Roti canai Malaysia tersenarai sebagai roti terbaik di dunia, roti prata Singapura menduduki tempat ke-12
Menurut senarai panduan makanan antarabangsa TasteAtlas, roti canai dan roti prata adalah dua hidangan berbeza.

SINGAPURA: Pada 10 Sep lalu Malaysia menang dengan gahnya ‘perang’ mencari Makanan Terbaik Di Asia Tenggara selepas senarai panduan makanan antarabangsa TasteAtlas menganugerahkan roti canai Malaysia sebagai "roti terbaik di dunia".
Dalam satu langkah mengejut, roti prata Singapura pula, yang dianggap oleh ramai pengulas sebagai “sajian yang sama”, diberikan kedudukan di tangga ke-12 dalam senarai itu.
Lebih mengejutkan lagi adalah bahawa paratha, iaitu hidangan roti dari India, yang mengilhamkan kedua-dua roti canai dan roti prata, menduduki tempat ke-29 dalam senarai tersebut.
Menyusuli keputusan senarai panduan itu, warga net cepat menurunkan komen masing-masing di laman media sosial TaseAtlas, untuk berhujah mengapa mereka percaya roti negara masing-masing harus mendahului senarai berkenaan. Namun, salah satu hujah terbesar sepanjang perbahasan tersebut adalah: "Apa bezanya antara roti canai dengan roti prata?"
Soalan itu timbul berkali-kali sehinggakan TasteAtlas turut serta terlibat dalam perbahasan dengan menerbitkan keseluruhan artikel yang menonjolkan perbezaan antara kedua-dua hidangan itu.
Nampaknya, apa yang membezakan kedua-dua roti canai dengan roti prata itu adalah kaedah penyediaan dan teksturnya. Roti canai diuli dengan minyak sapi, memberikan tekstur adunan yang lembut dan meregang. Setelah digoreng, roti itu mempunyai bahagian luar yang rangup dan bahagian dalamnya yang mengelupas.
Sebaliknya, roti prata "biasanya dibuat dengan gabungan tepung, air, gula dan susu pekat", menjadikan rotinya sedikit manis dan tekstur yang lebih padat.
Namun, tidak kira apa pendirian kita dalam pertikaian ini, kita boleh bersetuju bahawa roti canai dan roti prata tetap sedap.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sebuah klinik baharu di Singapura untuk pastikan pesakit panjang umur dengan sihat.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.