Pindaan undang-undang beri kerakyatan Malaysia untuk anak lahir di luar negara - mengapa ada masalah lain
Pindaan perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia akan memberi kesan kepada kanak-kanak terbiar dan yang terdedah, serta anak-anak yang dilahirkan dalam keluarga penduduk tetap di Malaysia, demikian menurut perikatan kumpulan yang memperjuangkan anak-anak tanpa kerakyatan.

KUALA LUMPUR: Ketika Cik Esther Teo, 37, sarat mengandung anak kedua di Jerman pada 2019, dia memutuskan untuk pulang ke Malaysia tidak lama sebelum bersalin.
Sebabnya: Cik Teo, yang berumah tangga dengan seorang warga Jerman, mahu anaknya diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik - sesuatu yang tidak dapat diperoleh jika anak sulungnya itu dilahirkan di Jerman.
Walaupun bapa dengan kerakyatan Malaysia boleh memberikan kerakyatan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, ibu Malaysia yang mempunyai suami warga asing tidak boleh berbuat demikian.
Jadi, Cik Teo menyembunyikan kehamilannya daripada pegawai lapangan terbang dan mengambil risiko untuk melakukan penerbangan jarak jauh pulang ke Malaysia walaupun tidak mendapat kebenaran daripada pakar sakit puan beliau untuk melakukan perjalanan.
"Saya tidak mendapat kebenaran daripada doktor untuk melakukan perjalanan jadi saya membuka almari pakaian saya dan memakai pakaian terbesar yang saya dapati supaya saya dapat menyembunyikan kehamilan saya untuk masuk ke dalam pesawat," kata Cik Teo, yang telah ke Jerman pada 2006 untuk melanjutkan pelajaran, sebelum dia mula bekerja dan akhirnya berkahwin di sana.
Cik Teo bagaimanapun menganggap Malaysia sebagai tanah airnya dan memang sentiasa mahu pulang.
“Rumah dan keluarga saya semuanya di Malaysia. Di sinilah asal usul saya. Saya tidak mampu berada di sana jika dua anak perempuannya tidak mempunyai kewarganegaraan Malaysia,” katanya kepada CNA.
Cik Teo, yang berhenti dari pekerjaannya dalam bidang kejuruteraan, berkata beliau mengalami masa yang sukar dan tekanan dalam rumah tangganya ketika dia memutuskan untuk meninggalkan Jerman.
Setelah sekian lama menunggu, segala yang dijangkakan mungkin ada harapan untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi beliau dan anak sulung perempuannya.
Beliau melihat kewarganegaraan itu memberinya akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan.
Di bawah Perlembagaan Malaysia, kerakyatan boleh diperolehi dengan pengesahan status kewarganegaraan melalui "pengendalian undang-undang", menerusi pendaftaran dan proses naturalisasi.
Berikutan perjuangan undang-undang di Mahkamah Persekutuan yang dilancarkan oleh sekumpulan ibu-ibu di Malaysia, kerajaan telah mencadangkan beberapa pindaan kepada Perlembagaan yang akan memberikan hak sama rata kepada ibu-ibu Malaysia untuk memberikan kerakyatan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, sama seperti kaum bapa Malaysia.
Sebagai mahkamah tertinggi di Malaysia ia merupakan jalan terakhir untuk mendapatkan kes itu didengarkan.
Tetapi pada masa yang sama, kerajaan juga telah mencadangkan lima lagi pindaan kepada undang-undang kerakyatan Malaysia, yang menurut kumpulan hak asasi manusia boleh memburukkan lagi keadaan bagi mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan yang tinggal di Malaysia.

Mereka menyokong dua pindaan yang memihak kepada ibu-ibu Malaysia tetapi mengatakan bahawa lima daripada pindaan lain yang dicadangkan adalah "regresif".
Kumpulan itu mendakwa pindaan-pindaan itu bakal menjejas
kanak-kanak terbiar dan yang terdedah, serta kanak-kanak yang dilahirkan dari keluarga penduduk tetap di Malaysia. Ini semua bakal "mewujudkan kelas golongan baharu orang-orang tanpa kerakyatan di Malaysia".
“Pindaan-pindaan itu bukan semata-mata bertujuan untuk menutup apa-apa kelopongan dalam Perlembagaan, malah bertujuan untuk memberikan budi bicara mutlak kepada Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara, menjadikannya hampir mustahil bagi mendapatkan sebarang rujukan semula sekiranya sesuatu permohonan kerakyatan itu ditolak.”
“Pindaan itu cuba untuk menghalalkan rintangan prosedur yang sewenang-wenangnya diadakan pihak berkuasa, yang telah didapati mahkamah sebagai tidak berlembagaan dan melanggar hak asasi,” kata Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) dalam satu kenyataan pada 7 Nov.
Perikatan itu terdiri daripada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - Yayasan Chow Kit, Lawyers for Liberty (LFL), Pembangunan Sumber Manusia Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia dan Family Frontiers - yang berusaha dalam menangani isu-isu kerakyatan dan golongan yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
Menurut perikatan itu kerajaan masih belum memberikan alasan yang jelas mengapa perubahan untuk memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu Malaysia, mesti dilakukan dengan menggabungkannya dengan pindaan-pindaan yang bersifat restriktif.

TIDAK MERUGIKAN ORANG LAIN
Cik Teo, yang berasal dari Johor, telah pun memohon kewarganegaraan anak sulungnya tetapi tidak mengetahui status permohonan itu.
Suaminya telah berhenti kerja di Jerman untuk menyertai keluarganya di Malaysia, dengan Cik Teo berkata tidak semua pasangan akan sefahaman dengan pasangannya dalam usaha tersebut.
“Ia merupakan pengalaman yang traumatik,” katanya sambil menambah anak sulungnya pada masa ini hanya boleh tinggal di Malaysia di bawah pas pelajar.
Malaysia adalah satu daripada 25 negara yang menghalang wanita-wanitannya daripada memberikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara sama rata dengan lelaki.
Seorang ibu warga Malaysia mesti memohon kewarganegaraan anaknya dan perlu terus berbuat demikian jika permohonan itu ditolak.
Mahkamah Tinggi memutuskan pada Ogos 2021 bahawa ibu Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kerakyatan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, walaupun pihak kerajaan berjaya memenangi rayuannya menolak pindaan itu di Mahkamah Rayuan setahun kemudian.
Kes itu kini di bawa ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam manifesto pilihan raya umum ke-15 pada November tahun lalu, kedua-dua Pakatan Harapan dan Barisan Nasional - kini rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim - berikrar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak yang sama kepada para ibu.
Cik Teo berkata walaupun dia telah menunggu dengan penuh cemas selama bertahun-tahun untuk anak sulungnya mendapat kerakyatan Malaysia, dia tidak akan berbangga atau boleh bergembira jika ia bermakna ada pindaan-pindaan yang menjejaskan anak-anak kecil dan segmen masyarakat yang terdedah.
“Sejujurnya, saya tidak mampu untuk tidak mendapat kerakyatan untuk anak perempuan saya. Ia telah menjadi satu perjuangan (yang panjang) …Tetapi anak-anak yang terdedah dan yang terbiar tidak mempunyai sesiapa untuk memperjuangkan mereka. Pindaan-pindaan yang dicadangkan ini tidak adil kepada mereka,” katanya kepada CNA.

Cik Suriani Kempe, presiden Family Frontiers yang mencabar undang-undang bagi pihak ibu-ibu Malaysia yang terjejas, berkata langkah yang diambil kerajaan umpama sebiji pil yang pahit untuk ditelan kerana ia menjadikan kanak-kanak sebagai komoditi yang haknya boleh diperdagangkan.
"Apa yang kerajaan katakan ialah kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu (Malaysia) hanya akan mendapat kerakyatan automatik dengan mengorbankan hak kumpulan kanak-kanak terdedah, kehilangan hak kerakyatan yang mereka ada sekarang," katanya kepada CNA.
Cik Kempe menambah bahawa pindaan itu harus dipisahkan dengan cadangan pindaan yang lebih progresif dibentangkan sahaja tanpa pindaan-pindaan yanng regresif.
“Apa yang dikatakan kerajaan adalah sama ada terima (semua pindaan itu) atau tiada langsung pindaan. Ia bermakna sama ada ibu mendapat hak mereka dan kanak-kanak lain kehilangan hak mereka atau ia ditolak, dengan ibu-ibu itu tidak mendapat apa-apa hak mereka, sepertilah keadaan sekarang,” tambahnya.
"PINDAAN KEJAM"
Cik Maalini Ramalo, pengarah DHRRA Malaysia, percaya pihak berkuasa mahu membuat pindaan kepada undang-undang kerakyatan berikutan beberapa kejayaan oleh mereka yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
Salah satu kes ini ialah apabila Mahkamah Persekutuan pada Okt 2022, menolak percubaan kerajaan untuk tidak menolak pengiktirafan seorang lelaki tanpa kerakyatan sebagai warga Malaysia pada Okt 2022.
Mahkamah Tinggi pada 2019 telah membuat keputusan memihak kepada lelaki tersebut, Encik Wong Kueng Hui kerana klausa dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan juga menolak percubaan kerajaan untuk menolak keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Kerajaan kini telah mencadangkan untuk menghapuskan peruntukan yang memastikan bahawa orang yang dilahirkan tanpa kerakyatan di Malaysia seperti Encik Wong akan mendapat kerakyatan Malaysia melalui penguatkuasaan undang-undang kewarganegaraan melalui pendaftaran.
“Pada masa ini, mereka yang terjejas diberikan laluan untuk menjadi warganegara melalui peruntukan yang sedia ada, yang merupakan perlindungan daripada keadaan tanpa kerakyatan,” kata Cik Ramalo, sambil menambah bahawa proses mahkamah (untuk mendapatkan kerakyatan itu) bagaimanapun adalah sangat mahal.
Dia juga berkata bahawa anak-anak tidak sepatutnya menanggung beban kesilapan yang telah dibuat oleh ibu bapa mereka.

Encik Wong - kini berusia 28 tahun - memberitahu CNA bahawa dia telah menunggu 16 tahun untuk menjadi warganegara Malaysia, termasuk perlu bertarung di mahkamah selama lima tahun bagi mendapatkan kewarganegaraan dan mendapat kad pengenalan (KP).
“Ini adalah pindaan yang kejam, dan saya tidak boleh bersetuju dengannya. Jika kerajaan meneruskan pindaan ini, adalah lebih sukar bagi sesiapa seperti saya untuk memperjuangkan keadilan di mahkamah,” katanya sambil menambah bahawa dia telah memohon untuk mendapatkan kad pengenalan sejak berusia 12 tahun.
Di Malaysia, setiap warga negara mula mendapatkan KP mereka pada usia 12 tahun, dan kemudian dikehendaki menukar kepada KP baharu apabila mencapai usia 18 tahun.
Encik Wong, yang kini seorang peguam bela bagi mereka yang tidak mempunyai kerakyatan, berkata bahawa pada masa lalu, untuk membeli tiket bas melancong pun adalah satu kesulitan bagi mereka yang tidak mempunyai status warga negara, kerana untuk membelinya memerlukan sebarang bentuk pengenalan. Mereka yang terjejas begini terpaksa bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat pembelian.
Encik Wong sendiri terpaksa membawa borang permohonan kewarganegaraan ke mana sahaja beliau pergi kerana tidak mempunyai sebarang bentuk pengenalan diri.
“Ada kalangan pihak berkuasa pernah meminta rasuah dari saya kerana saya tidak dapat mengemukakan sebarang pengenalan diri. Tetapi kerana saya tahu hak saya dan mempunyai sistem sokongan, saya boleh berhujah kes saya dengan mereka,” tegas Encik Wong.
Begitu juga, bagi pelakon Melissa Aurelia, 21 tahun, yang memberitahu CNA bahawa pindaan-pindaan Perlembagaan yang dicadangkan akan menyukarkan lagi mereka yang mempunyai kedudukan yang sama dengannya untuk memperoleh kewarganegaraan.
“Pindaan itu kejam dan hanya memburukkan lagi (keadaan) mereka yang tiada kerakyatan,” kata Cik Aurelia, yang masih berjuang untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Cik Aurelia mempunyai sijil kelahiran tetapi gagal mendapat kad pengenalannya pada usia 12 tahun selepas didapati bahawa perkahwinan antara ibu bapanya di Indonesia adalah tidak sah.
Malaysia adalah satu daripada dua negara di dunia – sebuah lagi Barbados - yang mendiskriminasi lelaki dari segi keupayaan mereka untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar nikah.
