Siapa boleh menderma darah: Adakah mereka yang mempunyai tatu, tindik di badan dan kolesterol tinggi layak?
Anda mahu menderma darah untuk membantu orang lain? Apakah perkara-perkara asas yang perlu diketahui sebelum anda tampil ke depan untuk menjadi penderma darah.

SINGAPURA: Dalam soal menderma darah, memang agak biasa kita akan kedengaran pelbagai pertanyaan daripada seseorang itu. Ia termasuklah soalan seperti ke mana dia harus pergi dan adakah bank darah negara sudah mempunyai bekalan yang mencukupi?
Jawapan biasanya adalah bekalan darah simpanan memang belum mencukupi. Itulah sebabnya kita kerap kedengaran kempen-kempen menggalakkan orang ramai menderma darah, terutama sekali semasa Hari Penderma Darah Sedunia pada 17 Jun.
Pertama sekali, bekalan darah mempunyai jangka hayat terhad, menurut Prakash Menon, pengarah kumpulan Program Penderma Darah Palang Merah Singapura, iaitu selama enam minggu untuk sel darah merah dan tujuh hari untuk platelet. Tambahan pula, negara seperti Singapura memerlukan 400 beg darah untuk menampung permintaan harian daripada hospital-hospital, katanya.
“Hanya penderma darah yang sihat boleh menyumbang kepada bekalan ini. Pada masa ini, hanya 1.8 peratus daripada penduduk yang menetap di Singapura adalah penderma darah dan hanya 40 peratus daripada mereka menderma sekurang-kurangnya dua kali setahun,” katanya sambil menambah bahawa matlamatnya adalah untuk mempunyai simpanan selama sembilan hari untuk bertindak terhadap sebarang kecemasan.
BAGAIMANAKAH DARAH YANG DIDERMA DIGUNAKAN?
Menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA), sebahagian besar darah yang didermakan (54 peratus) adalah pembedahan. Bakinya adalah digunakan untuk perubatan umum, kemalangan dan kecemasan lain.
Terdapat kira-kira 34,000 pesakit di Singapura yang memerlukan pemindahan darah, termasuk mereka yang mempunyai penyakit darah.

Untuk memenuhi semua tujuan tersebut, darah yang didermakan bukan sahaja diambil dan disimpan dalam simpanan sejuk. Ia dipisahkan kepada komponennya yang berbeza – sel darah merah (untuk merawat anemia dan menggantikan kehilangan darah semasa pembedahan dan bersalin), plasma (untuk proses pembekuan semasa pendarahan atau jangkitan) dan platelet (untuk pesakit denggi, leukemia dan barah).
Menurut HSA, darah sebahagian besarnya adalah plasma (55 peratus), iaitu bahagian cecair kuning yang mengandungi air, elektrolit, nutrien, antibodi dan pengentalan darah. Selebihnya terdiri daripada sel darah merah dan putih serta platelet.
Selain mendermakan keseluruhan darah, anda juga boleh memilih untuk menderma komponennya yang tertentu sahaja plasma, platelet atau sel darah merah yang dikenali sebagai pendermaan apheresis.

Darah diambil daripada anda seperti biasa dan melalui mesin yang memisahkannya kepada komponen yang ingin anda dermakan. Komponen darah yang tinggal kemudian dikembalikan ke badan anda.
Bahan anti-koagulan darah iaitu asid sitrat ditambah semasa proses menderma darah dan anda mungkin merasakan kesemutan di sekitar mulut anda atau sedikit sejuk semasa aferesis.
BOLEHKAH SIMPANAN DARAH AHLI KELUARGA DIGUNAKAN?
Permintaan khas sedemikian dipanggil pendermaan darah terarah, adalah satu amalan yang tidak dilaksanakan di Singapura. Salah satu sebabnya adalah
"kajian telah menunjukkan bahawa derma terarah mempunyai kadar keberjangkitan penyakit yang lebih tinggi. Ini kerana orang yang membuat derma sedemikian mungkin berada di bawah tekanan untuk menderma dan mungkin tidak mendedahkan maklumat kesihatan dan sosial mereka dengan jujur," kata Menon.
Terdapat juga apa yang dipanggil risiko penyakit ‘graft-versus-host’, di mana sel darah putih penderma menyerang sumsum tulang, kulit dan organ utama penerima darah. Ini boleh mengakibatkan keradangan dan kegagalan organ, kata Menon lagi.
JENIS DARAH MANA SATU YANG PALING TINGGI PERMINTAANNYA?
Darah jenis O adalah yang paling diperlukan kerana ia adalah jenis darah paling biasa (default) yang digunakan semasa kecemasan apabila jenis darah pesakit tidak diketahui. Selain itu, hampir separuh daripada penduduk Singapura mempunyai jenis darah ini.
KENAPA BERAT BADAN, UMUR DAN MAKLUMAT MENGENAI TINDIK DAN TATU PERLU DIBERI?
Mendedahkan berat badan anda, bersama-sama umur anda serta vaksinasi, sejarah perubatan dan sejarah perjalanan, membolehkan bank darah menilai sama ada darah anda sesuai dan jika anda boleh menderma darah tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan, kata Menon.
Maklumat tentang menjalani rawatan yang melibatkan jarum (seperti menindik badan dan tatu) adalah penting bagi bank darah untuk menentukan risiko anda sebagai pembawa penyakit berjangkit menerusi darah, katanya.
Mereka yang pernah menindik badan atau tatu yang menggunakan "menggunakan jarum steril, sekali pakai atau jarum pakai buang", dibenarkan untuk menderma. "Namun, jika anda tidak pasti, anda boleh menderma tiga bulan selepas tatu terakhir atau prosedur menindik badan," kata Menon.
BERAPA BANYAK DARAH YANG DIAMBIL? BOLEHKAH SAYA PENGNSAN?
Proses menderma darah mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kira-kira 350ml hingga 450ml – atau 8 peratus hingga 12 peratus daripada jumlah darah anda – bergantung pada berat anda, kata Penolong Profesor Tambahan Teo Li Tserng. Biasanya, setiap orang dewasa mempunyai 4 liter hingga 5 liter darah dalam tubuh.
Penderma tidak perlu khuatir terkena anemia kerana jumlah darah yang diambil "hanya sebahagian kecil daripada jumlah isipadu darah". Dalam individu yang sihat, sumsum tulang akan mudah menggantikan darah dan komponennya, kata beliau. "Dengan penghidratan yang mencukupi, jumlah darah anda akan kembali ke paras normal dalam masa kira-kira tiga hari."

Secara amnya, anda mesti menunggu selama 12 minggu sebelum anda boleh membuat satu lagi derma darah, kata Penolong Profesor Teo, seorang perunding kanan dan ketua Perkhidmatan Trauma di Hospital Tan Tock Seng. “Anda boleh menderma sehingga empat kali setahun,” kata Prof Teo lagi.
"Sesetengah penderma mungkin berasa pitam atau pening kerana penurunan sementara tekanan darah," kata Menon. “Anda boleh mencegah perkara ini dengan memastikan anda berehat dengan baik dan mempunyai cecair yang mencukupi sebelum menderma. Jangan tergesa-gesa meninggalkan pusat derma darah.”
BAGAIMANA JIKA KITA BARU AMBIL DOS PENGGALAK COVID-19?
Ia bergantung pada jenis vaksin yang anda ambil. Selepas vaksinasi, darah anda mungkin mengandungi agen infektif, yang mungkin tidak berbahaya kepada anda, tetapi boleh menimbulkan risiko kepada pesakit yang menerima darah anda seperti mereka yang lemah imuniti atau imunokompromi.
Jika suntikan COVID-19 anda ialah jenis vaksin ‘live-attenuated’ (seperti Astra Zeneca, Janssen atau Johnson & Johnson), anda mungkin perlu menunggu empat minggu; satu minggu untuk vaksin mRNA. Butiran lanjut boleh didapatkan di sini.

BOLEHKAH SAYA MENDERMA JIKA SAYA MEROKOK DAN/ATAU MINUM ARAK?
Mereka yang minum segelas atau dua bir atau wain pada malam sebelumnya,masih boleh menderma, kata Menon. Tetapi mereka yang di bawah pengaruh arak diminta jangan ke pusat derma darah. Ini kerana mereka yang di bawah pengaruh alkohol mungkin memberikan maklumat yang tidak tepat tentang sejarah kesihatan mereka. Tiada sekatan ke atas penghisap rokok untuk menderma darah, katanya.
BOLEHKAH SAYA MENDERMA DARAH SEMASA HAID?
Jika anda mengalami haid yang berat, sebaiknya anda tunggu. Jika tidak, anda boleh memberi darah semasa haid. Mereka yang sedang hamil juga boleh menangguhkan temu janji untuk menderma darah. Begitu juga bagi mereka yang menjalani rawatan untuk penyakit berat atau pembedahan besar.
BAGAIMANA JIKA SAYA MENGGUNAKAN ANTIBIOTIK?
Tunggu sekurang-kurangnya seminggu dari dos terakhir anda sebelum menderma.
JIKA ADA TEKANAN DARAH TINGGI/KOLESTROL, MASIH BOLEHKAH SAYA MENDERMA?
Secara keseluruhannya, jika keadaan anda stabil, tidak rumit dan terkawal untuk beberapa ketika, anda boleh mendermakan darah, kata Menon.
Misalnya, mereka yang ada darah tinggi (hypertension). Sekiranya anda tidak mempunyai masalah jantung atau buah pinggang, dan tekanan darah anda dikawal menggunakan ubat, anda boleh menderma jika tekanan darah anda berada dalam julat yang boleh diterima pada hari pendermaan.
Begitu juga, pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi juga boleh menderma darah walaupun mereka menggunakan ubat anti-kolesterol biasa - selagi mereka bebas daripada komplikasi kardiovaskular, kata Menon. Tetapi jika mereka baru-baru ini menukar ubat atau dos, atau mula mengambil ubat, mereka perlu menunggu selama empat minggu sebelum membuat temujanji untuk memberikan darah.

BOLEHKAH SAYA MENDERMA DARAH JIKA SAYA PEMAKAN SAYURAN ATAU VEGAN?
Pemakan sayuran boleh menderma darah selagi mereka memenuhi keperluan pemakanan, terutamanya zat besi. Purata lelaki dewasa memerlukan 10mg zat besi setiap hari, manakala purata wanita dewasa memerlukan 18mg setiap hari.
Secawan (65g) kangkung atau kailan mempunyai 1.3mg zat besi tetapi bagi seorang vegetarian, dia mungkin perlu mengambil lebih banyak zat besi, kerana buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kacang mungkin lebih sukar untuk diserap oleh badan.
Keperluan zat besi yang lebih tinggi juga mungkin diperlukan bagi mereka yang menderma darah setiap 12 minggu.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini yang menelusuri budaya menjamu selera ikan buntal dalam masyarakat Jepun dan Orang Laut Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.