Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

1 daripada 7 penduduk Asia Tenggara hidup dengan masalah kesihatan mental, jurang rawatan wujud: WHO

Stigma kesihatan mental masih meluas di Asia Tenggara, kata Dr Andrea Bruni, penasihat serantau kesihatan mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Asia Tenggara.

1 daripada 7 penduduk Asia Tenggara hidup dengan masalah kesihatan mental, jurang rawatan wujud: WHO
Kira-kira 260 juta – iaitu satu daripada tujuh – penduduk di Asia Tenggara hidup dengan keadaan kesihatan mental. (Foto fail: iStock)

SINGAPURA: Kira-kira 260 juta orang di Asia Tenggara – iaitu kira-kira satu daripada tujuh - hidup dengan masalah kesihatan mental, dan ramai daripada mereka tidak menerima rawatan tepat pada masanya, kata seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keadaan kesihatan mental sangat berleluasa di rantau ini, kata Dr Andrea Bruni, penasihat serantau WHO untuk kesihatan mental di Asia Tenggara, kepada CNA.

Sementara itu, jurang rawatan adalah besar, katanya dalam temu bual pada Selasa (10 Okt), ketika dunia menandakan Hari Kesihatan Mental.

“Di sesetengah negara, jurang rawatan adalah setinggi 90 peratus, bermakna sehingga 90 peratus daripada mereka yang mempunyai keperluan dalam kesihatan mental tidak menerima rawatan dan penjagaan yang sesuai, tepat pada masanya, atau tidak menerima rawatan dan penjagaan langsung. ”

STIGMA KESIHATAN MENTAL MASIH BERLELUASA

Stigma kesihatan mental juga masih meluas di Asia Tenggara, kata Dr Bruni, dalam wawancara dengan CNA dari New Delhi.

“Selalunya, stigma diterjemahkan kepada diskriminasi bagi mereka yang mengalami keadaan ini. Stigma amat ketara bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental yang teruk."

Beliau menambah bahawa tanggapan umum yang tersebar luas di rantau ini ialah individu yang mempunyai keadaan sedemikian perlu menerima rawatan, penjagaan dan sokongan di institusi kesihatan mental, hospital psikiatri dan rumah sakit jiwa. 

“Tetapi hakikatnya berbeza. Hakikatnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu mengakses perkhidmatan yang berasaskan komuniti, yang lebih mudah diakses dan lebih menghormati hak asasi manusia,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan semakin perlahan-lahan berubah, kata Dr Bruni.

"Perubahan ini disebabkan adanya penglibatan aktif dan pemerkasaan masyarakat kerana pengalaman hidup dan pengalaman sebagai penjaga, (yang) seharusnya menjadi peranan penting dan asas dalam membuat dasar serta mereka perkhidmatan untuk kesihatan mental."

Kira-kira 260 juta - satu daripada tujuh - orang di Asia Tenggara hidup dengan gangguan kesihatan mental. (Foto: iStock/MikeSaran)

HAK SEJAGAT BAGI KESIHATAN MENTAL YANG BAIK

Pada Hari Kesihatan Mental tahun ini, WHO memberi tumpuan kepada hak sejagat bagi mendapatkan  kesihatan mental yang baik.

"Kesihatan mental yang baik adalah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kita secara amnya. Setiap orang berhak menikmati piawaian kesihatan mental tertinggi yang boleh dicapai," kata Dr Bruni, sambil menambah bahawa organisasinya sedang berusaha untuk memastikan kesihatan mental digalakkan dan dilindungi.

“Namun di seluruh dunia, mahupun di rantau Asia Tenggara, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, terus mengalami pelbagai pencabulan hak asasi manusia, dengan ramai daripada mereka dipinggirkan daripada komuniti mereka dan masyarakat umumnya.

"Mempunyai keadaan kesihatan mental tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merampas hak asasi seseorang, dengan menyisihkan mereka daripada penyertaan dalam masyarakat."

Sehingga 2019, hampir satu bilion orang, atau kira-kira satu daripada lapan, di seluruh dunia hidup dengan keadaan kesihatan mental, menurut WHO, yang merupakan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pakar-pakar menganggarkan angka itu kini jauh lebih tinggi, di samping tekanan-tekanan global seperti pandemik COVID-19, konflik Rusia-Ukraine dan krisis iklim yang berterusan.