Cik Aurelia berhenti sekolah pada usia 14 tahun dan telah melakukan banyak pekerjaan sejak itu, daripada menjadi penjual makanan di gerai-gerai sehinggalah kepada bekerja di kedai runcit sebelum menceburi industri hiburan.
“Ia lebih sukar daripada yang boleh dibayangkan oleh sesiapa yang mempunyai KP. Saya tidak boleh membuka akaun bank dan saya takut untuk keluar rumah sekiranya berlaku sekatan jalan raya,” katanya.

APA KATA KERAJAAN
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita pada 6 Nov bahawa kerajaan perlu memasukkan pandangan Majlis Raja-Raja mengenai pindaan perlembagaan yang dirancang dan perkara ini akan dijelaskan kepada para anggota parlimen.
“Kita akan maklumkan kepada mereka kerana ini telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja. Ada had apa yang boleh kita lakukan selepas perbincangan (dengan raja-raja).
"Sebarang pindaan perlembagaan yang menyentuh isu kerakyatan perlu diselesaikan dengan Majlis Raja-Raja. Mereka telah mengambil pendirian tertentu dan kita perlu menghormatinya," katanya Encik Anwar seperti yang dipetik Malaysiakini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail seterusnya mengulangi perkara tersebut kira-kira seminggu kemudian bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan libat urus dengan kedua-dua ahli parlimen kerajaan dan pihak pembangkang untuk menjelaskan cadangan pindaan Perlembagaan itu.
Untuk diluluskan, sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli parlimen (MP).
“Kami akan melibatkan semua ahli Parlimen untuk mendapatkan maklum balas mereka. Semuanya kerana kami mahukan yang terbaik bagi pindaan ini," kata Encik Saifuddin semasa sidang media pada 14 Nov.
Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) awal Nov, membayangkan terdapat rasa tidak senang terhadap cadangan pindaan itu dalam kalangan beberapa ahli Parlimen termasuk DAP yang merupakan parti komponen gabungan Pakatan Harapan.
“Rang pindaan itu, jika ia dibentangkan begitu sahaja tanpa dibuat pemisahan, boleh mengakibatkan para AP terpaksa melanggar whip kerana tidak bersetuju mengenainya. Bayangkanlah perkara ini,” kata Encik Lee dalam kirimannya di X pada Nov 4.
Catatan media sosial Encik Lee itu dibuat selepas Encik Saifuddin pada 1 Nov memberitahu parlimen bahawa masih ada jalan undang-undang bagi mereka yang tidak berkerakyatan untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Biar saya beri analogi, katakan seorang ibu pelarian Rohingya berkahwin dengan pendatang tanpa izin dari Indonesia dan seorang anak dilahirkan daripada ibu bapa mereka yang tidak mempunyai dokumen, secara perlembagaan anak itu adalah warganegara mengikut operasi undang-undang.
“Jadi, kita bersetuju dengan saranan itu, kita kata anak itu perlu didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dahulu dan permohonan kerakyatan seterusnya akan dikemukakan oleh jabatan.
“Perlu ada unsur penyiasatan, semakan, jadi melalui undang-undang masih ada ruang untuk mereka mendaftar sebagai warganegara, inilah yang sukar diterima oleh sesetengah NGO,” katanya seperti dipetik Malay Mail.
Encik Saifuddin juga memberitahu The Star bahawa terdapat 150,000 kes tanpa kerakyatan di atas mejanya dan beliau telah meluluskan kerakyatan bagi 11,000 daripada mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam tempoh 11 bulan lalu.
CNA telah menghubungi Encik Saifuddin dan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai isu tersebut.
Menurut Encik Wong, yang dahulunya tidak mempunyai kerakyatan tetapi kini warganegara Malaysia, beliau berharap ibu-ibu yang mempunyai anak kelahiran di luar negara, akan mendapati permintaan mereka terkabul menerusi dua pindaan perlembagaan, tanpa kelulusan lagi lima pindaan lain.
Beliau juga ingin melihat beberapa pembaharuan dalam Jabatan Pendaftaran Negara, yang bertanggungjawab memproses permohonan kerakyatan.
“Apa yang saya mahukan daripada mereka adalah pematuhan pada Perlembagaan dan memudahkan terputusnya kitaran kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan,” kata Encik Wong.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.