43 warga Malaysia dibebaskan daripada sindiket penipuan di Peru

KUALA LUMPUR: 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia terdiri daripada sekumpulan golongan muda yang dibebaskan polis seminggu selepas mereka tiba di ibu kota Peru, Lima.
Menurut polis Malaysia pada Selasa (10 Okt), kesemua mangsa itu menjadi mangsa penipuan sindiket yang mengendalikan penipuan menerusi telefon.Â
Rakyat Malaysia itu terperdaya dengan penipuan yang dilaporkan berasal daripada satu sindiket jenayah di Taiwan dan China. Penipuan itu melibatkan para anggota sindiket menyamar sebagai kakitangan bank atau pegawai awam untuk menipu mangsa supaya mendedahkan maklumat perbankan peribadi atau memindahkan wang.
Ratusan rakyat Malaysia dilaporkan telah terperdaya dengan sindiket yang menawarkan pekerjaan di negara-negara Asia Tenggara yang lain. Selepas terperangkap mereka kemudian dipaksa melakukan penipuan melalui skim percintaan dalam talian atau skim mata wang kripto.
“Ini adalah kes (pemerdagangan) pertama seumpamanya di Peru (melibatkan rakyat Malaysia). Kami cuba melakukan yang terbaik untuk mendidik rakyat Malaysia termasuk di media sosial tetapi penipuan pekerjaan ini masih berlaku,” kata ketua polis Malaysia Razarudin Husain dalam satu sidang akhbar.
Kesemuanya seramai 26 wanita dan 17 lelaki rakyat Malaysia tiba di Peru pada 29 Sep dan berjaya dibebaskan daripada sindiket pemerdagangan manusia itu pada Sabtu. Ia selepas polis Peru menyerbu sebuah rumah di La Molina di ibu kota Peru, Lima.Â
Tiga daripada rakyat Malaysia itu hanya berusia 18 tahun dan yang paling tua dalam kalangan mereka berusia 36 tahun.Â
Kementerian Luar Malaysia menyatakan kesemua 43 mangsa itu berada dalam keadaan baik dan akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik siasatan di Lima selesai.
Menurut polis, mereka meninggalkan Malaysia secara sah dan polis masih menyiasat butiran bagaimana mereka direkrut, dan bagaimana mereka akhirnya di bawa ke Peru.
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan dua daripada wanita dalam kumpulan itu melarikan diri dari rumah di sebuah kejiranan mewah. Mereka dibawa ke balai polis selepas mendapatkan bantuan daripada seorang jiran.
Akhbar itu, memetik laporan tempatan di Peru, sebagai menyatakan bahawa siasatan awal telah mengenal pasti sindiket terbabit sebagai kumpulan Naga Merah Taiwan. Beberapa buah telefon bimbit, kad debit dan wang tunai telah juga dirampas polis.
Polis Malaysia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan butiran tersebut.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Â