Pandangan berbelah bahagi kes rasuah Syed Saddiq: Analisis dari segi undang-undang Malaysia
Hukuman sebat, penjara tujuh tahun dan denda - ada yang berpendapat hukuman ke atas bekas menteri belia dan sukan itu adalah keras dan tidak seimbang. Namun, para pemerhati berkata ia bertujuan mencegah jenayah yang sama pada masa depan dan tidak dijangka menjejas kerajaan PM Anwar Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Walaupun ada yang melihatnya sebagai keras, hukuman mahkamah pada Khamis (Nov 9) ke atas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kesalahan rasuah, adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang dan mungkin bertujuan mencegah berlakunya kesalahan yang sama pada masa depan.
Demikian menurut seorang pakar undang-undang yang berkata demikian kepada CNA di tengah-tengah reaksi yang mempersoalkan sejauh mana hukuman tersebut adalah setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Para pemerhati tidak juga menjangkakan sebarang kesan buruk politik terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Reaksi sesetengah pihak telah membandingkan hukuman ke atas kes Syed Saddiq itu dengan kes rasuah yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan harta dan pengubahan wang haram. Dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Azhar dilaporkan berkata beliau telah mempertimbangkan semua hujah oleh pihak pembelaan dan pendakwaan, serta kepentingan awam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan hukumannya itu sementara menunggu rayuan.
Pendakwa raya bagi kes itu memberitahu CNA dokumen penghakiman bertulis belum dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Syed Saddiq pertama kali didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan dana RM1 juta daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bekas partinya, pada Julai 2021.
Bekas menteri belia dan sukan itu didapati bersalah mengeluarkan dana tersebut melalui cek pada 6 Mac 2020 tanpa kelulusan majlis tertinggi Bersatu.
Dia juga didakwa menyalahgunakan derma politik berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, yang dikumpul melalui akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise. Kesalahan ini dikatakan telah dilakukan antara 8 Apr 2018 dan 21 Apr 2018.
Ahli Parlimen Muar itu yang mengasaskan parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) pada September 2020, turut didapati bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram. Dia melakukan dua transaksi bernilai RM50,000 setiap satu, dengan wang itu dipercayai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Hukuman ke atas Syed Saddiq telah mencetuskan pelbagai reaksi panas di media sosial, dengan netizen membandingkan hukuman itu dengan apa yang dikenakan ke atas para individu lain seperti Najib dan Ahmad Zahid, yang menghadapi dakwaan baru-baru ini.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana daripada bekas unit 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International. Dia juga didenda RM210 juta bagi kesalahan itu.
Pertuduhan terhadap Najib, yang merupakan perdana menteri dari 2009 hingga 2018, melibatkan pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun bank peribadinya pada 2014 dan 2015.
Sementara itu, Ahmad Zahid pula menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik badan amal Yayasan Akalbudi (YAB) sebelum beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada September.
HUKUMAN SEBAT MANDATORI
Pensyarah undang-undang Mohamad Hafiz Hassan dari Universiti Multimedia Malaysia memberitahu CNA bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap Syed Saddiq adalah mengikut peruntukan Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Kanun Keseksaan Malaysia.
Seksyen 406 kanun keseksaan menyebut sesiapa yang melakukan jenayah pecah amanah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.
Encik Hafiz menambah bahawa di bawah seksyen 298 CPC, sebatan adalah mandatori bagi jenayah pecah amanah tetapi mereka yang dikecualikan termasuk wanita, serta lelaki berumur 50 tahun dan ke atas. Syed Saddiq berumur 30 tahun.
“Syed Saddiq tidak termasuk di bawah mana-mana pengecualian, dan di bawah (undang-undang) dia mesti dihukum sebat – sekurang-kurangnya satu sebatan. Ia adalah minimum. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa hukuman (dua sebatan) adalah keterlaluan,” tambahnya.
Peruntukan dari segi umur juga menjelaskan mengapa Najib terlepas daripada hukuman rotan atas kesalahan pecah amanah (CBT).

Mengenai spekulasi bahawa hukuman Syed Saddiq keseluruhannya adalah tidak seimbang berbanding dengan orang seperti Najib, Encik Hafiz berkata mahkamah dipandu oleh pertimbangan seperti faktor-faktor mitigasi atau pengurangan, faktor yang memburukkan dan, yang paling penting faktor kepentingan awam.
Beliau berkata hukuman ini boleh memberi manfaat kepada kepentingan awam dengan menghalang orang lain daripada melakukan kesalahan serupa.
“Hukuman sebegitu juga boleh menghalang penjenayah daripada melakukan jenayah lagi, atau untuk mendorongnya supaya beralih daripada menjadi penjenayah kepada mereka yang menjalani kehidupan secara jujur. Mahkamah mempunyai hak dan kewajipan untuk memutuskan sama ada untuk berlembut atau bertindak berat,” kata Encik Hafiz.
“Tiada dua hukuman yang serupa kerana pihak tertuduh terbabit adalah tidak sama. Faktor yang meringankan dan memburukkan juga tidak sama,” tambahnya.
Bercakap kepada pemberita selepas keputusan Khamis, ketua pendakwa raya kes itu Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan telah memohon "hukuman pencegahan yang kuat" untuk mengelakkan jenayah yang serupa berulang.
"Dalam kes ini, ahli politik diamanahkan tetapi telah mengkhianati amanah itu. Tidak kira sama ada seseorang itu berumur 30 tahun atau 50 tahun, jika diamanahkan, jangan mengkhianatinya," Wan Shaharuddin dilaporkan sebagai berkata.
Syed Saddiq berkata beliau akan membuat rayuan terhadapa keputusan mahkamah. Ini bermakna kes itu akan dibawa ke Mahkamah Rayuan dan jika rayuannya ditolak di sana, rayuan terakhirnya adalah di Mahkamah Persekutuan, kata Encik Hafiz.
Jika rayuan terakhir gagal, dia akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
PERSEPSI DUA DARJAT
Hukuman ke atas Syed Saddiq bagaimanapun telah menimbulkan dakwaan adanya layanan dua darjat (double standard) dan motif politik.
Di platform media sosial X, netizen Mishel Farreyna menulis bahawa hukuman Syed Saddiq adalah di luar jangkaan "terutamanya memandangkan adanya tokoh-tokoh besar yang bebas bergerak tanpa kesan".
Media tempatan Malaysiakini menyiarkan satu komen daripada pembaca bertajuk, “Sukar untuk melihat hukuman ke atas Syed Saddiq sebagai setimpal”.
Pembaca yang menggunakan nama My2cen menulis: “Sukar untuk melihat hukumannya setimpal dengan jenayahnya, terutamanya apabila bekas perdana menteri Najib Abdul Razak hanya menerima 12 tahun kerana salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan tuduhan pengubahan wang haram.
“Apatah lagi terdapat pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi seorang yang membawa 26 Ahli Parlimen daripada UMNO untuk membentuk kerajaan persekutuan.”
My2cen merujuk kepada bagaimana Ahmad Zahid memainkan peranan penting dalam meyakinkan ahli-ahli parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menyokong pemimpin Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menyebabkan parlimen tergantung.
Penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah Sani memberitahu CNA "persepsi umum" bahawa hukuman Syed Saddiq adalah keras, terutamanya hanya dua bulan selepas keputusaan DNAA kepada Ahmad Zahid.
“Tambahan pula, (keputusan dibuat) selepas Syed memutuskan untuk menarik sokongannya daripada Anwar dan menjadi kritikal terhadap perdana menteri.
Ini telah membawa kepada dakwaan bahawa hukuman itu bermotifkan politik kerana MUDA telah lama dilihat oleh para pemimpin PH sebagai bertindak dalam mengurangkan sokongan daripada para pengundi muda dan pengundi bandar (untuk PH),” kata Encik Asrul Hadi, yang dahulunya bersama firma penasihat strategik BowerGroup Asia.
Penganalisis politik James Chin, yang merupakan Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania dan Felo Kanan badan pemikir Malaysia Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, turut mengakui adanya dakwaan dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia tentang layanan dua darjat.
“Orang ramai merasakan hukuman itu terlalu keras kerana saya rasa rakyat Malaysia tahu dan faham bahawa parti-parti politik di seluruh negara menerima derma,” kata Prof Chin.
"Saya fikir jika dia didenda, orang ramai boleh menerimanya tetapi hukuman penjara tujuh tahun serta hukuman sebat adalah keras," katanya.
Bagaimanapun, para penganalisis menegaskan tidak mungkin persepsi umum mengenai pendirian anti rasuah Perdana Menteri Anwar boleh terjejas dengan keputusan bersalah ke atas Syed Saddiq.
Encik Asrul Hadi berkata: "Walaupun kredibiliti dan persepsi umum Anwar mungkin tercalar, beliau tidak akan terjejas dari segi politik kerana MUDA tidak mempunyai akar umbi, dan juga tidak mempunyai bilangan kerusi yang besar di peringkat persekutuan dan negeri."
Syed Saddiq adalah wakil tunggal MUDA dalam kerajaan persekutuan. Pemangku presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz adalah satu-satunya ahli lain yang mempunyai kerusi - beliau adalah seorang anggota dewan undangan negeri (ADUN) bagi kawasan Puteri Wangsa Johor.
“Keputusan itu telah memberi peluang kepada MUDA untuk mengatur semula langkah dan membuktikan bahawa ia bukan parti (kendalian) seorang sahaja. Jika ini tidak berlaku, MUDA berisiko kehilangan anggota dan para pemimpinnya kepada parti-parti lain, terutamanya jika Syed (Saddiq) gagal dalam proses rayuannya,” tambah Encik Asrul Hadi.
Baca laporan ini dalam Bahasa Inggeris di sini.