Ramai pesalah muda boleh raih manfaat program pemulihan, pastikan mereka bebas jenayah
Kira-kira 94 peratus yang menamatkan program pemulihan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Singapura pada 2018, bebas masalah jenayah dalam tiga tahun seterusnya.

SINGAPURA: “Ryan”, remaja belasan tahun, tidak mempunyai cara lain untuk pulang ke rumah pada suatu hari dalam tahun 2020 - lantas, dia mencuri sebuah basikal yang tidak berkunci untuk pulang.
Beberapa hari kemudian, Ryan yang berusia 19 tahun ketika itu, diberkas polis. Dia diberi amaran bersyarat dan diletakkan di bawah program bimbingan yang membolehkan kesnya tidak di bawa ke mahkamah.
Selama enam bulan, pekerja sosial membimbingnya untuk belajar bertanggungjawab terhadap tindakan dan emosinya.
Bercakap kepada CNA dengan syarat nama sebenarnya tidak disiarkan untuk mengelakkan sebarang kesan jenayah ke atasnya, Ryan berkata program itu memperkenalkannya kepada pihak-pihak yang tidak memandang serong kepadanya.
"Apabila saya sampai di sini, saya rasa seperti ada orang yang menyokong saya. Sebabnya sebelum ini, saya rasa ramai orang memandang serong terhadap saya. Mereka melihat saya seperti seorang budak nakal,” katanya kepada CNA.
"Apabila saya menyertai program bimbingan, di situlah saya melihat bahawa ada orang yang melihat saya tidak sama seperti itu."
Pekerja sosial yang ditugaskan kepadanya telah membantunya mengatasi pemikiran negatif, tambahnya."Dia berkata jika kita mempunyai fikiran negatif, kita perlu melawannya dengan fikiran positif ... kita mesti bermain dengan fikiran kita sendiri," kata Ryan.
PEMULIHAN BELIA
Lebih ramai pesalah belia seperti Ryan kekal bebas jenayah dengan bantuan pemulihan yang mengekalkan mereka terus bersama masyarakat.
Pada 2022, 94 peratus daripada mereka telah menamatkan program bimbingan – yang merupakan program di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), untuk mengalihkan perhatian belia-belia bermasalah dalam memulihkan mereka daripada jenayah. Ini merupakan kadar tertinggi dibandingkan dengan mana-mana tahun sejak 2018, apabila badan-badan penyedia khidmat sepadu dilibat serta untuk membantu pemulihan remaja-remaja berisiko dan pesalah belia.
Daripada mereka yang menamatkan program itu pada 2018, 94 peratus masih bebas daripada masalah tiga tahun kemudian.
Menurut MSF, kadar itu lebih tinggi daripada purata 92.4 peratus yang dicapai oleh tiga kohort peserta program-program sebelumnya.
Setiap pembekal menjalankan rangkaian perkhidmatan untuk belia-belia bermasalah di bawah jagaan mereka.
MEMBINA HUBUNGAN
Pegawai kes daripada penyedia khidmat, Corner Youth Services, Sarita Pillai berkata bahawa program lencongan itu biasanya untuk belia-belia yang telah melakukan kesalahan kecil termasuk mencuri, bergaduh dan menceroboh harta benda.
Walaupun banyak perkara yang perlu diajar kepada para belia itu, perkara-perkara seperti kemahiran hidup termasuk bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan penyelesaian konflik, serta membina semula hubungan biasanya menjadi dorongan kuat untuk berubah, kata Sarita.
“Apabila mereka pertama kalinya di bawa kepada kami, mereka terlalu berjaga-jaga, tidak mudah untuk mempercayai orang lain. Jadi kami perlu membina asas dengan berkomunikasi secara aktif bahawa kami tidak melihat mereka daripada lensa apa yang telah mereka lakukan,” katanya.
“Kami mengambil berat tentang mereka. Kami mahu menyokong mereka melalui program ini. Kami melakukannya dengan membina hubungan dengan mereka terlebih dahulu dan juga berusaha untuk memahami sebab mengapa mereka melakukan kesalahan atau di sebalik tingkah laku mereka,” tambahnya.
Namun, Sarita berkata tugasnya itu bukanlah tanpa cabaran. Ada dalam kalangan belia-belia di bawah jagaan mereka yang tercicir atau terus bergelut dengan perintah berkurung wajib, yang memaksa mereka untuk mengubah gaya hidup serta kehilangan rakan-rakan.
Mereka juga mungkin perlu bergelut dengan emosi mereka.
"Topik-topik yang kami bincangkan mungkin menimbulkan emosi negatif tertentu kepada belia- belia ini ... ada yang sukar untuk menyuarakan perasaan masing-masing (atau menghadapi masalah untuk memikirkan semula masa-masa sukar yang dilalui). Dan apabila mereka sampai ke tahap tidak mahu membuka mulut, mereka akan mengelakkan diri daripada menghadiri sesi-sesi bimbingan,” kata Sarita.
LEBIH BANYAK PESALAH BELIA DISERTAKAN
MSF kini berusaha untuk menyertakan belia-belia bermasalah yang lain, yang berpotensi mendapat manfaat daripada program intervensi awal itu. Namun, menurut Ryan, program-program itu hanya berhasil jika terdapat kesediaan (untuk menjalani pemulihan) daripada para pesertanya.
“Belia-belia itu haruslah turut berusaha sama. Bagi saya, setiap kali saya melakukan usaha sendiri, saya mendapati program itu menyeronokkan,” kata Ryan.
Dia seronok dengan program itu kerana ia memberinya ruang untuk meluahkan perasaan tentang apa yang membebankan fikiran, katanya.
"Saya rasa, apa sahaja yang ada dalam fikiran saya, saya boleh suarakan kepada pekerja sosial saya kerana saya mempercayainya," kata Ryan.
Ryan yang bercita-cita untuk menjadi jurutera aeroangkasa itu, kini menumpukan perhatian pada pelajarannya dan membina semula hubungan dengan keluarganya.
"Dulu dia sangat nakal, tidak pernah mendengar apa-apa. Selepas ikuti program bimbingan itu, (dia menjadi) sangat gembira. Saya turut bergembira. Dia sekarang dengar apa yang saya katakan,” tegas ibu Ryan yang enggan memberikan nama sebenar dalam satu temu bual dengan CNA.
Bagi pegawai kesnya, Sarita Pillai, sokongan daripada keluarga, sekolah dan masyarakat boleh membuat perubahan besar kepada golongan belia ini untuk mengatasi apa-apa rintangan yang dihadapi mereka. Sokongan sebegini juga membantu mereka terus berada pada jalan yang betul selepas menamatkan program mereka, tambah beliau.
Perjalanan untuk berubah mengambil masa, katanya, sambil menggalakkan keluarga belia-belia itu supaya bersabar.
"Apabila kesilapan telah dibuat, jangan kita tergesa-gesa untuk menyatakan kepada mereka tentang kesan-kesan akibat kesilapan itu. Kita mungkin boleh berhenti seketika untuk cuba memahami mengapa mereka bertindak demikian, dan bantulah mereka dalam memproses kesan tindak tanduk mereka itu,” kata Sarita.
Baca artikle ini daalam Bahasa Inggeris.