Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Langkah Dubai: Pelbagai penafian dan dakwaan adanya komplot menjatuhkan kerajaan PM Anwar 

Menurut beberapa pengamat, pertemuan yang dikatakan telah berlangsung di Dubai dengan tujuan untuk mengganggu kerajaan perpaduan mungkin melibatkan pihak-pihak yang tidak mahu menjadi mangsa siasatan anti-rasuah kerajaan. 

Langkah Dubai: Pelbagai penafian dan dakwaan adanya komplot menjatuhkan kerajaan PM Anwar 
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) bersama timbalan-timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof selepas mesyuarat Kabinet pada 8 Feb 2023. (Foto: Facebook/Anwar Ibrahim)

SINGAPURA: Beberapa hari menjelang tahun baharu, media sosial Malaysia dibanjiri dengan bukan sahaja hantaran-hantaran meraikan tahun baharu, tetapi diselubungi juga dengan suasana kelam yang didorong oleh spekulasi tentang akan tumbangnya kerajaan tidak lama lagi. 

Khususnya dalam TikTok, platform yang kerap digunakan untuk menyebarkan propaganda politik di Malaysia, ramai pembuat kandungan menumpukan perhatian pada frasa yang sama: Langkah Dubai. 

Menurut video-video yang diterbitkan dalam media sosial, beberapa tokoh politik berpengaruh yang bercuti di Dubai, bandar paling ramai penduduk di Amiriah Arab Bersatu, dikatakan telah bertemu pada Disember untuk membincangkan bagaimana mereka boleh menggulingkan kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kemudian pada 29 Dis, khabar angin tersebut menjadi lebih kuat apabila seorang pegawai kerajaan menyebarkan di media sosial untuk mengesahkan kewujudan "Langkah Dubai", yang didakwa melibatkan para pemimpin pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) dan pemimpin parti lain yang tidak berpuas hati dengan kerajaan perpaduan serta dengan gaya kepimpinan Anwar.

Timbalan ketua pengarah jabatan komunikasi komuniti  atau J-Kom, Ismail Yusop berkata dalam catatan Facebook bahawa mesyuarat itu diadakan untuk memberikan tugas kepada beberapa orang untuk mengenal pasti ahli-ahli parlimen (AP) kerajaan yang boleh dipujuk supaya berpaling tadah.

Sejak itu, ia telah mencetuskan pelbagai penafian, sanggahan, dan reaksi balas dari tokoh-tokoh politik dari pelbagai kem, sama ada pertemuan di Dubai itu berlaku dan jika tidak, siapa yang menyebarkan dakwaan sedemikian dan mengapa.

Walaupun perbincangan mengenai Langkah Dubai terus kekal sebagai dakwaan semata-mata, sebelum ini terdapat cakap-cakap yang serupa sebelum berlakunya perubahan kerajaan. 
 
Pada tahun 2020, “Langkah Sheraton” meruntuhkan pentadbiran Mahathir Mohamad akibat langkah dari dalam kerajaannya sendiri. Sebahagian daripada usaha tersebut dilaporkan telah dicetuskan gagasannya di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.

Tindakan itu menyaksikan lebih 30 ahli parlimen dalam perikatan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah ketika itu, berpaling tadah lantas menjatuhkannya selepas hanya 22 bulan memerintah.
 
Walaupun undang-undang anti-lompat parti telah digubal untuk menghalang gerakan tidak demokratik yang serupa, ia tidak menghalang keseluruhan blok parti daripada meninggalkan gabungan kerajaan. Ia juga tidak menghalang sebarang percubaan untuk berbuat sedemikian. 

Pada Januari 2023, timbul berita tentang rancangan untuk menggulingkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan akhirnya menggulingkan kerajaan perpaduan.

Ini berlaku selepas seorang blogger mendakwa bahawa dua naib presiden UMNO adalah sebahagian daripada sekumpulan pemimpin yang bertemu di London untuk merancang kejatuhan Ahmad Zahid, yang membawa kepada apa yang digelar "Langkah London”.

Para pemerhati politik yang diwawancara CNA berkata pertemuan Dubai - jika ia benar-benar berlaku - kemungkinan besar dicetuskan oleh tindakan keras terbaru yang kerajaan PM Anwar ke atas beberapa individu supaya mereka dikenakan siasatan lanjut berhubung kesalahan rasuah. 

Bagaimanapun, mereka berkata langkah sebegitu tidak mungkin berjaya melainkan ahli-ahli parlimen dalam blok kerajaan, terutamanya daripada gabungan-gabungan utama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh dipujuk untuk berpaling tadah secara beramai-ramai.

PENAFIAN DAN PENEPISAN 

Dalam catatan Facebook 29 Dis, ketua J-Kom Ismail mendakwa bahawa beberapa tokoh seperti Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, PN dan sekutu mereka menggunakan sumber di dalam dan di luar kerajaan untuk menjatuhkan pentadbiran Encik Anwar.

Encik Daim kini disiasat Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia yang telah menyita bangunan komersial bernilai berjuta-juta dolar milik keluarga beliau selepas Daim enggan mengisytiharkan pegangan kewangan beliau dan keluarganya, lapor CNA sebelum ini.

Menurut rakan-rakan rapat Encik Daim dan rakan-rakan perniagaan yang kerap bertemu Dr Mahathir menyatakan bahawa kedua-dua mereka menegaskan bahawa PM Anwar mahu membalas dendam, sambil merujuk kepada beberapa ancaman terselindung yang dibuatnya sebelum menjadi perdana menteri.

Dalam hantarannya Encik Ismail menulis bahawa beberapa jurucakap yang mempunyai akses kepada para pemimpin pembangkang mengelilingi seluruh negara, termasuk ke Sabah dan Sarawak, untuk memastikan bahawa kerajaan Madani akan runtuh pada tarikh tertentu pada awal 2024.
 
Keesokan harinya, Berita Harian menyiarkan artikel mengenai Langkah Dubai, dengan Encik Ismail menyatakan bahawa pertemuan itu melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh dengan gelaran "Tun" yang merupakan veteran dalam politik, serta seorang bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan yang akan menggunakan semua sumber "tempatan dan asing" untuk melaksanakan rancangan tersebut. 

Reaksi terhadap artikel itu adalah pantas.

Pada hari yang sama, pemimpin pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak laporan tersebut, sambil mengatakan ia mungkin dibuat oleh kerajaan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada isu-isu mendesak.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dinukil Free Malaysia Today sebagai berkata dakwaan itu adalah "percubaan untuk menipu rakyat" dengan mengalihkan perhatian mereka daripada apa disebutnya sebagai kegagalan-kegagalan kerajaan menguruskan isu-isu semasa.  

Pada 31 Dis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Ahmad Maslan menggelar langkah itu sebagai satu “khayalan”. Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) - yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan - perlu membayar RM100 juta jika mereka mahu melompat parti, tulisnya di X.

Ia adalah jumlah denda yang disifatkan sebagai “bon ikatan kesetiaan parti” yang ditandatangani setiap calon BN sebelum menerima watikah pelantikan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15.

Bekas Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada pemberita pada 5 Nov 2022. (Foto: CNA/Try Sutrisno Foo)

Keesokan harinya, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO, menafikan beliau terlibat dalam pertemuan itu. Katanya, beliau tidak pernah berada di Dubai, sebaliknya berada di Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah, lapor Berita Harian.

Premier Sarawak dan pengerusi GPS Abang Johari Openg juga menolak Langkah Dubai itu sebagai sesuatu yang "membuang masa", sambil menambah bahawa GPS menyokong kerajaan perpaduan untuk kestabilan politik, yang akan membantu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya memberi manfaat kepada Sarawak.

Beliau menepis spekulasi bahawa rancangan itu membabitkan perlantikan beliau sebagai perdana menteri seterusnya, tetapi menegaskan bahawa peluangnya itu akan akhirnya mendapat tekanan kerana GPS hanya mempunyai 23 kerusi di parlimen.

Seramai 30 AP BN dan 23 AP GPS membentuk bahagian gabungan kedua dan ketiga terbesar dalam blok kerajaan perpaduan, menjadikan kedua-duanya bahagian penting dalam sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan.

Pada 2 Jan, PM Anwar sendiri mengulas mengenai Langkah Dubai, dengan berkata ia tidak memberi kesan kepada pentadbirannya yang tertumpu kepada membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat. “Penipuan mereka untuk saya tidak memberi kesan,” katanya kepada media tempatan.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, mengesahkan bahawa rancangan untuk menukar kerajaan itu memang wujud, dengan merujuk kepada laporan "perisikan" mengenai penerbangan ke Dubai yang telah dibuat oleh mereka yang terlibat dalam komplot itu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberita bahawa rancangan itu "sebagai membuang masa", dengan percubaan sebelum ini untuk menjatuhkan kerajaan telah gagal.

Bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya juga menafikan Dr Mahathir terlibat dalam rancangan Langkah Dubai itu, dengan menyebut bahawa tuduhan itu "tidak berasas".

Beliau berkata ini kerana Dr Mahathir - yang pernah menjadi pengerusi parti Pejuang - tidak ke luar negara sejak beberapa minggu lalu, kata beliau seperti dinukil Sinar Premium.

MENYELAMATKAN DIRI

Penganalisis politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, Pertemuan Dubai itu mungkin berlaku kerana sesetengah pihak "panik" bahawa Anwar telah menjadikan agenda terasnya untuk menghapuskan rasuah di Malaysia. 

"Mereka yang terbabit adalah orang yang sedang disiasat atau yang masih belum disiasat," katanya, tanpa menamakan mereka, sambil menyatakan bahawa individu-individu ini mempunyai kepentingan untuk menyelamatkan diri mereka. 

Walaupun begitu, Dr Awang Azman berkata adalah tidak realistik kerajaan perpaduan akan tumbang kerana ia kini memegang majoriti dua pertiga (152 daripada 222 kerusi) di parlimen.

Sebarang percubaan rampasan kuasa politik terlebih dahulu memerlukan para AP GPS untuk meninggalkan blok kerajaan, lantas memusnahkan majoriti dua pertiga ini, kata beliau. 

Penganalisis bebas Asrul Hadi Sani berkata beliau percaya Encik Daim adalah "faktor penting" dalam menganjurkan pertemuan di Dubai, terutamanya kerana adanya siasatan pihak persekutuan terhadap asetnya dan "hubungan rapatnya" dengan Abang Johari.

“Kuncinya bukan UMNO tetapi GPS. Jika Mahathir dan Daim dapat meyakinkan Abang Johari untuk tidak menyokong Anwar, maka mungkin ada kesan domino apabila para Ahli Parlimen menukar sokongan mereka,” katanya kepada CNA.

"Tanpa GPS, tidak mungkin kerajaan persekutuan akan digulingkan."

Tidak seperti UMNO yang berpecah-belah, yang menurut Encik Asrul Hadi hanya boleh menyumbang 10 AP yang bersedia menukar sokongan, tanggapan bahawa 23 AP GPS yang berpaling tadah boleh membawa kesan besar dan mencipta momentum, katanya.

"Tidak seperti Zahid, yang tidak mendapat sokongan semua ahli partinya, Abang Johari mempunyai kawalan ke atas semua ahli Parlimennya dalam memutuskan siapa yang akan disokong di parlimen sebagai perdana menteri," katanya.

“Bagaimanapun, 23 campur 10 boleh mendorong ahli parlimen lain dari UMNO dan parti-parti lain untuk tidak menyokong Anwar.”

Pengerusi GPS Abang Johari Abang Openg pada pembukaan rasmi Esplanade Simunjan di Sarawak pada 20 Ogos 2022. (Foto: Facebook/Hajah Nancy Haji Shukri)

Dengan demikian, pengamat politik Universiti Sunway Wong Chin Huat percaya bahawa Abang Johari tidak mempunyai cita-cita kuat di peringkat persekutuan kerana wakil paling kanan GPS di parlimen sekarang adalah Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

TPM Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga & Kemudahan Awam kini menduduki hanya tangga keempat tertinggi dalam GPS.

Abang Johari sendiri boleh bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini dan memenangi sebuah kerusi parlimen dengan mudah, tetapi beliau memilih untuk tidak berbuat demikian, kata Dr Wong.

"Seorang ahli politik GPS bersara memberitahu saya, Abang Jo tidak akan mahu menjadi seorang PM yang tempang untuk sebulan sahaja, sebelum PAS berpatah balik dan memusnahkannya," kata Dr Wong sambil merujuk kepada ketegangan yang berterusan antara PAS dan GPS.

"Atas sebab ini, GPS mungkin bekerjasama dengan mana-mana pihak pemenang dari semenanjung selepas Pilihan Raya Umum akan datang, dan tidak ada sebab untuk ia mensabotaj kerajaan ini."

Walaupun Dr Wong mengakui bahawa PN, beberapa pemimpin BN dan Dr Mahathir mempunyai niat untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, beliau merasakan mereka kini lebih lemah dibandingkan dengan ketika Anwar menjadi ketua pembangkang pada 2021.
 
Dr Wong juga menggesa agar akta penggal tetap parlimen  diluluskan, bagi memastikan kestabilan politik untuk penggal lima tahun penuh dengan menghalang perubahan kuasa pada pertengahan penggal yang boleh mengganggu pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. 

Cadangan itu pertama kalinya disyorkan oleh seorang AP penyokong kerajaan pada Februari tahun lepas. Kumpulan pembela reformasi, Bersih, berkata saranan itu adalah untuk melindungi pihak istana daripada diheret ke dalam drama politik, sambil mengekalkan kuasanya untuk melantik perdana menteri dalam keadaan-keadaan tertentu.

"Kedua-dua sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen akan diperkukuh apabila semua orang menerima bahawa kerajaan dihasilkan melalui pilihan raya, dan bukannya oleh ahli parlimen atau parti dengan menukar sokongan mereka dan dengan restu beberapa institusi yang tidak dipilih (rakyat)," kata Dr Wong.

Pada masa ini, sebarang pelantikan perdana menteri baharu akan memerlukan perkenan pihak istana, peranan yang bakal digalas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu mulai 31 Jan.

Dr Awang Azman percaya Agong baharu itu tidak akan “melayan” pembentukan kerajaan baharu tanpa alasan yang jelas. Sultan Ibrahim sendiri pernah menyuarakan tentangannya terhadap sebarang usaha untuk menggugat kestabilan politik negara. 

"Jika ia (perubahan kerajaan) hanya atas sebab-sebab menyelamatkan diri, saya tidak fikir Agong baharu akan melayannya," kata Dr Awang Azman. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement