Di sebalik rombakan Kabinet PM Anwar: Keutamaan kerajaan, tolak ansur dan peluang terlepas
Para penganalisis berkata, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah meletakkan harapan beliau pada beberapa tokoh baharu sedang kerajaannya bakal menghadapi ujian-ujian perit dari dalam dan luar negara.

JOHOR BAHRU: Pertukaran beberapa menteri dalam rombakan Kabinet pertama Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menunjukkan keutamaannya adalah untuk menstabilkan kerajaan, dengan menaruh harapan pada tokoh-tokoh teknokrat berpengalaman, memandangkan negara bakal berhadapan pelbagai cabaran ekonomi.
Para penganalisis yang diwawancara CNA berkata PM Anwar juga kekal komited dalam mengekalkan keseimbangan yang betul dalam kalangan parti-parti komponen kerajaan perpaduan, terutama sekali dalam memastikan dua parti utama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) diwakili secukupnya.
Dua kementerian, setiap satu dibahagikan kepada dua, untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi setiap portfolio, seperti Kementerian Perhubungan dan Kementerian Digital. Kedua-duanya berpecah menjadi Kementerian Perhubungan dan Kementerian Digital.
"Keadaan terus berubah, dari segi ekonomi dan isu-isu yang dihadapi rakyat, termasuk soal kenaikan kos sara hidup. Ia perlu ditangani dengan baik," kata Encik Anwar semasa sidang media Selasa (12 Dis).
Beliau menambah bahawa Malaysia sedang bergelut dengan soal "penerimaan antarabangsa", yang mendorongnya untuk membuat perubahan kepada kementerian luar.
"Kami juga sedang meneroka bidang-bidang baharu, seperti kecerdasan buatan, transformasi digital, yang membuatkan saya mempertimbangkan beberapa perubahan berdasarkan situasi yang kita hadapi dan keperluan negara pada masa ini," kata Anwar.
MENGHARAPKAN PENGALAMAN
Antara ciri utama rombakan kabinet ialah kembalinya nama-nama berprofil tinggi yang pernah berkhidmat sebagai menteri dalam pentadbiran Perikatan Harapan (PH) sebelum ini.
Mereka termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Digital Gobind Singh, kedua-duanya berkhidmat dalam kerajaan PH di bawah bekas perdana menteri Mahathir Mohamad antara 2018 dan 2020.
Tokoh politik UMNO Johari Ghani, yang merupakan menteri kewangan kedua di bawah bekas perdana menteri Najib Razak, pula kembali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Pemerhati politik Ong Kian Ming, yang merupakan pengarah program falsafah, politik dan ekonomi di Taylor's University, memberitahu CNA bahawa pelantikan Dr Dzulkefly membolehkan Anwar menggantikan "seorang menteri kesihatan yang berprestasi rendah yang telah melakukan beberapa kesilapan". Dr Dzulkefly menjadi tokoh yang disebut-sebut ramai kerana pengalaman beliau dalam menguruskan pandemik COVID-19.
Encik Ong menyatakan bahawa pendahulu Dr Dzulkefly, Dr Zaliha Mustafa, menerima kritikan semasa kerana tidak menguruskan rang undang-undang penamat generasi (GEG) yang merupakan inisiatif untuk mengharamkan penjualan tembakau dan produk berkaitan bagi mereka yang dilahirkan pada 2007 dan seterusnya.
Penggubal undang-undang daripada kerajaan perpaduan dan pembangkang membidas Dr Zaliha kerana menggugurkan satu klausa GEG dalam rang undang-undang itu, yang menurut pengkritik beliau telah tunduk kepada tekanan pihak pelobi dan pemain-pemain industri tembakau.
Pakar kesihatan berkata klausa itu akan melindungi mereka yang lahir dari 2007 dengan melarang mereka daripada membeli produk merokok secara sah.

Sementara itu penganalisis James Chin, yang merupakan Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, memberitahu CNA bahawa Encik Singh dan Dr Dzulkefly adalah pilihan yang patut dipuji kerana mereka adalah "ahli politik yang berpengalaman" yang merupakan anggota kanan parti masing-masing, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Prof Chin menyatakan bahawa Encik Singh telah menolak jawatan Kabinet apabila ia ditawarkan kepadanya setahun lalu oleh Encik Anwar. Ia menunjukkan bahawa perdana menteri sentiasa melihat Encik Singh sebagai anggota penting pasukan kabinetnya.
Pelantikan yang mengejutkan tentunya adalah pelantikan
menteri kewangan kedua, yang diberikan kepada ketua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Amir Hamzah Azizan.
Encik Amir tidak mempunyai pengalaman politik sebelum ini tetapi telah bekerja selama lebih dua dekad dalam sektor swasta di syarikat-syarikat besar seperti Tenaga Nasional, Petronas dan Shell.

Encik Ong memberitahu CNA bahawa memandangkan sensitiviti dan minat mendalam terhadap portfolio di kementerian kewangan, adalah sukar bagi Encik Anwar untuk memperuntukkan jawatan itu kepada mana-mana ahli parti politik. Ini kerana beliau berisiko menghadapi tekanan daripada rakan-rakan kongsi kerajaan perpaduan pimpinannya.
“Oleh itu, beliau membuat pilihan untuk memberikan jawatan tersebut kepada seorang teknokrat yang disegani yang boleh bekerja dengan semua pihak tanpa sebarang beban politik,” kata Encik Ong.
Pemerhati politik Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pemikir untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, memberitahu CNA bahawa dengan melantik Encik Amir, seorang tokoh korporat yang kukuh, boleh memberi isyarat bahawa kerajaan berminat untuk memacu inisiatif yang akan meningkatkan pelaburan dan prestasi ekonomi.
Beliau menambah bahawa Encik Amir juga berpengalaman dalam melaksanakan daar-dasar untuk menyelaraskan rasionalisasi subsidi, serta dalam bantu mengurangkan kos sara hidup yang tinggi, yang merupakan antara cabaran ekonomi dihadapi kerajaan.
“Menteri Kewangan kedua bersedia untuk membentangkan rancangan kolektif untuk membantu kerajaan menangani kos sara hidup dan … mengurus (perbelanjaan),” kata Dr Yeoh.

KE ARAH KESEIMBANGAN
Perubahan kepada kabinet juga menunjukkan bahawa Encik Anwar komited untuk memastikan bahawa Kabinet mencerminkan pentingnya peranan yang dimainkan pelbagai parti politik dalam kerajaan perpaduan.
Kerajaan itu yang terdiri daripada gabungan PH dengan parti komponen utamanya DAP memegang 40 kerusi, sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Encik Anwar dengan 31 kerusi dan Amanah dengan lapan kerusi.
Ia juga dianggotai oleh UMNO yang mempunyai 26 kerusi. Baki kerusi lain dalam kerajaan perpaduan kebanyakannya dari Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.
Encik Ong menyatakan bahawa terdapat kritikan daripada sesetengah pihak bahawa DAP kurang diwakili semasa Encik Anwar mengumumkan kabinetnya tahun lepas. Parti itu diperuntukkan lebih sedikit jawatan menteri berbanding PKR dan UMNO, walaupun ia mempunyai kerusi parlimen terbanyak.
Dalam rombakab terkini, kuota menteri dari DAP i meningkat sedikit daripada empat kepada lima, dengan perubahan ketara termasuk Encik Singh yang mengambil alih jawatan Menteri Digital dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh untuk menerajui kementerian Sumber Manusia.
Pendahulu Encik Sim, V Sivakumar, yang juga AP DAP, adalah satu-satunya menteri yang digugurkan daripada barisan kabinet.
Bagaimanapun, Encik Ong turut menarik perhatian bahawa Encik Anwar telah melantik menteri-menteri baharu daripada Amanah - Dr Dzulkefly - dan dari UMNO - Encik Johari.
"Ini bakal meneutralkan sebarang kritikan bahawa DAP telah mendapat jawatan menteri dengan mengorbankan parti-parti lain," kata Encik Ong.
Penganalisis politik Dr Azmi berkata perlu diberi perhatian bahawa UMNO juga telah diberi dua jawatan tambahan dalam barisan Kabinet baharu.
Selain Encik Johari, ketua sayap wanitanya Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Ia boleh dilihat sebagai PM Anwar mahu memastikan bahawa optik keseimbangan antara DAP dan UMNO, dua ahli utama kerajaan perpaduannya, kekal neutral," kata Dr Azmi.
Encik Ong juga menyatakan bahawa tiga menteri UMNO yang menerajui jawatan penting telah bertukar portfolio.
Timbalan ketua parti Mohamad Hasan telah dipindahkan daripada Kementerian Pertahanan ke Kementerian Luar; Senator Zambry Abdul Kadir, yang merupakan menteri luar berpindah ke Kementerian Pengajian Tinggi; dan menteri pendidikan tinggi Mohamed Khaled Nordin akan menerajui portfolio pertahanan.
Encik Ong berkata Encik Anwar mungkin mengilir-gilirkan peranan ini kerana "dia mahu meletakkan menteri-menteri tersebut untuk memainkan peranan yang paling sesuai bagi kekuatan mereka".

Encik Mohamad, yang merupakan timbalan presiden UMNO, mempunyai ijazah dalam hubungan antarabangsa manakala Dr Zambry mempunyai PHD dalam sains politik, dan oleh itu mungkin sesuai untuk pendidikan tinggi, kata Encik Ong.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang Wan Saiful Wan Jan memperlekeh pelantikan Encik Mohamad sebagai menteri luar.
Beliau berkata pelantikan itu mungkin didorong oleh gesaan Timbalan PM dan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha untuk melemahkan kedudukan Mohamad Hasan dalam parti.
Encik Wan Saiful, yang merupakan ahli majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menarik perhatian bahawa sebagai menteri luar, Encik Mohamad akan berada di luar negara untuk tempoh yang lama dan tidak akan dapat mengukuhkan sokongan dalam parti untuk mencabar Ahmad Zahid bagi jawatan presiden dalam pengundian parti pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Encik Ong menegaskan bahawa Encik Mohamad, yang lebih dikenali dengan gelaran Tok Mat, kini mempunyai peluang untuk "lebih bersinar sebagai jurucakap kerajaan bagi dasar luar terutamanya. Ia lebih-leboh lagi memandangkan keadaan di Timur Tengah", dengan perang Israel-Hamas yang berterusan, "di mana Anwar tidak boleh menjadi satu-satunya jurucakap Malaysia di peringkat antarabangsa".
“Tok Mat juga seorang yang terkenal di kalangan penggubal dasar di Singapura dan ia adalah petanda baik untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala (antara Malaysia dan Singapura),” tambahnya.
TERLEPAS PELUANG
Para penganalisis menambah bahawa rombakan kabinet terbaharu itu berpotensi untuk memberikan hasil dengan kejayaan pelaksanaan dasar. Tempoh enam bulan akan datang akan menjadi kunci untuk melihat sama ada barisan Kabinet baharu akan membuahkan hasil yang positif.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa bahawa rombakan tersebut turut mencerminkan peluang yang terlepas untuk Encik Anwar menggantikan beberapa menteri yang dilaporkan berprestasi rendah.
Sebagai contoh, Dr Azmi berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli adalah antara pemimpin yang mendapat kritikan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan agak “menarik" untuk melihat bagaimana prestasi mereka.
“Banyak aduan telah dilontarkan kepada mereka dan menarik untuk melihat bagaimana reaksi mereka sekarang, memandangkan mereka berjaya kekalkan jawatan masing-masing,” katanya.
Secara keseluruhannya, Prof Chin menyatakan bahawa perubahan Kabinet itu lebih merupakan "rombakan mini" sahaja, dengan hanya "beberapa orang" yang dilantik ke dalam kabinet.
“Ia lebih kurang menyamai formula yang diterima semua parti. Ia rombakan umpama kekata: Jangan dikacau air yang tenang,” tambah Prof Chin.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.