Pengunjung ke Malaysia mungkin pendekkan kunjungan jika sewa hotel dilapor naik 30%

SINGAPURA: Dengan adanya jangkaan kenaikan sewa bilik hotel di Malaysia pada tahun depan, sesetengah pelancong berkata mereka mungkin memilih penginapan alternatif, walaupun ada pakar-pakar berpendapat kenaikan itu tidak mungkin memberi kesan besar kepada pelancongan antarabangsa.
Dalam laporannya Jumaat lepas (3 Nov), Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Christina Toh berkata para pengendali hotel tempatan mungkin menaikkan sewa bilik sehingga sebanyak 30 peratus, berikutan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). tahun depan.
Beberapa warga Singapura memberitahu CNA bahawa langkah menaikkan sewa bilik hotel mungkin mendorong mereka untuk mempertimbangkan pilihan lain apabila melawat Malaysia. Ia termasuklah seperti menggunakan tempahan penginapan Airbnb. Yang lain pula berkata bahawa mereka mungkin memilih negara lain di rantau ini untuk percutian mereka.
Cik Hanisah Halid, 26, yang menginap di hotel sekurang-kurangnya dua kali setahun semasa lawatannya ke Johor Bahru, menarik perhatian tentang bayaran sewa hotel yang lebih murah di JB berbanding Singapura.
“(Saya menginap di hotel) di Johor Bahru kerana harga yang murah. Jika kadarnya meningkat, saya mungkin lakukan kunjungan sehari sahaja tanpa menginap di hotel ,” kata penyambut tetamu itu. Cik Hanisah menambah dia biasanya menginap di hotel yang mengenakan sewa kurang daripada S$150 (RM510) sehari.
Carian talian yang dibuat CNA mendapati hotel agak mewah di Johor Bahru mengenakan antara RM300 hingga RM500 untuk bilik standard penginapan dua orang, manakala hotel yang sama di Singapura boleh berharga antara RM1,000 hingga RM2,700 semalaman.
Walaupun beliau mungkin perlu memendekkan percutiannya ke tempat-tempat lain di Malaysia, Cik Hanisah berkata beliau akan tetap mengunjungi Johor Bahru untuk membeli-belah setiap bulan kerana kadar pertukaran yang menggalakkan.
“Secara peribadi, saya rasa terdapat perbezaan yang agak ketara (dalam harga barangan runcit),” kata Cik Hanisah.
Sependapat, Adriana, seorang guru prasekolah berusia 25 tahun, berkata bahawa dia akan terus berkunjung ke Malaysia kerana kebanyakan kunjungannya ke seberang Tambak hanyalah berupa lawatan sehari ke Johor Bahru.
Tetapi untuk percutian yang lebih lama, Cik Adriana berkata bahawa dia mungkin memilih untuk tinggal di penginapan Airbnb di Malaysia atau melancong ke negara lain.
“Saya rasa ia bergantung kepada jadual perjalanan dan keupayaan kewangan pada masa itu … (saya mungkin memilih untuk pergi ke) Thailand kerana ia nampak menyeronokkan dengan harga barangannya sama tahap kemampuannya seperti di Malaysia,” katanya kepada CNA.
Bagi pelancong tempatan warga Malaysia , Farizul Ikhmal, beliau beritahu CNA bahawa dia mungkin memilih untuk bercuti secara berkumpulan dengan mengongsi kos menyewa bilik hotel, dan tidak bercuti secara solo.
“Jika kenaikan harga terlalu drastik, saya rasa saya tidak akan melancong secara solo. Dengan lebih ramai orang (dalam kumpulan anda), anda akan dapat mengurangkan bajet perjalanan anda,” kata Encik Farizul, 30, yang bekerja sebagai pelabel keselamatan kandungan sebuah syarikat media sosial.
Encik Farizul yang melancong ke tiga negeri di Malaysia setahun untuk tujuan riadah berkata, dia biasanya menginap di hotel yang berharga kurang RM200, namun sedia berbelanja lebih, bergantung kepada sejauh mana uniknya sesebuah billik hotel itu.
Tambahnya, jika harga bilik hotel di Malaysia akan meningkat, dia mungkin memilih untuk melancong ke luar negara - terutamanya ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand atau Vietnam - di mana dia boleh berbelanja mengikut bajetnya.
Sementara itu, suri rumah, Cik Faridah Beram, 64, pula menyatakan beliau mungkin tidak terpengaruh dengan kenaikan harga sewa bilik hotel.
“Mata wang kita (Singapura) sangat stabil dan saya rasa saya masih mampu untuk melancong di Malaysia dan menikmati percutian saya di sana,” katanya.
“Malaysia adalah tempat yang sesuai. Mereka mempunyai banyak tempat yang belum kami jelajah lagi … dan makanan, budaya dan rakyatnya (agak serasi dengan) pilihan saya.”
Cik Faridah berkata, dia selalunya berkunjung ke Johor Bahru dua kali sebulan. “Disebabkan kesesakan dan kesulitan di CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin), saya lebih suka bermalam di hotel (sebelum pulang ke Singapura),” katanya.
Beliau menambah bahawa akan terus menginap di hotel-hotel di Malaysia berbanding dengan Airbnb kerana kemudahan dan kualiti katilnya yang baik dan kerana suaminya, yang sering ikut bercuti, telah menjalani pembedahan pinggang.
PELANCONGAN KE MALAYSIA TIDAK TERKESAN
Syarikat pelancongan Chan Brothers Travel memberitahu CNA bahawa ia tidak menjangka permintaan untuk pakej pelancongannya ke Malaysia akan berkurangan dengan ketara.
“Pertama, rakyat Singapura mempunyai kuasa perbelanjaan yang ketara di Malaysia, terutamanya jika kadar pertukaran mata wang Singapura kekal kukuh atau terus meningkat,” kata pengurus kanan komunikasi pemasaran Chan Brothers Travel, Jeremiah Wong.
“Kedua, rangkaian rakan kongsi kami teguh dan mantap, membolehkan kami memanfaatkan rangkaian meluas dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi percutian, termasuk para pengendali hotel.”
Bulan lalu, dolar Singapura mencecah paras 3.5 berbanding ringgit Malaysia buat kali pertama pada 23 Okt.
Cik Toh, presiden MAH, dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight pada Jumaat lepas: "Walaupun pengumuman belanjawan menyatakan SST tidak akan digunakan untuk kategori tertentu, kos operasi dijangka meningkat disebabkan rantaian bekalan bersepadu."
"Tidak kira bagaimana hotel bertindak balas, kesannya akan dirasai di seluruh industri dan dijangka mempengaruhi kadar sewa bilik."
SST Malaysia dijangka meningkat daripada enam peratus kepada lapan peratus tahun depan, walaupun ia tidak termasuk makanan dan minuman atau telekomunikasi.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa pembentangan Bajet 2024 pada 13 Okt lalu.
PELBAGAI FAKTOR MEMPENGARUHI KENAIKAN SEWA
Pakar-pakar yang dihubungi CNA berkata mereka menyangsikan bahawa kenaikan SST adalah satu-satunya sebab bagi kenaikan yang dijangkakan sebanyak 30 peratus pada harga sewa bilik hotel.
Dr Wong King Yin, pensyarah kanan dari Sekolah Perniagaan Nanyang Universiti Teknologi Nanyang (NTU), memberitahu CNA bahawa gabungan faktor, seperti peningkatan tenaga kerja dan bil api air (utiliti), berkemungkinan memainkan peranan dalam kenaikan harga sewa bilik.
Dr Wong menjelaskan bahawa disebabkan kekurangan tenaga kerja dalam industri pelancongan Malaysia semasa pandemik COVID-19, kenaikan gaji diperlukan untuk menarik pekerja ke dalam industri perhotelan. Kos utiliti dan bekalan lain juga meningkat dengan pesat selepas pandemik, katanya.
“Apabila dicampur semua ini dengan kenaikan SST, ia boleh menjadi beban kewangan yang besar kepada industri perhotelan. Jadi saya fikir kemungkinan kenaikan sewa bilik itu mungkin mencerminkan semua pelbagai faktor ini dan bukannya disebabkan kenaikan SST semata-mata,” kata Dr Wong.
Profesor madya Dr Godfrey Yeung dari jabatan geografi Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berkata walaupun SST boleh memberi kesan ke atas kenaikan harga sehingga 30 peratus ekoran kesan berganda ‘multiplier effect’, ia mungkin nampak berlebihan.
“Kita perlu membezakan segala punca inflasi. Dalam kes ini, kenaikan harga juga mungkin disebabkan oleh penyusutan nilai ringgit, yang membentuk sebagai inflasi diimport,” kata Dr Yeung kepada CNA.
Sementara itu, pensyarah adjunk di Universiti Pengurusan Singapura dan Universiti Newcastle, Australia, Dr Kevin Cheong, pula menimbulkan pertanyaan apakah kenaikan drastik 30 peratus itu "satu kenaikan untuk 'mengaut keuntungan' lebih daripada kerana kenaikan SST".
PELANCONGAN ANTARABANGSA MUNGKIN TIDAK TERJEJAS
Disebabkan oleh ringgit Malaysia yang semakin lemah berbanding mata wang lain di rantau ini, kenaikan sewa bilik hotel berkemungkinan memberi impak yang lebih besar kepada pelancongan domestik berbanding antarabangsa, kata Dr Wong kepada CNA.
"Pelancong antarabangsa mungkin masih mendapati sewa (bilik hotel) di Malaysia agak berpatutan jika dibandingkan dengan di negara mereka di rantau ini," kata beliau.
Dr Cheong juga bersetuju bahawa Malaysia akan tetap menjadi destinasi menarik bagi pelancong antarabangsa.
“Sebagai tambahan kepada pelbagai pengalaman dan destinasi (di Malaysia), ringgit Malaysia agak memihak kepada para pelancong asing. Saya juga menjangkakan rakyat Singapura akan mengambil kesempatan daripada ringgit yang lemah untuk melakukan kunjungan singkat ke Malaysia,” katanya kepada CNA.
Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak kemungkinan pelancongan domestik Malaysia masih boleh berkembang kerana daya tarikannya bagi mereka yang mahu menerokai kepelbagaian budaya dan geografi negara mereka sendiri.
“Kita boleh menjangkakan produk dan pengalaman pelancongan (Malaysia boleh berkembang) hasil kunjungan pelancong domestik atau kemasukan pelancongan dari luar, terutamanya dari Singapura.
“Ini boleh membawa kepada peningkatan keyakinan para pelabur dalam membangunkan pusat-pusat peranginan dan tarikan pelancong ke Malaysia,” kata Dr Cheong.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.