Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Bau busuk dalam kereta dan pengangkutan awam - Apa yang boleh dilakukan untuk atasinya? 

Adakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghapuskan bau busuk supaya perjalanan anda menjadi lebih selesa?

Bau busuk dalam kereta dan pengangkutan awam - Apa yang boleh dilakukan untuk atasinya? 
Terdapat cara untuk menjadikan perjalanan anda dalam pengangkutan awam lebih menyenangkan bagi hidung anda. (Foto: iStock/gece33)

SINGAPURA: Anda mungkin pernah terbaca tentang penumpang "yang mengalami cirit-birit sepanjang penerbangan dalam pesawat" Delta Air Lines. Kita boleh bayangkan bagaimana menderitanya para penumpang lain dalam penerbangan itu. 

Berapa teruk agaknya keadaan dalam pesawat itu? Seorang wanita, yang pasangannya berada dalam penerbangan sama, menulis ciapan twitter bahawa pembasmi kuman berbau vanila yang digunakan untuk menghapuskan bau meloyakan memburukkan sahaja keadaan. 

Ia tentunya bukan satu-satu sahaja peristiwa sedemikian, di mana suatu perjalanan atau penerbangan boleh berubah menjadi pengalaman mengerikan. 

Terdapat juga satu kes di mana dua orang penumpang telah diarah keluar pesawat kerana mengadu bahawa tempat duduk mereka mempunyai kesan atau bekas muntah dan bau busuk. Hanya diketahui kemudian bahawa sebelum itu seorang penumpang dalam penerbangan terdahulu telah muntah di tempat duduk berkenaan. Anak kapal telah membersihkannya dan cuba menutup bau dengan serbuk kopi dan minyak wangi.

Kedua-dua kisah ini pastinya akan membuatkan anda berdoa agar anda tidak akan menemui apa-apa perkara seperti itu setiap kali berada dalam kapal terbang. Tetapi apakah benar bahawa anda memang tidak boleh melakukan apa-apa pun jika terperangkap dalam situasi sedemikian? 

Kami bertanyakan kepada pakar-pakar. 

Udara di dalam pesawat memang udara yang diedarkan semula, bermaksud bahawa jika terdapat bau, ia akhirnya akan meresap ke seluruh kabin tanpa tempat untuk melarikan diri. (Foto: iStock/RyanKing999)

ANTARA KABIN PESAWAT DENGAN BAS, KERETA ATAU MRT

Sekiranya kejadian di mana ada orang muntah dalam pesawat berlaku di dalam pengangkutan awam lain seperti bas, MRT atau kereta sewa persendirian (siapa kata tiada orang pernah meluahkan muntah ke atas tempat duduk yang anda duduki? Atau mempunyai kesan air kencing atau najis?), apakah keadaannya lebih teruk lagi? 

"Di dalam kabin, tiada sumber udara segar atau pengudaraan," kata Profesor Madya Lim Tit Meng, ketua eksekutif Pusat Sains Singapura. "Udara diedarkan semula, yang bermaksud bahawa jika terdapat bau yang mula hilang di satu hujung pesawat, ia akhirnya akan meresap ke seluruh ruang kabin, dengan tiada ruang bebas daripadanya.”

Walaupun udara juga beredar dalam ruang yang agak terkurung di dalam bas atau kereta api, udara segar boleh masuk melalui pintu, yang dibuka dan ditutup dengan kerap, kata Prof Madya Lim. Ia bermakna bau boleh merebak di udara tetapi pada kadar kepadatan yang kurang.

Tambahan pula, "bas dan MRT secara amnya mempunyai lebih banyak ruang terbuka dan kepadatan penumpang yang lebih rendah, yang boleh menghilangkan bau dengan lebih berkesan", kata Dr Heng Kiang Soon, pensyarah di Sekolah Sains Gunaan Politeknik Republik.

KENAPA SISA BUANGAN MANUSIA BERBAU?

Jika anda pernah membersihkan sisa-sisa buangan manusia, tidak kiralah muntah, najis atau air kencing, anda tahu ia melibatkan kerja yang besar dan menjijikkan. 
Walaupun selepas semua kerja mengelap, mengemop, membasmi kuman dan membersihkan saki bakinya, bau busuk masih boleh hinggap ke hidung. 

Mengapa buangan manusia berbau busuk? Bau itu datang daripada sebatian organik meruap (VOC) dan gas yang terhasil apabila mikroorganisma seperti bakteria dalam saluran penghadaman dan saluran kencing memecahkan bahan-bahan organik, kata Dr Heng.

Bahan kimia utama yang menyebabkan bau kuat pada air kencing ialah ammonia, yang dihasilkan apabila badan  memecahkan protein. (Foto: iStock/Kittisak Kaewchalun)

“Bau-bau tertentu boleh berbeza antara individu kerana terdapat faktor seperti diet, status penghidratan, status kesihatan keseluruhan dan jenis bakteria dalam saluran penghadaman yang boleh menjejaskan komposisi dan keamatan bau,” katanya.

Sebagai contoh, najis mendapat bau daripada sebatian sulfur seperti hidrogen sulfida. "Ia boleh menghasilkan bau yang kuat dan tidak menyenangkan yang sering digambarkan sebagai berbau seperti telur busuk atau seperti kumbahan," kata Dr Heng.

Malah, najis kita boleh menjadi lebih berbau jika kita  makan banyak makanan yang mengandungi sebatian sulfur seperti brokoli, kubis dan bawang putih, kata Prof Madya Lim.

Bau tengik muntah, yang serupa dengan susu masam, adalah daripada asid butirik dalam saluran penghadaman. (Foto: iStock/ozgurcankaya)

Bagi bau air kencing yang hancing, bahan kimia utama yang menyebabkan baunya yang kuat adalah ammonia, yang dihasilkan apabila badan memecahkan protein, kata Prof Madya Lim.

“Ammonia sendiri biasanya tidak berbau seperti telur busuk. Sebaliknya, ia mempunyai bau kuat, seperti bahan kimia yang sering digambarkan sebagai menyengat atau menusuk hudung. Dan bau itu boleh dikuatkan lagi apabila anda tidak terhidrat dengan baik. "Tahap bahan buangan yang lebih tinggi dalam air kencing dikaitkan dengan bau yang lebih kuat," katanya.

Bagaimana pula dengan bau muntah? Baunya yang meloyakan yang serupa dengan bau susu masam adalah daripada asid butirik dalam saluran penghadaman, kata Dr Heng. Bakteria usus dan makanan yang dicerna sebahagiannya boleh menyumbang kepada bau yang tidak menyenangkan, tambah Prof Madya Lim.

Bagi kita yang jauh tidak bernasib baik seperti menaiki lif selepas ada orang baru membuang angin, tahanlah sahaja daripada menghidu bahan-bahan metana, hidrogen sulfida, ammonia dan karbon dioksida. Apa yang anda hidu adalah apa yang dimakan oleh orang yang baru kentut itu. Apa yang dimakannya seperti kacang dan bawang mengeluarkan lebih banyak gas apabila ia sudah dihadam, kata Dr Heng.

Metana, hidrogen sulfida, ammonia dan karbon dioksida... adalah apa yang anda hidu apabila ada orang yang baru buang angin. (Foto: iStock/diane39)

CARA TERBAIK MENGHAPUSKAN BAU

Salah satu kompaun berkesan ialah cuka putih, kata Prof Madya Lim. “Cuma campurkan air dan cuka putih mengikut nisbah yang sama, dan gunakan larutan ini untuk membersihkan permukaan yang terkena air kencing, najis atau muntah.”

Atau cuba gunakan serbuk penaik atau baking soda, katanya. "Taburkan pada bahagian yang terjejas dan biarkan selama lima hingga 10 minit sebelum mengelapnya." Ia juga penting untuk membersihkan sebarang sisa dengan betul sebelum cuba menghapuskan bau yang berlarutan, katanya.

Bercakap tentang bau, mengapa bau kadang-kadang berlarutan walaupun selepas membersihkan kotoran? Ini kerana mungkin masih terdapat sisa VOC yang terampai di udara atau melekat pada permukaan di persekitaran, kata Dr Heng.“Untuk mengeluarkan sisa, buka tingkap atau gunakan kipas untuk memudahkan pengudaraan di dalam rumah atau bilik air. Kita juga boleh meletakkan arang untuk membantu menyerap bau, dan menggunakan penyegar udara atau deodoran untuk menghapuskan bau.”

Cuba cuka putih atau baking soda. (Foto: iStock/Geo-grafika)

APA YANG BOLEH DIBAWA 

Untuk menikmati perjalanan yang bebas bau busuk, bawalah bersama anda penyegar udara bersaiz kecil atau semburan minyak pati (lemon atau pudina) di dalam beg anda. "Gunakan secara berhati-hati jika perlu tetapi kita harus mengambil kira bahawa bau daripada semburan itu juga berpotensi menyebabkan ketidakselesaan kepada orang lain," kata Dr Heng.

Jika anda memakai pelitup dalam pengangkutan awam, sapukan beberapa titis minyak pati pada pelitup untuk menyahbau udara yang disedut, katanya. “Di dalam bas, MRT atau kapal terbang, kita boleh turun atau naikkan (adjust) bolong udara supaya ia boleh arahkan aliran udara dari sumber bau. 

Di dalam kereta pula, kita boleh membuka tingkap untuk mengudarakan bahagian dalamnya,” tambah Dr Heng. 

Prof Madya Lim mencadangkan supaya menghisap gula-gula mint untuk membantu menutup bau dan memberikan bau yang lebih menyenangkan sekitar linkungan  terdekat anda.

"Jika persekitaran anda membenarkannya, seperti dalam kapal terbang, minta secawan kopi yang kuat kerana baunya yang kaya itu berfungsi untuk menyahkan bau.

"Jika anda tidak boleh makan dan minum dalam persekitaran anda, cuba teknik pernafasan terkawal atau alihkan perhatian anda kepada perkara lain seperti membaca atau mendengar muzik untuk mengabaikan bau buat sementara waktu," kata Prof Madya Lim.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement