itu sehingga tunangnya cuba menghalangnya. Akibatnya James ditangkap lagi.

Kali ini, dia sedar bahawa dia tidak akan berpeluang untuk menjalani tempoh singkat di penjara, dan dia perlu memberitahu anak-anaknya ke mana dia akan pergi. "Saya perlu bertanggungawab tentang apa yang telah saya lakukan," katanya kepada mereka.

Dia masih ingat kekesalan yang dirasakannya pada masa itu, dan menyedari bahawa dia akan meninggalkan kedua-dua anaknya itu – justeru memungkiri janjinya kepada mereka. Dan dia berasa lebih sedih lagi apabila melihat anak-anaknya sekadar dapat berdiam diri sahaja dan menundukkan kepala mereka ketika menerima berita tersebut. 

“Saya dapat merasakan kesedihan itu,” kata James, sambil dia terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anaknya supaya mereka dapat menjaga diri sendiri. 

"Jika kamu tidak mempunyai keluarga, kamu hanya kehilangan kebebasan kamu sahaja," tambahnya. "Tetapi jika kamu mempunyai keluarga, kamu  kehilangan lebih banyak daripada itu – kerana kamu juga menghancurkan hati orang yang disayangi."

Bagaimanakah hukuman penjara ke atas James menjejas hubungannya dengan anak-anaknya? Apakah cabaran terbesar yang dia hadapi ketika dalam penjara? Dan apakah yang membuatkannya yakin bahawa ini akan menjadi pengalamannya yang terakhir dalam penjara? Ikuti semua itu dalam podcast Imperfect CNA Insider

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penggunaan robot dan peranti teknologi tinggi di hospital-hospital Singapura. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement