Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Dari rumah kedai kepada niaga besar-besaran: Rahsia kejayaan restoran nasi padang Hjh Maimunah

Mahiran Abdul Rahman menamakan restoran nasi padang beliau sempena nama ibunya, Hajah Maimunah Abdul Karim. Dalam wawancara dengan CNA, beliau menceritakan pengalamannya sebagai seorang usahawan pada 1990-an dan nasihat ibunya tentang kehidupan serta perniagaan.

Dari rumah kedai kepada niaga besar-besaran: Rahsia kejayaan restoran nasi padang Hjh Maimunah
Dengan ibunya sebagai sumber inspirasi, Mahiran Abdul Rahman mendirikan Restoran Hjh Maimunah sempena nama ibunya pada 1992, ketika beliau berusia 27 tahun. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

SINGAPURA: Restoran Hjh Maimunah yang popular dan terkenal dengan hidangan nasi padangnya, bermula di sebuah rumah kedai kecil di Jalan Pisang pada 1990-an dan kini telah berkembang kepada tujuh cawangan restoran di kawasan Woodlands, Raffles Quay dan Tampines, di samping mempunyai perniagaan katering.

Restoran halal itu terkenal dengan hidangan Melayu klasik seperti rendang lembu, lemak siput sedut dan kuih-muih tempatan seperti putri salat (kuih seri muka) dan kuih lapis. Ia juga disenaraikan dalam Michelin Bib Gourmand 2023 – yang mengiktiraf restoran-restoran yang menyediakan pengalaman menjamu selera yang cemerlang pada harga yang berpatutan – dan telah kekal dalam senarai itu sejak 2019.   
 
Restoran Hjh Maimunah adalah satu kebanggaan bagi Mahiran Abdul Rahman, 58 tahun, yang mula berniaga sewaktu kawasan Jalan Pisang hanya sekadar lorong yang lengang tanpa banyak kegiatan komersial.

Mahiran (kanan) bersama ibu, Hajah Maimunah (kiri) pada 1970-an. (Gambar: Mahiran Abdul Rahman)

Sewaktu kecil, Mahiran memang rapat dengan ibunya, Allahyarhamah Hajah Maimunah Abdul Karim. Mahiran mempunyai seorang kakak yang berusia 18 tahun lebih tua daripadanya. Namun, sewaktu beliau dilahirkan, kakaknya telah berumah tangga dan berpindah ke Malaysia bersama suaminya, maka Mahiran membesar sebagai anak tunggal dalam rumahnya di Geylang.     
 
Ketika Mahiran berusia sembilan tahun, ibu bapa bercerai. Untuk menyara dirinya dan anaknya yang masih kecil, Hajah Maimunah memberi tumpuan kepada perkembangan dua perniagaan yang beliau dirikan sewaktu masih berumah tangga, iaitu sebuah agensi pelancongan haji dan sebuah perniagaan katering untuk jemaah haji Singapura yang mungkin mengidam makanan tempatan sewaktu berada di Tanah Suci.

Pada 1970-an, Allahyarhamah Hajah Maimunah menjadi syeikh haji wanita yang pertama di Singapura, yang menguruskan keperluan jemaah haji setempat dan membuat tunjuk cara di kawasan terbuka. (Gambar: Mahiran Abdul Rahman)   

KETABAHAN IBU JADI SUMBER INSPIRASI

"Ibu saya ibarat superwoman," kata Mahiran. "Beliau merupakan ibu tunggal semasa beliau menguruskan perniagaan pada 1970-an, sedangkan pada waktu itu, kaum wanita jarang melibatkan diri dalam tenaga kerja pun.   
 
"Saya dapat melihat ibu saya berurusan dengan orang-orang dari China, Timur Tengah, Indonesia," kata beliau. "Ini sesuatu yang unik dan memberi inspirasi kepada saya."   

Mahiran juga turut serta dalam usaha itu. "Sepanjang zaman persekolahan saya di peringkat rendah dan menengah, ibu akan menyuruh saya membantu beliau melakukan kerjanya," kata beliau.   
 
"Saya akan membuat kerja suruhan atau menolong ibu memasak makanan untuk jemaah haji.”
 
“Dia mengingatkan saya bahawa saya tidak harus bergantung sepenuhnya kepada suami saya ... Saya perlu juga berdikari.”

Ibunya seorang yang penyayang tetapi tegas, dan Mahiran bersyukur beliau dibesarkan dengan cara sedemikian. 

"Beliau selalu mengingatkan saya bahawa, sebagai kaum Hawa, kita tidak harus bergantung kepada orang lain," katanya. "Beliau membuat saya menjadi cekal semangat dan tabah hati. Selepas saya berkahwin ketika berumur 18 tahun, dia tetap mengingatkan saya agar jangan bergantung sepenuhnya kepada suami, bukan kerana suami saya tidak bertanggungjawab, tetapi kerana saya mesti juga tahu berdikari."

MULA BERNIAGA SENDIRI DENGAN MASAKAN ORANG MELAYU

Sepinggan nasi padang berlaukkan rendang, serunding, sambal goreng dan begedil merupakan salah satu hidangan klasik Restoran Hjh Maimunah. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

"Sebelum ibu bapa saya bercerai, bapa saya selalu memasak lauk asam pedas untuk kami," kata Mahiran mengenai hidangan ikan dengan kuahnya yang masam dan pedas itu. "Ia adalah masakan yang kami selalu makan sekeluarga. Saya suka pelbagai jenis hidangan Melayu tetapi lauk ini tetap menjadi hidangan kegemaran saya."     
 
Menikmati hidangan yang dimasak bapanya membuat Mahiran sedar akan kesannya apabila sebuah keluarga makan bersama. "Sebab itulah saya mahu memulakan sesuatu usaha yang berkaitan dengan makanan," kata beliau. "Supaya saya boleh menyatukan golongan keluarga dan orang ramai untuk makan masakan tradisional Melayu."     

Antara tahun 1988 dengan 1992, sewaktu Mahiran berusia pertengahan 20-an, beliau menyewa ruang di sebuah kafetaria kecil di South Bridge Road untuk menjual nasi padang. 
 
"Kedai itu laris tetapi saya mahu ia berkembang," katanya. "Di situlah saya belajar lebih banyak perkara tentang penjenamaan dan mengembangkan perniagaan saya – saya bercita-cita menjadikannya sebuah restoran.”     

“Itulah sebabnya saya mahu memulakan sesuatu usaha yang berkaitan dengan makanan, supaya saya boleh menyatukan golongan keluarga dan orang ramai untuk makan masakan Melayu yang asli.” 

Apabila tiba masanya untuk menamakan restoran itu, hanya satu sahaja pilihan yang jelas. Mahiran menamakannya sempena nama ibunya sebagai satu penghormatan untuk beliau. Ketika itu, sewaktu Mahiran dan suami Didih Ibrahim sibuk mengimbangi urusan perniagaan dan tanggungjawab membesarkan empat anak mereka – Ismail, sembilan tahun; Mastura, lapan tahun; Maria, tujuh tahun; dan Ibrahim, enam tahun – mereka berhasil mengumpul wang yang secukupnya untuk menjadikan impian Mahiran sebagai satu kenyataan.   
 
Mahiran menerima pelajaran pertamanya tentang perniagaan semasa beliau perlu mengambil keputusan mengenai lokasi restoran. Beliau ingin membuat pilihan mudah iaitu tempat-tempat yang dikunjungi ramai orang di Kampung Gelam, tetapi ibunya menasihati beliau agar mengambil risiko.   
 
"Apabila ibu saya menyuruh saya mencuba salah satu lorong di sepanjang North Bridge Road, saya agak ragu-ragu," kata beliau. "Kawasan yang sibuk biasanya di Arab Street, Haji Lane atau Bussorah Street – kesemuanya lebih dekat dengan Masjid Sultan dan berduyun-duyun orang lalu-lalang di sana."

Pada zaman 80-an dan awal 90-an, Jalan Pisang dikenali sebagai kawasan yang mempunyai rumah-rumah kedai yang sederhana dan orang ramai biasanya meletakkan kereta mereka di sana sebelum pergi ke tempat-tempat yang lebih sibuk di sekitar Kampung Gelam. (Gambar: Lembaga Perpustakaan Negara/Lee Kip Lin)   

Mahiran masih ingat bahawa pada zaman 80-an dan 90-an, lorong-lorong di sepanjang North Bridge Road sebahagian besarnya lengang dengan hanya beberapa rumah kedai sederhana. Orang ramai hanya berlalu di sana untuk pergi ke Arab Street.   
 
Tetapi ibu lebih optimistik. "Saya masih ingat beliau memberitahu saya bahawa tempat itu dan negara kita akan berkembang, maka lama-kelamaan, orang ramai akan pergi ke lorong-lorong itu juga," kata Mahiran.   
 
"Walaupun saya ragu-ragu, saya menaruh kepercayaan terhadap ibu saya," katanya. "Saya turuti nasihatnya dan memilih Jalan Pisang sebagai lokasi restoran saya." Restoran Hjh Maimunah dibuka pada 1992, ketika Mahiran berusia 27 tahun.     
 
Pengalamannya pada tahun-tahun awal berniaga agak menarik tetapi mendebarkan hati. Memandangkan internet belum wujud seperti hari ini, tidaklah mudah untuk mendapatkan perkhidmatan atau barangan untuk restorannya, seperti pembekal makanan atau sokongan logistik di Singapura, kata beliau.   
 
"Tetapi saya dan suami saya bekerja keras, kadang-kadang kami hanya dapat pulang ke rumah selepas pukul 3 pagi," tambahnya.Tekaan ibunya ternyata tepat sekali. Hari ini, Jalan Pisang dan lorong-lorong lain di sepanjang North Bridge Road, seperti Jalan Kledek dan Jalan Klapa, dipenuhi dengan kedai-kedai makan, kafe, kedai pakaian dan kedai roti, dan dapat menarik penduduk tempatan serta pelancong.

Dua cawangan Restoran Hjh Maimunah yang paling popular terletak di Jalan Pisang dan di Joo Chiat – kedua-duanya menarik ramai pelanggan yang beratur panjang untuk masuk. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

Pada 1996, anak bongsunya, Maryam, dilahirkan, dan pada tahun yang sama, ibu Mahiran meninggal dunia. 
 
"Saya masih ingat saya rasa kehilangan," kata Mahiran. "Walaupun saya telah memulakan perniagaan dan saya dibantu suami saya beserta 10 orang pekerja, ibu saya tetap merupakan sumber kekuatan saya. Saya masih merindukannya setiap hari."     
 
Tanpa kehadiran ibunya, Mahiran perlu membuat sendiri sebarang keputusan sukar. Sedang dunia melangkah ke alaf baru, beliau menetapkan sasaran jelas dari segi pelanggannya – iaitu keluarga-keluarga biasa Singapura yang suka menikmati makanan. Beliau juga mahu mengembangkan perniagaannya seberapa boleh.     
 
Pada 2006, 14 tahun selepas memulakan perniagaan di Jalan Pisang, beliau membuka sebuah lagi cawangan – yang lebih besar – di sebuah rumah kedai di Joo Chiat. 

Cawangan di Joo Chiat itu terletak betul-betul di seberang Joo Chiat Complex, sebuah pusat membeli-belah bagi pakaian dan tekstil tradisional Melayu, dan terletak tidak jauh dari Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

"Joo Chiat dekat dengan tempat saya membesar," kata Mahiran. "Kawasan ini juga merupakan tapak warisan budaya yang penting bagi orang Melayu – secara naluri saya dapat rasa bahawa ia mesti dijadikan sebagai lokasi seterusnya, dan saya tidak kira apakah harganya.   

"Saya fikir ibu saya juga akan setuju dengan keputusan saya," ujar beliau. "Walaupun dia sudah tiada lagi, saya gembira kerana sejarahnya sebagai seorang ahli perniagaan wanita tempatan akan terus dikenang dalam bentuk Restoran Hjh Maimunah ini."

ANAK-ANAK WARISI PERNIAGAAN

Mahiran (tengah) bersama dua anak perempuannya Maria (kiri) dan Mastura (kanan) yang kini menguruskan restoran yang dinamakan sempena nama arwah nenek mereka. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

"Saya percaya dengan usaha secara berkeluarga," kata Mahiran. "Restoran ini tidak akan wujud tanpa ibu saya, dan suami saya banyak membantu untuk menjadikannya satu kenyataan.   
 
Mahiran ingin memupuk sifat dalam diri anak-anaknya sebagaimana yang dilakukan ibu beliau terhadap dirinya iaitu semangat berdikari dan tabah hati. Ini dilakukan dengan membiasakan anak-anaknya dengan perniagaan itu.   
 
"Semua anak saya mempunyai pengalaman bekerja di restoran itu," katanya. "Sejak tahun 1990-an, semasa anak-anak saya masih di sekolah rendah, saya sudah menyuruh mereka melakukan kerja-kerja mudah, seperti mengira pendapatan kami untuk hari tersebut atau mengikuti saya bertemu pembekal."   
 "Ia juga satu cara untuk meluangkan masa bersama," kata Mahiran. "Saya dan suami saya terlalu sibuk, jadi apabila semua anggota keluarga berada di cawangan Jalan Pisang ataupun di Joo Chiat, kami dapat bertemu dan tahu keadaan satu sama lain."   

"Tetapi apabila usia mereka meningkat, mereka mempunyai idea masing-masing untuk restoran ini," kata Mahiran. "Mereka akan mencadangkan sesuatu perkara baharu atau mengusulkan cara berbeza untuk menghidangkan makanan, dan terdapat ketegangan dan banyak perbezaan pendapat. Tetapi, jika saya fikirkan semula, saya terharu melihat semua orang mempunyai minda perniagaan."

Restoran Hjh Maimunah mempunyai tujuh cawangan di serata Singapura. (Gambar: Facebook/Hjh Maimunah Restaurant & Catering).

Pada 2018, Mahiran menyerahkan tanggungjawab menguruskan restoran itu kepada anak keduanya, Mastura, yang juga merupakan anak perempuan yang paling tua. 
 
Walaupun Mastura, 37 tahun, adalah pengurus besar, adik beradiknya juga terlibat dalam tugas-tugas lain, seperti menguruskan pekerja, kawalan mutu makanan, logistik, penjenamaan dan publisiti. Mahiran bertindak sebagai penasihat dan mentor.   
 
"Saya tahu anak perempuan saya berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan ini ke seluruh Singapura," kata Mahiran.

"Walaupun pada mulanya agak sukar untuk melepaskan semua tanggungjawab kepadanya, saya tahu dia mahukan hasil yang terbaik untuk perniagaan tempatan ini. Jadi saya bangga dengannya dan bagaimana perniagaan ini telah berkembang," tambah beliau.  

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai krisis penyakit buah pinggang yang boleh sampai ke peringkat membimbangkan. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

04:21 Min

From a humble shophouse in Jalan Pisang in the 1990s to a seven-outlet chain and a catering arm and some Michelin recognition, the halal restaurant known for its Malay dishes has come a long way. CNA Women learns more about the women behind Hjh Maimunah.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement