Bukan mudah bangunkan niaga sambil bantu yang kurang bernasib baik. Inilah yang dilakukan dua pengusaha
Bolehkah matlamat sosial dan untuk meraih keuntungan dapat diseimbangkan? Para pengasas dua perniagaan kecil menceritakan bagaimana mereka membina perniagaan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

SINGAPURA: Satu tinjauan tempatan oleh pakar keusahawanan e27 melaporkan bahawa 30 peratus syarikat pemula di sini gagal dalam tempoh dua hingga lima tahun pertama.
Ini sekaligus menyatakan kepada kita satu perkara tentang membina perniagaan yang berjaya di Singapura: Ia memang bukan perkara yang mudah.
Namun, sekurang-kurangnya dua perniagaan di Singapura bukan sahaja dapat bertahan dalam tempoh lima tahun pertama, malah berjaya melakukannya atas semangat untuk membuat kebaikan sosial dan bukan - setidak-tidaknya bukan pada permulaannya - untuk mendapatkan keuntungan.
Salah satu daripada mereka ialah Studio Gypsied, sebuah jenama batik buatan pesanan yang diasaskan oleh Aqilah Zailan, 35 tahun.
Aqilah dulunya seorang kanak-kanak yang gemar menyelesaikan corak dan teka-teki, di mana permainan Polly Pocket telah menarik perhatiannya dengan warna-warna cerah dan watak yang menyeronokkan, justeru memberi inspirasi kepada beliau "untuk membayangkan dunia yang baru".

Tetapi ketika Aqilah berusia 10 tahun, beliau kehilangan kakaknya akibat palsi serebrum. "Saya tidak lagi mempunyai impian selepas itu kerana saya ditelan kesedihan," katanya kepada CNA Women. Aqilah menambah sejak itu dia membesar dengan gemar "bermain secara senyap".
Namun, dia tetap bersedia mendengar cerita, terutamanya kisah yang diceritakan oleh ayahnya, yang mempunyai jiwa keusahawanan.
"Pada awal kerjayanya, ayah saya bekerja sebagai penjaga stor. Pada masa itu, dia menyedari bakatnya untuk mendengar dengan empati dan menyelesaikan masalah. Untuk mendapatkan pendapatan tambahan, dia juga akan menjual produk secara sambilan, daripada jam tangan dan mesin jahit hingga ke kosmetik.
"Dia memberi inspirasi kepada saya untuk menyayangi jenama yang kurang dikenali tetapi berkualiti baik seperti jenama kosmetik Korea Kanebo dan jenama jam tangan tempatan Alba.

"Dia selalu bercakap dengan saya tentang menjadi seorang usahawan supaya dia boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan saya sentiasa mendengar dengan penuh perhatian," katanya kepada CNA Women.
Aqilah bekerja waktu pejabat dalam beberapa pekerjaan industri penjualan selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk memulakan Studio Gypsied sebagai pekerjaan sampingan pada 2011.
Beliau menyedari pada masa itu yang beliau menyukai fesyen sebagai satu bentuk ungkapan diri dan percaya bahawa terdapat peluang di Singapura untuk mendirikan satu jenama yang "peribadi, unik dan bermakna".
Pada tahun 2021, dia mengambil langkah berani dan menjadikannya sebagai usaha sepenuh masa.

Studio Gypsied, yang bermula dengan menjual pakaian, beg, malah buku nota yang menampilkan rekaan batik hasil lukisan tangan Aqilah yang diinspirasikan oleh warisan Jawa, telah berkembang menjadi apa yang dipanggil jenama pakaian "fesyen perlahan".
Kini, Studio Gypsied menawarkan pelbagai pakaian daripada jaket terbuka terkenal jenama itu hingga culottes dan skirt cascade, yang dijual secara eksklusif atas dasar pra-pesanan. Pakaian tersebut berharga antara S$109 hingga S$209 (RM380 hingga RM730). Kerja membuatnya hanya akan dimulakan selepas pelanggan membayar penuh. Produk yang siap boleh mengambil masa sehingga sebulan.
"Ini menggalakkan pembelian berhemah dan mengurangkan pembaziran fesyen, sejajar dengan prinsip fesyen lestari kami," tulis Aqilah di laman webnya.
Keputusan ini adalah hasil daripada penyelidikan bertahun-tahun dengan orang awam, perbualan tertutup dengan pereka bebas dan akhirnya, semangat yang lahir untuk meninggalkan warisan yang baik.
"SATU TUGAS YANG SUKAR"
Oleh kerana fesyen perlahan "bertentangan dengan cara industri fesyen dan rantaian bekalannya ditetapkan", mengekalkan komitmen terhadap misi tersebut adalah satu tugas yang sukar," kata Aqilah.
Antara cabaran yang dihadapinya: Mencari kilang pengeluaran yang sudi menghasilkan produk dalam kuantiti yang kecil, serta mendidik pelanggan mengapa pakaiannya berharga premium dan mengapa mereka perlu menunggu berminggu-minggu untuk mendapatkan produk mereka.
Usahawan ini, yang merupakan generasi keempat dari keturunan Jawa, tetap berkomited dalam melindungi "penjaga warisan" – iaitu tukang seni yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam suatu seni yang semakin pupus. Beliau juga membantu mereka, khususnya wanita yang kurang bernasib baik, untuk memperoleh pendapatan yang memadai.

Aqilah bekerja dengan beberapa kumpulan kecil tukang jahit, dan baru-baru ini, mula mengagihkan semua kos jahitannya untuk latihan dan pembangunan sekumpulan wanita pelarian Afghanistan yang kini tinggal di Indonesia.
"Saya mempunyai minat untuk menceritakan kisah-kisah orang yang jarang kita dengari dan kurang dikenali, walaupun saya secara semula jadi tertarik dengan kisah-kisah wanita," kata Aqilah.
BERMULA DENGAN SEBUAH BUKU
Seperti Aqilah, Randall Chong tidak bermula dengan niat untuk membantu meningkatkan ekuiti jantina. Malah, dia tidak menyedari bahawa ia adalah satu masalah - sehingga seorang kawan menghadiahkannya sebuah buku untuk Krismas pada tahun 2016.
Pada masa itu, Chong merasa keletihan dan gelisah, setelah bekerja beberapa tahun membantu banyak syarikat pemula teknologi – satu kerjaya yang memerlukan dia bergerak ke sana sini. Malah pada satu ketika, dia dikehendaki berpindah ke Bangkok, sebuah bandar yang dikenali sebagai tempat untuk membuat kerja dengan amat cepat.
Dalam buku itu, rakannya telah menulis satu nota: "Daripada membuat azam Tahun Baru, lakukan satu benda yang boleh menakutkan anda pada tahun depan."

Chong, yang mengakui bahawa dia bukan seorang yang suka mengambil risiko, menganggapnya sebagai cabaran peribadi. Pada bulan Disember tahun berikutnya, beliau mengambil cuti sementara dari kerja dan memulakan perjalanan solonya di seluruh Himalaya. Matlamatnya? Untuk sampai ke Kem Pangkalan Gunung Everest.
"Saya ketika itu mencari penyelesaian untuk kesepian dan ketakutan saya," kata Chong, yang telah menjalin persahabatan dengan para porter. Beliau juga berpeluang melawat kampung-kampung dan sekolah-sekolah ketika beliau mengembara di seluruh Nepal.
Sebaliknya, apa yang ditemui olehnya adalah kanak-kanak yang bukan belajar di sekolah, tetapi bekerja dalam pekerjaan yang meletihkan "dengan sedikit atau tanpa gaji".
Penderitaan kanak-kanak Nepal telah dilaporkan secara meluas. Menurut satu laporan pada tahun 2021 mengenai buruh kanak-kanak di Nepal oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, sehingga tahun 2018, lebih 1.1 juta kanak-kanak di Nepal terlibat dalam pekerjaan yang memerlukan tenaga kuat - dan kadang-kadang, pekerjaan yang menghina.
Antara pekerjaan yang mereka lakukan termasuk bagi syif panjang di kilang permaidani, batu bata, dan pakaian, pekerjaan pembantu rumah untuk golongan yang lebih berada, dan melayani pelanggan di bar dan kelab.

Setelah menyaksikan banyak perkara ini secara langsung, Chong tahu bahawa dia perlu membantu dan beliau dapat berbuat demikian dengan menggunakan pendidikan dan pengalamannya dalam bidang perniagaan.
Beliau bermula dengan perlahan - dengan mencari kaedah untuk mengumpul dana (termasuk menjual buku sendirinya di Carousell) untuk dihantar kepada kenalannya di Nepal. Beliau kemudian menyedari bahawa menjual buku adalah cara terpantas dan paling mudah untuk mencapai matlamatnya, dan pada tahun 2018, Books Beyond Borders ditubuhkan sebagai sebuah syarikat sosial di Singapura.
Beliau menyewa satu ruang kosong di sebuah bangunan perindustrian di Jalan Pemimpin, yang pada suatu ketika adalah pengeluar pati vanila. Chong berkonsepkan projek tersebut sebagai "kedai buku tersembunyi".
Dengan rak logam yang dipenuhi tajuk-tajuk popular, susunan sofa kecil, pencahayaan suasana, gambar-gambar besar pengembaraan Chong ke Nepal, dan sepanduk berwarna-warni yang seakan-akan sama dengan bendera ikonik negara tersebut. Ia adalah lokasi impian bagi seseorang peminat buku - sebuah tempat bahagia yang membolehkan seseorang menyembungi daripada keadaan huru-hara di bandar.
Di sebalik cabaran pandemik COVID-19, Chong tetap memilih untuk tidak membayar gajinya sendiri, dan mendedikasikan 100 peratus daripada keuntungan bersih terhadap matlamatnya.
Kedai buku kecil dan tersembunyi itu dengan cepat menjadi sensasi viral.
Akhirnya, Books Beyond Borders bukan sahaja dapat membiayai program pengedaran beg sekolah, ia juga membantu mengumpul wang untuk membeli peralatan bagi membantu perpustakaan sekolah, kelas seni dan juga makmal STEM di Nepal.
Setakat ini, syarikat sosial itu telah mengumpul lebih S$37,000 ke arah usaha ini, yang memerlukan Chong bekerja rapat dengan organisasi tidak berasaskan keuntungan Teach for Nepal. Wakil-wakil badan itu diambil kerja di beberapa sekolah yang paling kurang dibiayai di Nepal.
Kerjasama inilah yang menarik perhatiannya kepada "jurang kritikal" dalam sistem pendidikan Nepal: Ketiadaan program biasiswa untuk kanak-kanak perempuan yang menamatkan gred ke-10.
"Kebanyakan anak-anak perempuan di Nepal, selepas menamatkan persekolahan gred 10, tidak mempunyai cara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah tinggi dan sering diharap untuk mula membina keluarga," kata Chong.
"Ini sekaligus mengekalkan kitaran kemiskinan.
"Dengan merapatkan jurang ini dan membolehkan lebih ramai kanak-kanak perempuan bersekolah, peluang generasi masa depan mereka untuk mendapatkan pendidikan akan meningkat," tambahnya.
Chong mengumumkan bahawa tahun ini, Books Beyond Borders akan memfokuskan tumpuan dermawannya untuk membantu wanita muda Nepal mencapai pendidikan tinggi, khususnya dengan menyumbangkan 5 peratus daripada keuntungan bulanannya kepada program biasiswa.
Pada masa yang sama, beliau telah membuka The Bookstore by Books Beyond Borders, sebuah stor canggih di Jalan Erskine di Chinatown di mana beliau harap ini akan menjadi tempat istimewa yang memudahkan matlamat perjuangan mereka dikenali ramai. Ini lebih-lebih lagi
“memandangkan penutupan (baru-baru ini) banyak kedai buku bebas, termasuk wadah Book Depository yang sangat tercinta".
Beliau masih mengekalkan ruangnya di Jalan Pemimpin, di mana beliau kadang-kadang akan menganjurkan jualan gudang, dengan buku yang boleh dijual serendah satu dolar. Sehingga kini, beliau masih menjalankan sebahagian besar operasi perniagaannya dengan sendiri.
"Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik," katanya kepada CNA Women, tentang pembukaan The Bookstore pada bulan Julai. "Kami dapat menarik pelanggan baru yang sebelum ini tidak dapat kami temui, seperti pelancong."
Apabila ditanya adakah beliau mempunyai sebarang nasihat untuk perniagaan lain atau usahawan yang bercita-cita untuk beralih atau memberi tumpuan dalam melakukan sesuatu yang boleh memberi impak sosial yang positif, ini kata beliau: "Fikirkan tentang bagaimana anda boleh seimbangkan keuntungan dan matlamat dari awal lagi. Anda tidak boleh memberi kalau anda tidak mempunyai apa-apa."
Akhirnya, kata Chong, "Saya bersyukur dapat bangun setiap pagi dan melakukan sesuatu yang saya minati."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.