"Walaupun banyak kajian mengenai pulangan pelaburan yang tinggi untuk kesihatan mental, masih terdapat ketidakpadanan dari segi pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan mental," kata Dr Bruni."Adalah penting untuk melabur lebih banyak sumber dalam kesihatan mental."

JAGAAN KESIHATAN BERASASKAN MASYARAKAT KURANGKAN STIGMA

Masih banyak ruang yang perlu diisi, kata para pemerhati, termasuklah penyelidikan dan dasar-dasar  yang tidak mencukupi, perbelanjaan yang sedikit dan perlindungan rawatan yang lemah.

Menurut Dr Bruni, lebih banyak rangkaian penjagaan kesihatan yang berasaskan masyarakat perlu digalakkan. 

"Secara tradisinya, kebanyakan pelaburan sumber manusia dan kewangan dalam kesihatan mental  ditujukan kepada kemudahan tertiari, seperti hospital psikiatri dan rumah sakit jiwa," kata Dr Bruni.

“Kita tahu bahawa semua kemudahan ini bukan sahaja tidak mempunyai kapasiti untuk merapatkan jurang rawatan dalam kesihatan mental, tetapi juga ia sering dikaitkan dengan beberapa pencabulan,  termasuk pelanggaran hak asasi manusia yang teruk.

"Adalah penting untuk membetulkan trend ini dengan melabur dalam usaha-usaha mengukuh dan mengembangkan rangkaian kesihatan mental dalam komuniti."

GANGGUAN MENTAL DALAM KALANGAN BELIA

Menurut WHO, gangguan mental kekal antara 10 punca utama beban penyakit di seluruh dunia sejak  lebih sedekad lalu. 
Dua keadaan mental yang paling kerap berlaku adalah kemurungan dan gangguan perasaan cemas (anxiety disorders). 

Para pemerhati menegaskan bahawa gangguan sebegini semakin ketara dalam kalangan golongan muda.

Kajian di Amerika Syarikat, misalnya, telah mengaitkan media sosial, khususnya, dengan masalah perasaan cemas dan kemurungan dalam  kalangan golongan muda.

"Sudah pasti terdapat peningkatan, termasuk selepas COVID-19, dari segi masalah perasaan cemas dan kemurungan dalam kalangan belia dan remaja," kata Dr Bruni, sambil menambah bahawa media sosial menjadi punca faktornya. 

“Media sosial, dan media secara amnya, boleh memainkan peranan yang sangat positif, tetapi juga negatif. Begitu juga dalam masalah kesihatan mental, kemurungan, perasaan cemas. Ia juga amat berkait dengan soal pencegahan bunuh diri.

Kajian di Amerika Syarikat mengaitkan media sosial, khususnya, dengan gangguan perasaan cemas dan kemurungan dalam golongan muda. (Grafik: Rafa Estrada)

MEMBUNUH DIRI CABARAN SERIUS KESIHATAN AWAM 

Bunuh diri juga merupakan kebimbangan mendesak yang ingin ditangani pakar-pakar penjagaan kesihatan.

Menurut WHO, dianggarkan 200,000 orang di rantau ini kehilangan nyawa akibat membunuh diri setiap tahun.

"Kami tahu bahawa bunuh diri adalah punca utama kematian pramatang dalam kalangan orang muda di banyak negara," kata Dr Bruni.

Beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa campur tangan konkrit yang boleh diambil oleh negara-negara, seperti memberikan rawatan kepada mereka yang berpemikiran hendak membunuh diri. Mestilah juga digalakkan laporan media yang bertanggungjawab mengenai pembunuhan diri, dan usaha-usaha membina kemahiran hidup sosial dan emosi para belia.

Negara-negara juga perlu menangani soal cara-cara seseorang itu melakukan bunh diri, tambah Dr Bruni. 

“Di rantau ini, kita tahu bahawa cara yang paling (biasa) adalah dengan mengambil racun perosak. Jadi kita perlu mengawal selia, mengehadkan dan mengharamkan akses kepada racun perosak.”

Beliau mengingatkan bahawa ia adalah cabaran kesihatan awam yang serius: "Kita perlu berusaha untuk melakukannya kerana kita tahu bahawa bunuh diri boleh dicegah, tetapi mencegahnya bukanlah tugas yang mudah."

Baca artikel in dalam Bahasa Inggeris. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement